Bahagian 2: Lebih Daripada Sekadar Luka Biasa: Otitis Eksterna, Malignant Otitis Eksterna (MOE) Dan Perikondritis.
Jul 08, 2026
KOMPLEKS PENYELIDIKAN KANSER, PKTAAB, June 9 2026
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) telah menganjurkan Bengkel NotebookLM untuk Pelajar Pascasiswazah pada 9 Jun 2026, bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan Kanser, PKTAAB. Bengkel ini telah disertai oleh 36 orang pelajar pascasiswazah.
Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar dalam penggunaan NotebookLM melalui akaun Google Workspace for Education (GWFE). Pelaksanaan bengkel ini juga selaras dengan inisiatif langganan Gemini AI dan NotebookLM selama satu tahun oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada warga universiti awam. Di bawah inisiatif ini, pelajar USM telah diperuntukkan sebanyak 10,000 lesen NotebookLM, dengan 360 lesen diperuntukkan kepada pelajar PKTAAB. Sehubungan itu, bengkel ini turut berperanan sebagai usaha meningkatkan kadar pengaktifan lesen NotebookLM dalam kalangan pelajar pascasiswazah PKTAAB.
Bengkel dimulakan dengan perkongsian oleh Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon berkenaan kepentingan mengintegrasikan teknologi digital dalam aliran kerja akademik dan penyelidikan masa kini, diikuti dengan pengenalan kepada NotebookLM sebagai platform sokongan pembelajaran dan penyelidikan. Seterusnya, Dr. Nurulisa Zulkifle memberikan penerangan berkenaan inisiatif langganan produk Google iaitu Gemini AI dan NotebookLM oleh KPT kepada universiti awam serta tatacara pengaktifan lesen melalui akaun GWFE.
Majoriti peserta telah berjaya mengaktifkan lesen NotebookLM Enterprise, manakala 13 orang peserta yang menghadapi masalah berkaitan akses dan pengaktifan lesen telah dikenal pasti serta dirujuk kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut. Selain pengaktifan lesen, bengkel ini turut memberi penekanan kepada penggunaan aktif NotebookLM dengan kriteria penggunaan aktif merujuk kepada minimum empat (4) aktiviti sebulan, termasuk penggunaan arahan (prompt), muat naik sumber atau penciptaan nota baharu, selaras dengan sasaran 80% penggunaan aktif setiap bulan.
Sepanjang sesi hands-on, peserta telah dibimbing untuk meneroka fungsi utama NotebookLM yang boleh dimanfaatkan untuk pembacaan akademik, pengurusan nota, penulisan penyelidikan dan penghasilan bahan multimedia seperti infografik, slaid pembentangan, peta minda, video dan audio.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah memberi pendedahan yang bermanfaat kepada pelajar pascasiswazah PKTAAB dalam memperkukuh kemahiran digital serta memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan secara lebih berkesan bagi menyokong keperluan akademik dan penyelidikan.
Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Bahagian Akademik dan Antarabangsa PKTAAB atas sokongan yang diberikan bagi memastikan kelancaran program sepanjang bengkel berlangsung.