PKTAAB Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Melalui Mobiliti Pelajar Walailak University, Thailand
Jun 08, 2026
AUDITORIUM SAINS@BERTAM, May 11 2026
KEPALA BATAS, 11 Mei 2026: Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah proaktif memperkukuh identiti institusinya melalui penganjuran Program Pembangunan Bakat bertajuk “LET’S BUILD PKTAAB BRAND IN MEDIA!” yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan.
Program yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam itu bertujuan melengkapkan para pensyarah, penyelidik, serta staf dengan kemahiran pemasaran media bagi meningkatkan keterlihatan ‘visibility’ penyelidikan dan perkhidmatan kanser di peringkat nasional dan antarabangsa.
PKTAAB kini sedang mempergiat usaha membina jenama institusi melalui penglibatan agresif dalam media massa dan media sosial. Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan), Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya menegaskan bahawa langkah ini kritikal bagi memastikan penjenamaan semula institusi daripada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) kepada PKTAAB disertai dengan pengiktirafan masyarakat terhadap kepakaran dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Dalam ucapan aluan beliau, Profesor Dr. Badrul menyatakan harapan tinggi agar para pensyarah dan penyelidik bukan sahaja menonjol dalam penulisan saintifik, malah membina "branding" peribadi melalui penampilan di media. Beliau menyasarkan setiap pensyarah mencapai KPI sekurang-kurangnya dua penulisan media atau artikel berkaitan bidang masing-masing pada tahun ini.
Selain itu, beliau turut menyeru seluruh warga PKTAAB termasuk pegawai di setiap unit dan seksyen untuk lebih kreatif dalam mengetengahkan urusan rutin harian mereka sebagai bahan berita yang menarik. "Setiap unit mempunyai cerita masing-masing yang boleh dijadikan kandungan berita bagi memperlihatkan PKTAAB sebagai sebuah institusi yang mempunyai kepelbagaian kepakaran yang relevan dengan isu semasa," jelas beliau.
Beliau juga menekankan kepentingan mengasah kemahiran komunikasi dan teknik penulisan agar isu-isu teknikal dan akademik dapat disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh khalayak umum. Melalui strategi ini, beliau berharap apabila carian dibuat, nama pakar dan jenama PKTAAB akan muncul dengan pelbagai artikel bermaklumat sekali gus mengukuhkan keterlihatan institusi di peringkat nasional.
Bengkel sehari itu menampilkan Profesor Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri, yang juga merupakan Felo Adjung PKTAAB dan Pengarah UM Press sebagai penceramah utama. Beliau berkongsi kepakaran dalam tiga sesi intensif merangkumi pemerkasaan identiti institusi, teknik penulisan berimpak tinggi untuk media, serta pemerkasaan kandungan media.
Dalam perkongsian yang penuh pengisian itu, Profesor Ir. Dr. Adib menekankan bahawa dalam landskap media kontemporari, konsistensi adalah kunci utama yang mengatasi aspek kualiti semata-mata dalam membina jenama institusi.
Beliau menyarankan warga PKTAAB untuk mula membina tabiat menulis dan berkongsi maklumat secara kecil-kecilan setiap hari, termasuk menggunakan platform ringkas seperti status WhatsApp bagi membina audiens setempat dan memperkenalkan peranan universiti kepada khalayak.
Salah satu konsep utama yang diperkenalkan beliau ialah konsep ‘Hope’ (Harapan) dalam penghasilan kandungan media. Menurut beliau, setiap bahan yang dimuat naik perlu mempunyai elemen harapan bagi mewujudkan rasa kebersamaan dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat. "Melalui elemen ini, media yang dihasilkan akan kelihatan lebih berkesan dan menjadi rujukan yang boleh diharapkan oleh orang awam," jelas beliau.
Daripada aspek teknikal penulisan, beliau menggariskan beberapa strategi penting untuk menghasilkan artikel berimpak tinggi seperti penggunaan Formula 5W 1H bagi memastikan setiap berita atau artikel merangkumi fakta yang lengkap dan tersusun; Pertanyaan Kendiri (Self-Questioning) di mana penulis perlu meletakkan diri di tempat pembaca bagi memastikan isu teknikal atau akademik disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami; dan Naratif Visual dengan penggunaan gambar dan kapsyen yang bersesuaian adalah kritikal dalam menyampaikan naratif yang mampu menarik perhatian audiens.
Di dalam pengisian tersebut, beliau turut menekankan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam menaik taraf tahap kebolehbacaan dan kedalaman maklumat. AI memudahkan proses analisis data bagi memastikan data yang diletakkan relevan serta sahih apabila ditulis dalam artikel. Selain itu penggunaan AI turut boleh meningkatkan dari aspek keterlihatan melalui pengecaman wajah berdasarkan gambar yang dimuat naik.
