PKTAAB Perkasa Pengesanan Awal Kanser Payudara Di Karnival Cimic – Maulid Ambang Kemerdekaan 2026
Aug 27, 2026
July 8 2026
Bagi kebanyakan kita, tabiat membersihkan telinga menggunakan putik kapas (cotton bud) atau besi pengorek telinga sudah menjadi rutin harian yang dirasakan sebahagian dari amalan kebersihan. Namun, rutin ini sebenarnya mempunyai risiko trauma pada saluran telinga luar anda.
Tabiat ini tidak hanya gagal mengeluarkan tahi telinga (serumen), malah, ia sering kali menyebabkan lelesan atau luka pada kulit di dinding saluran telinga. Perlu kita tahu, kulit di dalam saluran telinga adalah sangat nipis dan sensitif. Ianya melekat secara langsung pada lapisan perikondrium rawan yang menyokong bahagian lateral saluran telinga dan juga tulang padat telinga disebelah medial saluran telinga tanpa sebarang perantaraan tisu lemak. Lapisan kulit ini melindungi dengan perlindungan yang sangat minimum dan jangkitan sangat mudah untuk merebak dengan pantas ke lapisan tulang rawan dan tulang padat di bawahnya.
Otitis Eksterna.
Lelesan atau luka kecil ini, jika sering terkena air atau terdedah kepada cuaca tropika yang lembap, memudahkan jangkitan patogen oportunistik yang agresif seperti Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus epidermidis. Perlu dijelaskan bahawa P. aeruginosa bukanlah penghuni normal atau flora asal dalam saluran telinga, sebaliknya kuman ini sering dibawa masuk dari luar secara tidak sengaja melalui tabiat mengorek telinga. Apabila lapisan perlindungan kulit telinga kita terjejas, jangkitan kuman pada kulit yang melapisi saluran telinga dikenali sebagai Otitis Eksterna (jangkitan telinga luar), yang menyebabkan simptom seperti sakit telinga dan lelehan nanah. Jangkitan ini juga berpotensi menyusup masuk ke dalam lapisan bawah kulit melalui luka kecil terutama bagi pesakit yang berisiko tinggi (diabetes, kegagalan buah pinggang kronik atau individu dengan sistem imun yang lemah) dan menjadi sangat parah serta agresif.
Perikondritis.
Jika jangkitan otitis eksterna merebak ke tisu rawan di bahagian saluran telinga lateral, ia akan menyerang selaput perikondrium lalu mencetuskan keradangan yang dipanggil perikondritis. Ini adalah sejenis keradangan agresif yang bukan sahaja menyebabkan cuping telinga pesakit membengkak dan merah, juga kesakitan berdenyut yang teramat sangat. Komplikasinya, boleh merosakkan struktur estetik (bentuk) cuping telinga. Sebaliknya, jika jangkitan menyusup terus ke bahagian medial saluran telinga melibatkan struktur tulang padat, keadaan ini akan berevolusi menjadi jangkitan yang lebih parah dikenali sebagai Malignant Otitis Externa (MOE).
Kenali Malignant Otitis Externa (MOE)
Evolusi jangkitan daripada telinga luar ini boleh melarat menjadi Malignant Otitis Externa (MOE) atau juga dikenali sebagai Necrotizing External Otitis.
Bagi pesakit diabetes, tubuh tidak berupaya melawan jangkitan kuman ini, penyakit berevolusi secara agresif dan mula "memakan" tulang temporal, menyebabkan jangkitan tulang (osteomielitis) dan kematian tisu (necrosis). Jangkitan MOE ini boleh merebak melalui ruang rekahan tulang telinga hinggalah bertapak kukuh di dasar tengkorak (base of skull) dan merosakkan saraf-saraf kranial. Terutamanya, saraf muka, menyebabkan pesakit mengalami kelumpuhan pada separuh wajah mereka (tidak boleh senyum atau menutup mata dengan rapat).
Kesimpulannya, satu luka kecil akibat mengorek telinga boleh menyebabkan jangkitan otitis eksterna yang boleh merebak ke struktur rawan menjadi perikondritis, malah berpotensi menghakis struktur tulang menjadi MOE yang mengancam saraf kranial dan tengkorak pesakit. Tubuh kita telah direka dengan sistem pembersihan kendiri telinga yang sangat sempurna jadi berhentilah melawan fitrah biologi tubuh dengan perbuatan mengorek telinga.
RUJUKAN:
1. Watkinson JC, Clarke RW, editors. Scott-Brown’s Otorhinolaryngology and Head and Neck Surgery. Vol. 2. 8th ed. Boca Raton: CRC Press; 2018.
https://doi.org/10.120/9780429443558.