Bahagian 2: Lebih Daripada Sekadar Luka Biasa: Otitis Eksterna, Malignant Otitis Eksterna (MOE) Dan Perikondritis.
Jul 08, 2026
SAINS@BERTAM, USM, June 12 2026
Di sebalik peranannya sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) turut komited dalam membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan warganya. Melalui Jawatankuasa Waste Management Sains@Bertam, pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan secara berterusan bagi menggalakkan penggunaan sumber secara berhemah, pengurangan sisa dan penerapan konsep circular economy dalam kehidupan seharian.
Salah satu inisiatif terbaharu ialah program Rain-to-Grow @ Sains@Bertam 2026 yang telah diadakan pada 12 Jun 2026 dengan penyertaan seramai 48 orang staf daripada pelbagai unit dan jabatan di PKTAAB. Program ini bukan sekadar aktiviti penanaman, tetapi merupakan platform untuk memperkenalkan konsep kelestarian melalui pendekatan yang praktikal dan mudah diaplikasikan oleh setiap warga kampus.
Program dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk “Kitar Semula, Pengasingan Sisa dan Amalan 5R” yang disampaikan oleh Dr. Ying Chee Keat, Pensyarah Kanan dan Penyelaras Projek Kelestarian PKTAAB. Dalam sesi tersebut, peserta didedahkan dengan kepentingan pengurusan sisa yang sistematik serta konsep 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle dan Recover), dengan penekanan khusus terhadap elemen “Rethink”, iaitu mengubah cara berfikir dan menilai semula tabiat harian sebelum sesuatu bahan dibuang atau digunakan.
Bagi menggalakkan pembelajaran secara pengalaman (experiential learning), para peserta kemudiannya menyertai aktiviti penanaman secara hands-on. Setiap peserta dibekalkan dengan sarung tangan, pasu, medium tanaman, benih pokok dan peralatan asas berkebun. Pelbagai jenis tanaman seperti kangkung, bayam dan bendi dipilih sebagai tanaman permulaan yang mudah dijaga dan sesuai untuk dipraktikkan sama ada di rumah mahupun di ruang kerja. Pada masa yang sama, tanaman ini diharap dapat menggalakkan warga PKTAAB mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat melalui penghasilan dan pengambilan sayur-sayuran segar yang ditanam sendiri.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan penggunaan sumber secara lestari, sebuah rain barrel turut dipasang di kawasan Sains@Bertam untuk mengumpul air hujan yang kemudiannya akan digunakan bagi tujuan penyiraman tanaman. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada air terawat, malah menjadi contoh mudah bagaimana sumber semula jadi boleh dimanfaatkan secara lebih berhemah.
Menariknya, program Rain-to-Grow tidak berakhir pada hari pelaksanaannya sahaja. Para peserta akan terus merekod dan berkongsi perkembangan tanaman mereka melalui platform digital sehingga Oktober 2026. Mereka juga digalakkan untuk menambah tanaman baharu dengan menggunakan bahan-bahan terpakai sebagai pasu atau bekas tanaman, sekali gus mengaplikasikan konsep penggunaan semula (reuse) dan kreativiti dalam mengurangkan sisa buangan. Pada penghujung program, beberapa kategori penghargaan seperti Kebun Paling Lestari, Hasil Tuaian Terbaik dan Anugerah Inspirasi Hijau akan diberikan bagi mengiktiraf komitmen dan usaha peserta.
Program Rain-to-Grow turut mencerminkan aspirasi PKTAAB untuk menghubungkan amalan kelestarian dengan kesejahteraan melalui konsep “From Waste to Wellness” atau “Dari Sisa ke Sejahtera”. Pendekatan ini menekankan bahawa usaha kecil seperti mengurangkan sisa, menggunakan semula sumber, mengumpul air hujan dan menanam makanan sendiri bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mampu menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental. Selari dengan prinsip bahawa prevention is always better than cure, pembudayaan gaya hidup sihat dan persekitaran lestari merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang dalam menyokong kesihatan masyarakat.
Rain-to-Grow hanyalah sebahagian daripada pelan tindakan yang lebih menyeluruh oleh Jawatankuasa Waste Management Sains@Bertam dalam memperkukuh budaya kelestarian di PKTAAB. Selain program ini, jawatankuasa turut menyelaras aktiviti pengasingan sisa dan kutipan bahan kitar semula yang dijalankan secara berkala setiap bulan, di samping merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti Program UpCycle PKTAAB dan pembangunan Sudut Warisan Lestari. Kesemua program ini berkongsi matlamat yang sama, iaitu mengurangkan pembaziran, memanjangkan kitar hayat bahan dan membentuk budaya menghargai sumber yang ada melalui pendekatan circular economy.
Inisiatif-inisiatif ini juga menyokong komitmen PKTAAB dan USM terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being melalui galakan gaya hidup sihat dan aktiviti berkebun, SDG 4: Quality Education melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendidikan kelestarian, SDG 11: Sustainable Cities and Communities melalui pembentukan komuniti kampus yang lestari, SDG 12: Responsible Consumption and Production menerusi amalan 5R, pengasingan sisa dan penggunaan semula bahan terpakai, serta SDG 13: Climate Action melalui usaha mengurangkan sisa dan menggalakkan penggunaan sumber secara lebih berhemah.
Melangkah ke hadapan, usaha-usaha ini diharapkan dapat terus menyemai budaya “rethink before you throw” dan menjadikan kelestarian sebagai sebahagian daripada rutin harian warga PKTAAB. Inisiatif yang pada mulanya memberi tumpuan kepada penglibatan staf juga dirancang untuk diperluaskan kepada pelajar dan komuniti pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh peranan PKTAAB bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang kesihatan dan penyelidikan, tetapi juga sebagai institusi yang aktif memupuk nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pembangunan mampan.