Senyuman Dah Cantik, Jangan Lupa Retainer!
Nov 20, 2026
SEKOLAH KEBANGSAAN PASIR GEBU, PENAGA, PULAU PINANG, April 9 2026
Penganjuran program sempena Hari Pendengaran Sedunia bertemakan “Dari Komuniti Ke Bilik Darjah: Penjagaan Pendengaran untuk Semua Kanak-Kanak” di SK Pasir Gebu merupakan langkah strategik merapatkan jurang akses kesihatan luar bandar. Dilaksanakan pada 9 April 2026 oleh Unit Telinga Hidung Tekak, Pembedahan Kepala & Leher, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), program ini dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Muhamad Yusri Bin Musa. Membawa kepakaran perubatan terus kepada anak nelayan dan petani adalah kritikal bagi memastikan intervensi awal tanpa kekangan logistik, menjamin hak setiap kanak-kanak untuk mendengar dan belajar dalam persekitaran yang kondusif.
Strategi pendidikan berkesan menjadi tunjang program melalui gabungan elemen STEM dan interaksi aktif. Ceramah kesihatan oleh Dr. Nur Farrahin Binti Shahrul Anuar, Pegawai Perubatan PKTAAB dan Dr. Mohd Najeb Bin Md Soleh, Pakar Perunding Telinga Hidung Tekak, Pembedahan Kepala & Leher, Hospital Pantai, Sungai Petani, menarik penyertaan murid dalam sesi kuiz.
Saringan terhadap 69 murid mendedahkan keperluan intervensi mendesak: 14 kes sumbatan tahi telinga yang memerlukan prosedur dan satu kes pengeluaran bendasing di kedua-dua belah telinga (putik kapas) oleh Dr. Nor Shahida Binti Abd Mutalib, Pakar Perunding Telinga Hidung Tekak, Pembedahan Kepala & Leher, PKTAAB. Penemuan putik kapas ini membuktikan kritikalnya pendidikan kesihatan bagi membetulkan amalan penjagaan telinga yang berbahaya dalam komuniti. Sementara menanti saringan pemeriksaan telinga, murid dibawa menerokai mini pameran STEM mengenai anatomi serta fisiologi telinga, memberikan pemahaman visual yang memudahkan murid memahami fungsi pendengaran dan penjagaan telinga secara praktikal.
Murid-murid juga berpeluang melawat serta menyaksikan bagaimana ujian pendengaran dilakukan di dalam lori kedap udara yang dibawa khas oleh unit Audiolab Sungai Petani, yang diketuai oleh En Yusrizal bin Yusuff, merupakan satu pengalaman yang istimewa bagi murid-murid.
Saringan kesihatan untuk guru-guru dan staf sekolah pula telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Pasukan Hospital Pantai, Sungai Petani. Program ini mendapat pujian dan penghargaan daripada Guru Besar, En. Hasbul Hazani Bin Daud, dan guru-guru SK Pasir Gebu, kerana dilihat sebagai model kerjasama komuniti yang cemerlang. Kejayaan ini membuktikan bahawa sinergi antara pakar perubatan IPTA, agensi swasta dan sekolah mampu meningkatkan kualiti hidup pelajar secara menyeluruh. Program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi manifestasi komitmen mampan dalam memastikan aspek kesihatan menjadi pemacu utama kecemerlangan akademik murid-murid.