PKTAAB Perkasa Pengesanan Awal Kanser Payudara Di Karnival Cimic – Maulid Ambang Kemerdekaan 2026
Aug 27, 2026
August 27 2026
LUMUT, 25 Ogos 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen dalam mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat menerusi penyertaan dalam Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) – Maulid Ambang Kemerdekaan 2026 yang berlangsung di Dewan Shariff, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.
Karnival anjuran TLDM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi dalam usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama antara komuniti awam dan ketenteraan. Program turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta wakil kepimpinan universiti awam dan TLDM. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin.
Menerusi Program Khidmat Masyarakat dan Kesihatan (PROMASK), PKTAAB memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta pengesanan awal kanser payudara dalam kalangan masyarakat.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah saringan kanser payudara, pemeriksaan klinikal payudara, pemeriksaan ultrabunyi (ultrasound) bagi kes yang berisiko atau mempunyai tanda-tanda mencurigakan, serta demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara.
Perkhidmatan tersebut dilaksanakan secara berpasukan melibatkan pakar perubatan, pegawai perubatan, ketua jururawat dan jururawat, iaitu Dr. Shazatul Ezanni Samsudin, Dr. Nur Rashidin Kadir Bacha, Norhaliza Abd Hamid, Nurul Hazimah Abdoll Rani, Mysara Izzaty Ishak, Sulaiha Mohamad, Rosmira Ramli, Syazana Abdul Ghafar, serta beberapa lagi staf PKTAAB.
Penglibatan pasukan ini membolehkan peserta mendapatkan penilaian, pemeriksaan serta pendidikan kesihatan secara lebih dekat dan mudah, di samping meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Pendekatan turun padang seperti ini penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara. Pengesanan pada peringkat awal membolehkan penilaian dan intervensi dilakukan dengan lebih cepat, sekali gus berpotensi meningkatkan keberkesanan rawatan dan kualiti hidup pesakit.
Sepanjang program berlangsung, seramai 30 individu telah menjalani saringan kanser payudara dan tujuh daripadanya dikenal pasti mempunyai penemuan abnormal yang memerlukan penilaian lanjut. Selain itu, seramai 295 individu turut menjalani saringan kesihatan umum, menjadikan program ini satu platform penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap pengesanan awal penyakit dan amalan penjagaan kesihatan dalam komuniti.
Penyertaan PKTAAB dalam program ini turut mencerminkan komitmen USM dalam memperluas impak kepakaran akademik dan klinikal kepada masyarakat menerusi kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, institusi dan komuniti.
Penglibatan dalam Karnival CIMIC – Maulid Ambang Kemerdekaan 2026 juga menjadi wadah penting bagi PKTAAB untuk memperkenalkan perkhidmatan kepakaran kanser kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pencegahan, kesedaran dan pengesanan awal kanser payudara.
Syabas dan terima kasih kepada seluruh pasukan PKTAAB yang terlibat atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan program ini serta membawa perkhidmatan kesihatan dan pengesanan awal kanser lebih dekat kepada masyarakat.