ABO Blood Type & Potential Link To Dementia Risk
May 26, 2026
PUSAT PENYELIDIKAN HAIWAN, July 28 2025
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia, telah menerima lawatan hormat daripada Dr. Thitinat Duangchan, Pensyarah Program Teknologi Perubatan, School of Allied Health Sciences, Walailak University, Thailand.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelajar dari Walailak University yang sedang menjalani latihan industri di IPPT, di samping meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Fokus utama perbincangan termasuklah penyediaan penempatan latihan industri untuk pelajar antarabangsa, serta kemungkinan jalinan kerjasama dalam penyelidikan dan mobiliti akademik pada masa hadapan.
Perbincangan tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) IPPT, yang turut menyatakan komitmen IPPT untuk mengukuhkan hubungan akademik antarabangsa serta mengalu-alukan lebih ramai pelajar dari Walailak University menjalani latihan industri di IPPT. Beliau juga menekankan potensi besar dalam kolaborasi penyelidikan antara kedua-dua universiti, khususnya bidang sains kesihatan dan perubatan.
Ketibaan Dr. Thitinat telah disambut mesra oleh Prof. Madya Dr. Rafidah Zainon, bersama Pn. Naziroh Shafii, Dr. Nor Azlina Khalil, dan Pn. Rafedah Abass. Beliau turut dibawa melawat fasiliti makmal IPPT yang lengkap dan bersesuaian dengan keperluan latihan pelajar dalam bidang teknologi perubatan. Turut hadir sama dalam sesi perbincangan adalah Prof. Madya Dr. Rafeezul Mohamed.
IPPT USM komited dalam memberikan latihan berkualiti tinggi dan pendedahan global kepada pelajar, sejajar dengan usaha membina ekosistem akademik bertaraf dunia. Lawatan ini dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara kedua-dua institusi dalam menyokong pembangunan bakat dan penyelidikan antarabangsa. Program sebegini turut menyumbang kepada SDGs 3, 4 and 17.