PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
ARC, IPPT, May 12 2025
Dua pelajar pascasiswazah dari Program Doktor Falsafah Sains Perubatan, Fakulti Perubatan, Universitas Airlangga, Indonesia iaitu Dr Enggar Yusrina Hasyyati dan Apt. Nafhah telah menyertai program International Student Research Attachment yang berlangsung di Animal Research Complex, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia yang terletak di Bertam, Pulau Pinang. Kedua-dua pelajar merupakan pelajar di bawah seliaan Prof. Dr. Arifa Mustika dari Universitas Airlangga dan menerima tunjuk ajar penyelidikan secara langsung sepanjang program ini daripada Dr. Nozlena Abdul Samad dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia.
Sepanjang tempoh lima hari program ini berlangsung, para peserta telah melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti penyelidikan makmal yang padat dan berfokus. Mereka telah diberi pendedahan terhadap amalan keselamatan makmal yang betul serta latihan teknik aseptik termasuk penggunaan kabinet keselamatan biologi yang merupakan asas penting dalam pengendalian sel kultur. Pendedahan awal ini bertujuan memupuk disiplin penyelidikan yang tinggi serta memberi kefahaman menyeluruh tentang kepatuhan kepada prosedur makmal bertaraf antarabangsa.
Seterusnya, pelajar turut menjalani aktiviti penyediaan kultur sel yang merangkumi kerja-kerja penyemaian sel, penyediaan larutan bahan uji daripada ekstrak tumbuhan dan pengendalian peralatan makmal. Latihan ini telah membolehkan mereka mengaplikasikan teori dalam bentuk praktikal secara langsung serta membina kemahiran teknikal yang tinggi dalam pengendalian eksperimen. Para peserta juga diberikan tugasan-tugasan penyelidikan yang memerlukan ketelitian, pengurusan masa yang baik serta kemahiran penyelesaian masalah secara kreatif.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, para peserta telah didedahkan kepada teknik pemerhatian morfologi sel di bawah mikroskop dan pelaksanaan migration assay bagi menilai keupayaan sel untuk bermigrasi. Kedua-dua teknik ini penting dalam kajian berkaitan kanser. Di samping itu, mereka turut berlatih menggunakan perisian saintifik seperti Fiji ImageJ untuk menganalisis imej sel secara kuantitatif. Penerapan teknologi analisis data saintifik ini telah membantu peserta meningkatkan kemahiran.