
Anak saya lambat membaca- perlukan saya risau?
Photo By IPPT
Dr. Nur Arzuar Bin Abdul Rahim, Pensyarah Perubatan & Pakar Pediatrik, PPUSMB, USM
Sebagai seorang pakar pediatrik, soalan seperti “Doktor, anak saya lambat membaca. Perlukah saya risau?” adalah antara yang kerap ditanya oleh ibu bapa, terutamanya apabila anak mereka mula memasuki usia prasekolah atau darjah satu. Saya menyambut baik soalan ini kerana ia mencerminkan keprihatinan ibu bapa terhadap pendidikan dan perkembangan anak mereka. Sebagai ibu bapa, adalah lumrah untuk berasa cemas dan bimbang apabila melihat anak orang lain sudah pandai membaca, sedangkan anak kita masih teragak-agak menyebut satu perkataan mudah. Adakah kelewatan anak membaca ini sesuatu yang normal, atau petanda kepada masalah yang lebih serius? Kebimbangan ini sebenarnya sangat “valid” – kerana keupayaan membaca adalah salah satu penanda aras yang penting dalam perkembangan kognitif dan pendidikan awal seorang kanak-kanak. Penting, sebagai ibu bapa anda perlu faham bahawa perkembangan membaca seorang kanak-kanak bukanlah satu perlumbaan dan lebih penting perkembangan literasi awal seorang kanak-kanak bukanlah bersifat seragam atau untuk semua. Namun, seperti banyak perkara lain terutamanya berkaitan perkembangan seorang kanak-kanak, jawapan kepada persoalan diatas, tidak semudah “ya” atau “tidak”. Ia memerlukan pemahaman yang menyeluruh tentang perkembangan normal dan variasi individu seorang kanak-kanak.
Apa Itu "Lambat Membaca"?
Kemahiran membaca tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berkembang secara berperingkat, mengikut tahap perkembangan bahasa dan kognitif anak. Memahami apakah yang dianggap normal pada setiap peringkat umur kanak-kanak boleh membantu ibu bapa memantau perkembangan anak mereka dengan lebih jelas dan realistik. Secara umumnya, pada usia 4 hingga 5 tahun, kebanyakan kanak-kanak mula menunjukkan minat terhadap buku, boleh mengenal beberapa huruf, dan seronok bermain dengan bunyi perkataan — seperti menyebut nama huruf dalam nama sendiri atau mengenali huruf awal dalam objek harian. Anak pada usia ini juga mula memahami bahawa perkataan membawa makna dan dibaca dari kiri ke kanan. Menjelang umur 6 hingga 7 tahun, kanak-kanak biasanya sudah dapat mengenal hampir semua huruf dan mula membaca perkataan mudah secara fonetik, seperti "makan", "bola" atau "rumah". Mereka juga berupaya mengeja dan menyalin ayat pendek. Pada peringkat ini, kefahaman bacaan mula terbina, di mana anak bukan sahaja boleh menyebut perkataan tetapi juga memahami maksud ayat. Sekiranya mereka mendapat sokongan yang sesuai, ramai yang akan mampu membaca bahan bacaan ringkas dengan yakin menjelang penghujung darjah 1 atau darjah 2 persekolahan. Bagi kanak-kanak berumur 8 tahun ke atas, kecekapan membaca sepatutnya semakin lancar, dengan sebutan yang tepat dan pemahaman yang semakin mendalam. Mereka mampu membaca dengan ekspresi, menjawab soalan berkaitan isi kandungan, dan membuat inferens mudah daripada teks. Sekiranya kanak-kanak pada usia ini masih menunjukkan kesukaran yang ketara — seperti keliru antara huruf, membaca secara mengeja-eja setiap perkataan, atau tidak memahami apa yang dibaca — ini boleh menjadi petanda kepada masalah yang memerlukan perhatian lebih lanjut.
