Senyuman Dah Cantik, Jangan Lupa Retainer!
Nov 20, 2026
MAKMAL INTRUMENTASI BERPUSAT CRIM (I-CRIM), UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)., October 29 2026
BANGI, 29 OKTOBER 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Penyelidikan dan Jaringan (BPJ) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Pengurusan dan Pengoperasian Peralatan Baharu RMK13 serta Peningkatan Pengetahuan dan Kompetensi MS ISO/IEC 17025:2017 ke Makmal Intrumentasi Berpusat CRIM (i-CRIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Delegasi PKTAAB yang terdiri daripada staf akademik, pegawai sains dan penolong pegawai sains telah tiba di i-CRIM sekitar jam 12.45 tengah hari. Delegasi telah disambut sendiri oleh Ketua Makmal i-CRIM, Assoc. Prof. Ts. Dr. Wan Nor Roslam Wan Isahak. Beliau turut menyampaikan penerangan berkaitan latar belakang, peranan serta pengurusan dan pengoperasian kemudahan makmal i-CRIM. Sesi lawatan berlangsung dalam suasana interaktif apabila beliau menyantuni delegasi dengan menjawab pelbagai soalan, di samping berkongsi pengalaman, pandangan dan idea berkaitan pengurusan peralatan penyelidikan serta amalan terbaik pengoperasian makmal.
Makmal i-CRIM merupakan makmal penyelidikan dan perkhidmatan teknikal di bawah Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM) yang memberikan fokus kepada perkhidmatan analisis makmal menggunakan instrumen saintifik. i-CRIM mempunyai lebih daripada 30 peralatan berteknologi tinggi dan menawarkan lebih 100 jenis analisis bagi memenuhi keperluan penyelidikan serta perkhidmatan analisis kepada pelanggan daripada pelbagai sektor.
Keupayaan makmal ini turut diperkukuh melalui akreditasi MS ISO/IEC 17025 bagi dua skop pengujian, iaitu Chemical Testing (Pengujian Kimia) dan Mechanical Testing (Pengujian Mekanikal). Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen i-CRIM terhadap kompetensi teknikal, kebolehpercayaan keputusan pengujian serta pelaksanaan sistem pengurusan kualiti makmal yang memenuhi keperluan standard antarabangsa.
Antara perkongsian menarik sepanjang lawatan ialah model operasi dan pengurusan kewangan i-CRIM yang berupaya menjana pendapatan tahunan sekitar RM1.5 juta hingga RM2 juta serta menguruskan kewangannya sendiri. Keupayaan ini memperlihatkan potensi makmal berpusat dalam mengoptimumkan penggunaan instrumen berteknologi tinggi, menyediakan perkhidmatan analisis yang berkualiti dan menjana pendapatan melalui perkhidmatan kepada pelanggan.
Selain itu, i-CRIM turut mengamalkan sistem pengurusan perkhidmatan pelanggan secara bersepadu melalui platform Sistem Pengurusan Instrumentasi Bersepadu UKM atau lebih dikenali sebagai SPINIC. Sistem ini memudahkan urusan pelanggan merangkumi tempahan perkhidmatan analisis, pembayaran dan penerimaan keputusan makmal. Pelaksanaan sistem tersebut membantu melancarkan proses perkhidmatan, meningkatkan kecekapan pengurusan pelanggan serta menyokong kebolehkesanan setiap urusan analisis yang dijalankan.
Melalui lawatan penanda aras ini, delegasi PKTAAB berpeluang mendapatkan pendedahan terhadap amalan terbaik dalam pengurusan dan pengoperasian peralatan penyelidikan, termasuk aspek latihan pengguna, kompetensi operator, penyelenggaraan, kalibrasi, pengesahan prestasi serta penyelesaian masalah teknikal (troubleshooting). Perkongsian pengalaman ini amat relevan dalam menyokong pengoperasian peralatan baharu yang diperoleh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sesi lawatan turut merangkumi kunjungan ke tiga makmal utama i-CRIM, iaitu Molecular Structure Characterization Laboratory, Physical Characterization Laboratory dan Morphology Laboratory. Delegasi berpeluang meninjau secara dekat kemudahan dan infrastruktur makmal, susun atur ruang kerja serta pelbagai instrumen analisis berteknologi tinggi yang digunakan dalam pelaksanaan perkhidmatan pengujian dan pencirian sampel. Penerangan yang diberikan merangkumi fungsi dan keupayaan setiap instrumen. Lawatan ini memberikan gambaran menyeluruh kepada delegasi mengenai pengurusan fasiliti, pengoptimuman penggunaan peralatan dan penyampaian perkhidmatan analisis saintifik secara profesional dan sistematik.
Lawatan penanda aras ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda komitmen berterusan bagi membina jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi. Sebelum berangkat pulang ke Bertam, delegasi PKTAAB turut dirai dengan buah tangan istimewa berupa laksa Johor oleh pihak tuan rumah, melengkapkan kunjungan yang bukan sahaja sarat dengan perkongsian ilmu, malah mengeratkan ukhuwah profesional antara USM dan UKM.