Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
KLINIK PAKAR PERGIGIAN 2, October 30 2025
Unit Ortodontik & Deformiti Kraniofasial, Perkhidmatan Pergigian, Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) telah menganjurkan “Bengkel DSLR: Penguasaan Kemahiran Fotografi Ortodontik Untuk Kakitangan Ortodontik” yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pegawai dan kakitangan pergigian ortodontik dalam pengendalian kamera klinikal serta amalan terbaik pengurusan data pesakit.
Bengkel yang berlangsung selama sehari ini memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu kemahiran teknikal fotografi klinikal dan etika pengurusan imej pesakit. Peserta diperkenalkan kepada komponen utama kamera DSLR yang digunakan sebagai contoh peralatan standard dalam dokumentasi ortodontik, termasuk jenis lensa, sistem pencahayaan, dan aksesori sokongan. Peserta turut diberi peluang untuk mencuba teknik fotografi yang betul. Kemahiran fotografi yang berkualiti tinggi amat penting bagi memastikan setiap rekod pesakit tepat, seragam, dan boleh digunakan untuk tujuan diagnostik serta penyelidikan. Peserta juga diberi penekanan tentang kualiti foto ortodontik bukan sekadar untuk tujuan dokumentasi, tetapi turut mencerminkan profesionalisme dan integriti klinikal. Pengendalian imej pesakit juga perlu mematuhi prinsip kerahsiaan sebagaimana termaktub dalam Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
Sesi praktikal bengkel memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik pengambilan foto intraoral dan ekstraoral secara langsung, termasuk panduan framing, pencahayaan seimbang, serta pengendalian pesakit semasa sesi fotografi bagi memastikan keselesaan dan keselamatan. Selain itu, bengkel turut membincangkan tatacara penyimpanan dan pengendalian imej pesakit secara selamat semasa proses rujukan klinikal antara pakar. Penekanan turut diberikan terhadap penggunaan sistem fail yang teratur dan beretika bagi mengelakkan kebocoran maklumat peribadi.
Penganjuran bengkel ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, kerana ia menyokong peningkatan kualiti penjagaan kesihatan melalui dokumentasi klinikal yang tepat, kerahsiaan pesakit dan pengurusan beretika. Kesemua pakar ortodontik di Pusat Perubatan USM Bertam telah turut serta dalam menjayakan bengkel melalui sesi ceramah dan demonstrasi. Bengkel diakhiri dengan sesi perbincangan interaktif serta perkongsian pengalaman antara para peserta dan pakar. Dengan penganjuran bengkel ini, Unit Ortodontik dan Deformiti Kraniofasial PPUSMB terus komited untuk memberikan kualiti perkhidmatan terbaik dalam setiap aspek amalan klinikal.