Dalam sesi pada sebelah petangnya, Profesor Ir. Dr. Adib menekankan kepada elemen seni penceritaan sebagai senjata utama. Kunci utama untuk menarik minat pembaca adalah melalui teknik penceritaan (storytelling) yang berkesan.
Peserta didedahkan dengan struktur penceritaan klasik termasuk struktur tiga babak (three-act structure), gaya penceritaan Pixar, serta Hero’s Journey untuk menukar fakta penyelidikan yang kering kepada naratif yang menyentuh emosi.
Malah, bagi mereka yang ingin menembusi platform video pendek seperti TikTok, formula tular Campbell Barron yang menggabungkan elemen Cangkuk dan Isi “Hook and Body” secara strategik turut diketengahkan bagi memastikan kandungan yang dihasilkan mampu menarik perhatian dalam masa yang singkat.
Beliau turut menjelaskan, daripada Penyelidik kepada Key Opinion Leader (KOL). Beberapa contoh praktikal turut dikongsi, melibatkan isu kesihatan dan alam sekitar yang kritikal. Antaranya termasuklah perkongsian mengenai harapan kehidupan selepas rawatan kanser mulut oleh Dr. Juzailah Roffie dan ancaman mikroplastik terhadap tubuh manusia oleh Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya.
Penyelidik disarankan untuk membina jejak digital (digital footprints) yang konsisten di pelbagai platform seperti LinkedIn, Facebook, X (Twitter), dan blog peribadi. Matlamatnya adalah untuk menjadikan perkongsian ilmu sebagai satu tabiat harian bagi membina autoriti sebagai KOL dalam bidang masing-masing dalam tempoh lima tahun akan datang.
Program pembangunan bakat selama sehari ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin.
Penjenamaan media adalah keperluan strategik PKTAAB bukan lagi pilihan tegas Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin. Beliau menegaskan bahawa dalam era digital masa kini, usaha membina jenama institusi melalui media bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan strategik yang mendesak.
Beliau berkata, langkah proaktif itu penting bagi memastikan transisi penjenamaan semula daripada IPPT kepada PKTAAB dapat dikenali sepenuhnya oleh masyarakat, bukan sahaja di peringkat utara tanah air, malah di peringkat nasional dan global.
"Apabila kita berjaya membina jenama PKTAAB dengan naratif yang betul dan berimpak tinggi, kita sebenarnya sedang membina kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan dan penyelidikan yang kita tawarkan. Ini adalah tanggungjawab kita bersama," katanya ketika menutup bengkel “Let’s Build PKTAAB Brand in Media!” di sini hari ini.
Dalam ucapan penuh inspirasi tersebut, Profesor Madya Dr. Bakiah turut berbangga dengan profil penyelidik dan pakar di PKTAAB yang menyifatkan mereka sebagai "aset hebat" universiti. Beliau mendedahkan bahawa institusi itu memiliki pakar-pakar lulusan universiti ternama dunia seperti Oxford, Harvard, Imperial College, UCL, Newcastle, dan Glasgow, selain graduan cemerlang universiti lain.
Beliau turut memuji inovasi unik yang dihasilkan oleh warga PKTAAB, termasuk penggunaan teknologi robotik dalam neurorehabilitasi pesakit strok, namun kesal kerana banyak pencapaian hebat ini tidak dikongsi dengan masyarakat luar.
Beliau seterusnya menyeru agar seluruh warga PKTAAB termasuk pensyarah dan staf pelaksana mengurangkan sikap 'individualistik' dan beralih kepada pendekatan 'organization-centric' dengan berkongsi ilmu demi manfaat organisasi.
"Semua orang boleh menulis dan semua orang mempunyai bahan untuk ditulis. Jangan hanya berkongsi hobi peribadi di media sosial, tetapi kongsikan juga kepakaran kerja kita agar komuniti dapat memanfaatkan perkhidmatan yang kita ada," jelas beliau.
Bagi menyokong usaha ini, PKTAAB telah menetapkan sasaran agar setiap pensyarah menghasilkan sekurang-kurangnya dua artikel popular atau penulisan media setahun. Pihak pengurusan juga menyediakan sistem sokongan melalui bantuan penyuntingan oleh Profesor Dr. Rafeezul Mohamed serta bimbingan daripada Felo Adjung PKTAAB, Profesor Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri.
Beliau turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada Profesor Adib atas komitmen luar biasa beliau yang bukan sahaja berkongsi ilmu komunikasi strategik, malah secara peribadi membantu menguruskan kehadiran pakar-pakar PKTAAB ke stesen penyiaran seperti RTM.
Di akhir ucapan, Profesor Madya Dr. Bakiah menyifatkan perkongsian ilmu melalui media sebagai satu keberkatan. Beliau berharap agar siri latihan sebegini menjadi pelaburan strategik yang mampu mengangkat martabat PKTAAB sebagai pusat kecemerlangan kanser yang kompetitif di persada antarabangsa.
Program ini secara tidak langsung menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang sangat relevan dalam beberapa aspek iaitu: