Bahagian 2: Lebih Daripada Sekadar Luka Biasa: Otitis Eksterna, Malignant Otitis Eksterna (MOE) Dan Perikondritis.
Jul 08, 2026
USM KAMPUS KEJURUTERAAN, NIBONG TEBAL, August 16 2025
Kontinjen Pucung Harimau dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) meraih tempat ke-5 keseluruhan dalam Hari Warga Staf (HWS) 2025 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan dengan pungutan sebanyak 500 mata keseluruhan.
Sebanyak sepuluh acara telah dipertandingkan dengan melibatkan lima kontinjen. Kontingen tersebut ialah Pipit Hutan (Kampus Kejuteraan), Merbah Surih (Kampus Induk), Sambar Kuning (Kampus Kesihatan), Pekaka Udang (Kampus Kesihatan) dan Pucung Harimau (IPPT).
HWS merupakan salah satu aktiviti rasmi universiti bagi mengeratkan silaturrahim dan hubungan antara semua warga Universiti Sains Malaysia dari Kampus Kesihatan, Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Kemuncak kepada pertandingan yang diadakan ini adalah acara Malam Pentas Galau yang menjadi medan penentu kemenangan apabila setiap kontinjen tampil dengan persembahan drama muzikal bertemakan ceritera rakyat yang sarat dengan kreativiti, nilai moral serta diiringi alunan muzik. Persembahan kontinjen Pucung Harimau telah menambat hati juri profesional sehingga berjaya meraih tempat ke-3 dengan pungutan sebanyak 60 mata.
Bukan itu sahaja, terdapat banyak pencapaian yang berjaya diraih oleh Kontingen Pucung Harimau dalam Hari Warga Staf (HWS) 2025 yang telah berlangsung dengan jayanya di Kampus Kejuruteraan, USM Nibong Tebal. Antaranya adalah tempat pertama bagi acara Hunt Ngineers (Explorace); tempat ke-2 bagi acara Rope Warriors (Tarik Tali); tempat ke-3 bagi acara La La Loud (Sorakan) dan TENTnovasi Harmoni (Reruai Inovasi). Manakala, tempat ke-4 bagi acara HWSRun (Larian) dan Hook Me Up (Memancing) serta tempat ke-5 bagi tiga acara iaitu Boling, Hora Hore Sportiva (Sukaneka) dan Masterchef (Memasak).
Penganjuran Hari Warga Staf ini juga merupakan salah satu wadah untuk menyatukan dan meningkatkan kerjasama di semua peringkat yang melibatkan staf pengurusan dan profesional, akademik dan bukan akademik selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan warga staf yang mengutamakan kebersamaan, persahabatan dan kesejahteraan bersama sejajar dengan aspirasi USM sebagai sebuah komuniti inklusif, progresif dan berdaya saing.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan daripada Pengarah dan seluruh warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) serta Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) kepada semua pemenang yang telah berjaya mengharumkan nama IPPT/PPUSMB dalam Hari Warga Staf (HWS) 2025.
Turut hadir memeriahkan Pentas Malam Galau ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat yang juga Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Kampus, Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin; Pengarah Hospital Pakar USM (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani@Ab. Ghani; Pengarah Pejabat Transformasi Digital USM, Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa dan Pengarah Pejabat Pengurusan Projek USM, Ts. Arman Abdul Razak.