Senyuman Dah Cantik, Jangan Lupa Retainer!
Nov 20, 2026
BILIK SEMINAR, CRC, August 14 2026
KEPALA BATAS, 14 Ogos 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menganjurkan sesi Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) yang memfokuskan kepada kepentingan penyelidikan translasi dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser.
Program bertajuk “Cancer-Related Fatigue During Chemotherapy: From Preclinical Discovery To Phase III Evidence” itu telah disampaikan oleh Dr. Amin Malik Shah Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NatureCeuticals Sdn Bhd merangkap Pengerusi Eksekutif Eman Biodiscoveries Sdn Bhd, bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan Kanser PKTAAB.
Sesi ini dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) PKTAAB, Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya, barisan staf akademik, pegawai penyelidik, pegawai farmasi, pegawai perubatan, jururawat serta para pelajar. Dalam ucapan alu-aluannya, Prof. Dr. Badrul Hisham menekankan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan industri adalah kunci utama dalam memastikan hasil penyelidikan akademia dapat diterjemahkan kepada produk farmaseutikal yang bernilai buat masyarakat.
“Perancangan strategik dan kerjasama erat ini membolehkan kepakaran kita memberi manfaat terus kepada pesakit melalui pembangunan produk yang inovatif,” ujar beliau.
Dr. Amin, yang juga merupakan pakar farmakologi kanser translasi dengan pengalaman lebih 25 tahun, berkongsi perjalanan pembangunan Nuvastatic™. Formulasi botani berasaskan Orthosiphon stamineus ini telah melalui fasa yang panjang, bermula daripada kajian mekanistik di makmal sehingga kepada penilaian klinikal Fasa II dan Fasa III.
Fokus utama perkongsian tersebut adalah menangani isu keletihan berkaitan kanser (cancer-related fatigue), iaitu kesan sampingan rawatan kemoterapi yang sering menjejaskan fungsi fizikal dan kesejahteraan emosi pesakit.
“Di sebalik produk yang mencapai peringkat klinikal, terdapat perjalanan panjang penyelidikan dan pengesahan bukti yang bertujuan memberikan impak positif kepada penjagaan pesakit,” kata Dr. Amin dalam sesi tersebut.
Sesi ini memberikan gambaran jelas mengenai semangat penyelidikan translasi dalam menghubungkan dunia sains dengan klinikal demi kesejahteraan pesakit kanser yang lebih baik.
Program ini secara langsung menyokong beberapa matlamat SDG antaranya: