Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
KILANG TECAN CDMO, SIMPANG AMPAT, PULAU PINANG, October 9 2025
Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) telah menerima jemputan daripada Kilang Paramit untuk menganjurkan program kesedaran kanser khusus buat komuniti pekerja kilang tersebut. Program ini memberi tumpuan kepada jenis-jenis kanser yang kerap berlaku dalam kalangan lelaki dan wanita, iaitu kanser payudara, kolorektal, prostat dan testis (buah zakar).
Program yang berlangsung di Kilang Tecan CDMO, Simpang Ampat, Pulau Pinang ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 2.00 petang. Antara pengisian utama program termasuk pameran statik, pemeriksaan klinikal payudara, serta sesi interaktif bersama jururawat dan doktor yang dijalankan secara individu mahupun dalam kumpulan kecil.
Program ini menerima sambutan menggalakkan apabila seramai 81 pekerja wanita hadir secara sukarela untuk menjalani pemeriksaan klinikal payudara. Hasilnya, 19 peserta dikesan mempunyai ketulan pada payudara dan seterusnya diberikan surat rujukan ke hospital pakar untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut. Menurut pihak penganjur, pendekatan sebegini amat berkesan kerana selain pemeriksaan klinikal oleh jururawat terlatih, ia turut memberi pendidikan kesihatan mengenai teknik pemeriksaan sendiri payudara.
Selain itu, program ini turut menekankan kesedaran terhadap jenis-jenis kanser lain yang lazim berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Melalui inisiatif ini, PPUSMB turut mempromosikan kempen “Jom! Bersama-sama Cegah Penyakit Kanser” yang memberi penekanan kepada amalan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, serta kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan secara berkala. Ini adalah antara strategi baharu PPUSMB dalam mendekati komuniti bagi mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.
Matlamat utama program ini adalah untuk mengurangkan jumlah pesakit kanser melalui kesedaran komuniti terhadap penyakit tersebut. Penekanan kepada pengesanan awal, pemahaman risiko, serta pencegahan melalui gaya hidup sihat menjadi fokus utama usaha ini.
Pihak PPUSMB turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) atas sokongan serta kebenaran yang diberikan kepada pasukan klinikal untuk melibatkan diri dalam program komuniti ini.