Soft Launching Anjung Serasi Di Kompleks Penyelidikan Kanser (Crc) PKTAAB
Oct 28, 2026
October 28 2026
BERTAM, 7 Oktober 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan sebuah ruang baharu berkonsepkan industrial di Kompleks Penyelidikan Kanser (CRC) yang dinamakan sebagai ANJUNG SERASI, bersempena Majlis Pra-Perasmian dan Pengumuman Nama Rasmi Lounge pada 7 Oktober 2026.
Kewujudan ruang baharu ini merupakan satu inisiatif yang dicadangkan oleh Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan (BPIJ) bagi menyediakan ruang tambahan yang kondusif, santai dan selesa kepada pelajar, pensyarah serta staf PKTAAB untuk berinteraksi, berbincang, bertukar pandangan dan menjana idea baharu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, yang turut mengumumkan nama rasmi ruang berkenaan sebagai “ANJUNG SERASI”. Menurutnya, ruang tersebut bukan sekadar berfungsi sebagai ruang rehat, malah diharapkan dapat menjadi ruang yang aktif dengan aktiviti intelektual, perbincangan akademik serta kolaborasi yang memberi nilai tambah kepada penyelidikan dan pembangunan warga PKTAAB.
ANJUNG SERASI dipilih daripada 24 cadangan nama yang diterima daripada warga staf dan pelajar PKTAAB. Kesemua cadangan tersebut telah diteliti dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi PKTAAB sebelum nama tersebut diperakukan sebagai nama rasmi ruang berkenaan.
Nama “Anjung” melambangkan sebuah ruang untuk persinggahan, pertemuan dan interaksi, manakala “Serasi” mencerminkan kesesuaian, keharmonian serta hubungan yang saling melengkapi dalam kalangan warga PKTAAB. Lebih signifikan, S.E.RA.S.I membawa maksud “Space for Engagement, Research, Academic Synergy and Interaction” dengan tagline “Where Ideas Connect, Collaboration Begins.”
Diharapkan ANJUNG SERASI dapat terus dimanfaatkan sebagai ruang yang mencetuskan idea, menggalakkan kolaborasi dan menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga PKTAAB, sekali gus menyokong usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan di PKTAAB serta USM.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia