Seminar Pemantapan Kemahiran Dan Kompetensi Kejururawatan 2026 Perkukuh Amalan Penjagaan Pesakit
Oct 07, 2026
AUDITORIUM, SAINS@BERTAM, PKTAAB, USM, October 7 2026
BERTAM, 6 Oktober 2026 – Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) dengan kerjasama Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Seminar Pemantapan Kemahiran dan Kompetensi Kejururawatan 2026 bertempat di Auditorium Sains@Bertam, PKTAAB.
Bertemakan “Memperkasa Kompetensi, Memantapkan Amalan Kejururawatan”, seminar yang berlangsung sehari ini menjadi platform kepada warga kejururawatan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kompetensi profesional dalam melaksanakan penjagaan pesakit yang selamat, berkualiti dan berkesan.
Seminar turut dihadiri oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin; Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim; wakil Pengerusi Program, Matron Falizah binti Abd Kadir; barisan penceramah, ahli jawatankuasa penganjur serta warga PKTAAB.
Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin turut menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan seminar. Seminar diteruskan dengan beberapa sesi perkongsian ilmu yang memberi penekanan kepada kemahiran dan kompetensi penting dalam amalan kejururawatan.
Sesi pertama bertajuk “Penilaian Tahap Kesakitan Menggunakan Teknik yang Betul” disampaikan oleh Puan Nor Sayidah Mafisah Mohd Nasir, jururawat di Dewan Bedah yang mempunyai sijil Post Basic Anaesthesia. Perkongsian tersebut menekankan kepentingan penilaian tahap kesakitan yang tepat sebagai sebahagian daripada proses penilaian pesakit.
Sesi kedua bertajuk “Teknik Asas dalam Pencucian Luka” disampaikan oleh Puan Athirah Nasuha Roslan, jururawat di Unit Luka PKTAAB dan pemegang sijil Post Basic Penjagaan Luka. Sesi ini memberi peluang kepada peserta mengimbas kembali prinsip serta teknik asas dalam penjagaan luka.
Seterusnya, sesi “ECG: Kefahaman Praktikal untuk Amalan Kejururawatan” disampaikan oleh Encik Ahmad Shakry Saidon, jururawat di Unit Kecemasan yang mempunyai Diploma Lanjutan Kecemasan. Perkongsian ini memberikan pendedahan berkaitan pemahaman ECG daripada perspektif amalan kejururawatan.
Sesi keempat bertajuk “Pengendalian Ubatan Kecemasan Secara Selamat dalam Situasi Kritikal” disampaikan oleh KJ Nurhazwani Awang Arif, Ketua Jururawat di Unit Kecemasan yang mempunyai Diploma Lanjutan Kecemasan. Sesi ini menekankan kepentingan ketepatan, kepantasan dan keselamatan dalam pengendalian ubatan ketika menghadapi situasi kecemasan bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.
Pengaplikasian Kemahiran Menerusi Aktiviti Praktikal
Pada sebelah petang, peserta mengikuti sesi praktikal yang dikendalikan oleh fasilitator yang ditetapkan. Sesi ini memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh menerusi sesi perkongsian ilmu dalam situasi praktikal.
Penglibatan aktif peserta melalui aktiviti praktikal turut membantu meningkatkan keyakinan, kecekapan serta keupayaan mereka dalam melaksanakan kemahiran kejururawatan.
Perkukuh Kualiti Penjagaan Pesakit
Seminar ini bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, malah merupakan salah satu usaha berterusan dalam memperkukuh kompetensi warga kejururawatan. Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh diharapkan dapat diaplikasikan secara berkesan dalam amalan klinikal, khususnya dalam meningkatkan keselamatan pesakit, kualiti perkhidmatan serta profesionalisme dalam penjagaan kejururawatan.
Penganjuran seminar ini turut mencerminkan komitmen Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan PKTAAB bersama PTI, USM dalam menyediakan ruang pembelajaran dan pembangunan profesional secara berterusan kepada warga kejururawatan.
Seminar Pemantapan Kemahiran dan Kompetensi Kejururawatan 2026 melabuhkan tirai dengan harapan agar segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang dikongsikan dapat dimanfaatkan serta diaplikasikan dalam amalan seharian.
Program ini membawa mesej bahawa kompetensi profesional perlu diperkukuh secara berterusan bagi memastikan warga kejururawatan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang selamat, berkualiti, beretika dan berintegriti.
“Kompeten. Beretika. Berintegriti. Ke arah Penjagaan Berkualiti.”
Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan PKTAAB dengan kerjasama Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia, barisan penceramah, fasilitator, urus setia serta semua peserta atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan seminar ini.
Teks disediakan oleh: KJ Nur Atiqah Bt Abdul Rahim
Disunting oleh: KJ Suziela Wati Bt Sulaiman