PPTI–PKTAAB Perkukuh Kolaborasi Penyelidikan Melalui Perkongsian Ilmu Klinikal Dan Penyelidikan
Oct 16, 2026
PKTAAB , September 15 2026
PROGRAM EKO-TRANSFORMASI - PKTAAB USM TERSENARAI DALAM LIMA PEMENANG: PERTANDINGAN INTERVENSI TRANSFORMASI PERSEKITARAN SIHAT PERINGKAT KEBANGSAAN
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), telah berjaya melaksanakan Program Eko-Transformasi PKTAAB sebagai inisiatif strategik untuk mentransformasikan persekitaran institusi ke arah yang lebih sihat, hijau, cekap sumber dan mampan. Inisiatif ini digerakkan secara bersepadu oleh pihak pengurusan, jawatankuasa pelaksana, staf dan warga institusi menerusi intervensi fizikal, sosial, dasar dan digital. Program ini memberi tumpuan kepada pengurusan sisa, pengurangan jejak karbon, ekonomi kitaran, penghijauan institusi, mobiliti hijau, pendidikan kelestarian dan pendigitalan melalui EcoSustain Hub.
Pencapaian ini disusuli pengiktirafan berterusan terhadap usaha kelestarian PKTAAB. PKTAAB menerima penarafan Pejabat Hijau pada tahun 2024 dan 2025 secara berturut-turut selama dua tahun. Dua projek utamanya, EcoSustain Hub dan Drive-thru EcoStation, turut dinilai sebagai projek berimpak tinggi.
EcoSustain Hub ialah platform digital mesra pengguna untuk merekod, menjejak dan menganalisis aktiviti mesra alam seperti kitar semula, penggunaan kenderaan dan amalan harian. Sebagai pusat pemantauan data kelestarian secara berpusat dan masa nyata, sistem ini membolehkan aktiviti, penyertaan warga, jumlah bahan yang dikumpulkan dan pelepasan gas direkod serta dipantau secara sistematik dan telus. Pendekatan ini menjadikan amalan kelestarian lebih terukur, berasaskan data dan berorientasikan tindakan. Melalui rekod impak, warga PKTAAB dapat memahami sumbangan tindakan mereka terhadap alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup serta persekitaran kerja yang lebih hijau. Program ini turut mengurangkan pembaziran sumber dan sisa, di samping berpotensi menjana nilai ekonomi kepada institusi.
Pencapaian Utama 2026
Seramai 520 staf menyertai pengisian data pelepasan gas rumah kaca serta aktiviti dan program kelestarian, dengan 82% staf PKTAAB aktif dalam aktiviti kelestarian. Sebanyak 11 program kelestarian dilaksanakan oleh 16 kumpulan AJK Kelestarian dengan 184 keahlian.
Dalam aspek ekonomi kitaran dan pengurusan sisa, 2,531.28 kg bahan kitar semula dikutip dan 4,534.30 kg dijual, menghasilkan pendapatan RM 1,011.30. Sebanyak 76.21 kg pakaian terpakai dan 182 unit sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dikumpulkan, manakala 201.38 kg kompos dihasilkan. Dari segi penghijauan, 889 pokok/tanaman ditanam. Jualan lestari menjana pendapatan tambahan RM 879.00, dan 2 penerbitan dihasilkan sebagai sumbangan kepada pendidikan kelestarian.
Inisiatif ini menyumbang kepada pencapaian SDG 3, SDG 9, SDG 12, SDG 13 dan SDG 17.
Kesimpulan
Pelaksanaan Program Eko-Transformasi PKTAAB melalui EcoSustain Hub membuktikan bahawa komitmen pengurusan, penglibatan aktif warga dan intervensi yang terancang mampu membawa perubahan positif kepada persekitaran institusi. PKTAAB mencatatkan satu lagi pencapaian apabila terpilih sebagai salah satu daripada lima pemenang kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi Pertandingan Intervensi Transformasi Persekitaran Sihat Institusi Pendidikan 2026. Program ini bukan sahaja membentuk persekitaran yang lebih hijau, bersih, sihat dan kondusif, malah memperkukuh budaya kerja yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta menyokong pencapaian SDG.
Hala Tuju
PKTAAB menyasarkan penglibatan warga yang lebih tinggi, perluasan penggunaan EcoSustain Hub, peningkatan program pendidikan dan latihan kelestarian, kerjasama yang lebih kukuh dengan agensi luar dan komuniti, serta penambahan kemudahan Eco-Station. Usaha ini diharapkan dapat memastikan Program Eko-Transformasi PKTAAB berkembang sebagai model amalan terbaik yang boleh diperluaskan kepada institusi lain di peringkat nasional.
Penulis: Dr Ying Chee Keat
Penulis Bersama:
1. Dr Noor Khairiah binti A. Karim
2. Pn. Noor 'Akidah binti Ubaidillah
3. Pn. Nurulhuda binti Abdul Jais