PKTAAB Tingkat Keupayaan Murid PPKI
May 14, 2026
BILIK MESYUARAT UTAMA, CANCER TEACHING COMPLEX (CTC), February 24 2026
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan jaringan industri melalui penganjuran mesyuarat kolaborasi penyelidikan strategik bersama syarikat perubatan terkemuka, B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd., dalam usaha memperkasa inovasi dan pembangunan bidang perubatan negara.
Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Cancer Teaching Complex (CTC), PKTAAB ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi penglibatan strategik, perkongsian ilmu, serta perbincangan mengenai projek penyelidikan berpotensi antara kedua-dua pihak.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada wakil pengurusan PKTAAB, diikuti sesi pengenalan pasukan yang melibatkan wakil dari kedua-dua organisasi. Delegasi PKTAAB diketuai oleh Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan), Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim Timbalan Pengarah (Klinikal dan Kelestarian) dan Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon Ketua Seksyen Inovasi dan Jaringan serta Ketua Jabatan, penyelidik dan pasukan jururawat. Sementara itu, delegasi B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. diketuai oleh Pengarah (R&D), Dr. Tan Aik Aun.
Sepanjang sesi tersebut, pihak B. Braun telah membentangkan inisiatif penyelidikan semasa serta potensi kerjasama strategik yang boleh diterokai bersama. Perbincangan turut disusuli dengan sesi soal jawab yang konstruktif bagi mengenal pasti bidang keutamaan serta mekanisme pelaksanaan kolaborasi secara lebih terancang dan berkesan.
Selain itu, delegasi turut dibawa melawat fasiliti di Cancer Teaching Complex (CTC), termasuk Unit Imejan dan Wad Terbuka (Open Ward), bagi memberikan pendedahan secara langsung terhadap keupayaan infrastruktur serta kemudahan klinikal yang dimiliki oleh PKTAAB.
Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan PKTAAB dalam memastikan aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan sentiasa relevan dengan keperluan industri perubatan semasa. Usaha ini dijangka mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan pesakit, khususnya dalam rawatan kanser, di samping merancakkan pembangunan inovasi perubatan negara.
Sejajar dengan itu, inisiatif kolaborasi ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, melalui peningkatan kualiti rawatan dan penyelidikan kesihatan; SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur, menerusi pengukuhan kerjasama antara institusi akademik dan industri; serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat, melalui jalinan strategik pelbagai pihak dalam memperkasa ekosistem penyelidikan dan pembangunan perubatan.