Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
BILIK SEMINAR, KOMPLEKS PENYELIDIKAN KANSER, December 19 2025
Seminar Kelestarian 2025 telah dianjurkan pada 19 Disember 2025 bertempat di Bilik Seminar CRC, Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK) sebagai salah satu inisiatif berstruktur dalam menyokong pelaksanaan Amalan Pejabat Hijau di Universiti Sains Malaysia (USM). Penganjuran program ini selaras dengan komitmen USM sebagai Universiti APEX dalam memperkukuh tadbir urus kelestarian, khususnya dalam aspek pengurusan sisa yang sistematik, patuh piawaian dan berimpak.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Noor Khairiah Bt. A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian PPKPK, yang menekankan keperluan pematuhan berterusan terhadap garis panduan pengurusan sisa serta kepentingan penglibatan semua peringkat warga kerja dalam memastikan amalan kelestarian dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
Seminar ini menampilkan taklimat pengurusan sisa oleh Cik Teng Wan Xin daripada ESH Resource Management Sdn. Bhd., yang memberi pendedahan berkaitan kaedah pengurusan sisa yang teratur, pengasingan sisa di punca, pematuhan kepada keperluan perundangan serta amalan terbaik yang menyokong pengurangan risiko operasi dan impak alam sekitar di persekitaran kerja institusi penyelidikan dan kesihatan.
Sesi perkongsian seterusnya bertajuk “Kompos Mudah: Manfaatkan Sisa Dapur dan Kebun”oleh En. Muhamad Hamzah daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM Induk memberi fokus kepada pelaksanaan inisiatif pengurangan sisa dapur dan kebun melalui kaedah pengkomposan. Ceramah ini memberi pendedahan kepada warga kampus mengenai kaedah pengurusan sisa organik yang lebih sistematik dan mesra alam, di samping membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan. Selain itu, pengkomposan sisa dapur dan kebun turut menghasilkan baja organik yang bermanfaat untuk menyuburkan tanaman, sekali gus menyokong amalan kelestarian dan ekonomi kitaran di peringkat kampus.
Majlis diteruskan dengan ucapan penutupan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Bakiah Binti Shaharuddin, Pengarah PPKPK, diikuti penyampaian cenderamata kepada penceramah serta penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen No Single-Use Plastic. Pemenang utama kempen ini ialah En. Mohd Jasmie Ikhram Bin Ab Rahaman dari Bahagian Akademik dan Antarabangsa, tempat kedua Pn. Zahanim Binti Abu Hasan dari Seksyen Sumber Manusia dan tempat ketiga Nurazlin Binti Waishak dari Pusat Perubatan USM Bertam. Turut menerima hadiah saguhati ialah Pn. Asiah @ Ramzah Binti Ismail, Pn. Halita Binti Md Diah, Pn. Nur Hidayah Binti Salim serta Pn. Farah Zalina Binti Hamzah. Inisiatif ini berperanan sebagai mekanisme pengiktirafan dan galakan kepada warga kampus dalam menyokong pelaksanaan amalan pengurangan plastik sekali guna di tempat kerja.
Seminar Kelestarian 2025 ini telah dihadiri oleh kira-kira 40 orang peserta yang terdiri daripada warga PPKPK dan unit berkaitan, melibatkan penyertaan secara fizikal di Bilik Seminar CRC serta dalam talian, sekali gus mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan warga kampus terhadap agenda kelestarian dan pengurusan sisa bertanggungjawab.
Secara keseluruhan, penganjuran Seminar Kelestarian 2025 menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Kelestarian Pejabat Hijau, khususnya dalam aspek kesedaran dan latihan pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta penglibatan warga organisasi. Program ini juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4, SDG 11, SDG 12, SDG 13 dan SDG 17.
Penganjuran seminar ini diharap dapat memperkukuh pematuhan terhadap amalan Pejabat Hijau, menyokong penambahbaikan berterusan sistem pengurusan sisa serta memperkasa budaya kerja lestari dalam kalangan warga USM.