“Lambat membaca” bukanlah satu label yang boleh diberikan kepada seorang kanak-kanak, hanya berdasarkan usia biologinya semata-mata. Keupayaan membaca adalah hasil gabungan pelbagai aspek perkembangan seperti tahap perkembangan bahasa, kemahiran fonologi (keupayaan membezakan dan memanipulasi bunyi dalam perkataan), fungsi kognitif, pendedahan kepada persekitaran literasi dirumah dan sekolah dan faktor psikososial seperti keyakinan diri dan sokongan emosi. Oleh yang demikian, menilai kebolehan membaca seorang kanak-kanak memerlukan pandangan yang holistik. Seorang kanak-kanak yang mungkin belum membaca dengan lancar pada usia 6 tahun, tidak semestinya mengalami masalah, asalkan mereka menunjukkan kemajuan dalam kemahiran pra-bacaan seperti mengenal huruf, memahami hubungan antara huruf dan bunyi, serta menunjukkan minat terhadap cerita dan buku. Ini adalah asas yang kukuh. Keadaan ini masih boleh dianggap dalam lingkungan perkembangan yang normal. Dengan bimbingan yang berterusan, kebanyakkan kanak-kanak ini, akan menguasai kemahiran membaca dalam masa yang sesuai.
Photo By Harian Metro April 2018
Bacakan buku pada anak-anak untuk merangsang minat membaca
Kita harus akui bahawa setiap individu seorang kanak-kanak adalah berbeza. Ada yang boleh membaca dengan lancar seawal usia lima tahun, manakala ada yang hanya mula benar-benar “menangkap” konsep bacaan apabila hampir menamatkan darjah satu. Ini bukalah kelewatan yang perlu dicemaskan, tetapi ia adalah variasi perkembangan seorang kanak-kanak. Kelewatan yang ringan dalam kemahiran membaca bukanlah satu kegagalan, dan tidak bermakna anak kita itu malas atau tidak bijak. Apa yang penting kita tidak terburu-buku membuat kesimpulan, dan pada masa yang sama, kita tidak menutup mata terhadap kemungkinan cabaran yang sebenar yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut. Selain itu, kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan bahasa atau pertuturan pada usia prasekolah juga berisiko tinggi mengalami cabaran membaca apabila memasuki alam persekolahan. Sekiranya anak hanya mula bercakap lewat, mempunyai kosa kata yang terhad, atau sukar menyusun ayat, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk mengaitkan bunyi dan simbol huruf dengan berkesan. Faktor persekitaran turut memainkan peranan. Kurangnya pendedahan kepada buku, cerita, dan aktiviti bahasa di rumah, boleh menjejaskan perkembangan awal literasi mereka. Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran yang kurang rangsangan bahasa — contohnya tidak biasa dibacakan buku atau tidak banyak berbual dengan orang dewasa — mungkin menghadapi kesukaran membina asas fonologi dan kosa kata. Kanak-kanak yang membesar dalam dua bahasa (bilingual) juga, boleh menunjukkan kelewatan kemahiran membaca yang bersifat sementara, dan memerlukan pendekatan pengajaran yang sesuai, bukan semata-mata digolongkan sebagai bermasalah. Selain itu, kanak-kanak dengan gangguan neurologi seperti ADHD, autisme, atau gangguan pemprosesan pendengaran turut berada dalam kumpulan risiko, kerana gangguan ini boleh menjejaskan tumpuan, daya ingatan kerja, atau keupayaan memproses bunyi bahasa. Akhir sekali, pengalaman awal kehidupan yang mencabar seperti trauma emosi, kes pengabaian dan penderaan, atau kekurangan nutrisi juga boleh mengganggu perkembangan kognitif dan keupayaan belajar secara keseluruhan. Saya ingin menasihatkan dan mengajak, ibu bapa dan guru untuk melihat faktor risiko yang disebut diatas bukan sebagai satu stigma kepada kanak-kanak tersebut, tetapi sebagai satu petunjuk penting untuk kita boleh bertindak awal.
Peranan “Fonetic Awareness” atau Kesedaran fonologi
Apa yang sering tidak disedari oleh ramai ibu bapa — dan ini bukan salah mereka — ialah bahawa “Fonetic Awareness” atau kesedaran fonologi bukan sekadar satu kemahiran tunggal, tetapi merupakan satu rangkaian keupayaan bahasa seorang kanak-kanak yang kompleks dan berlapis-lapis, yang berkembang secara bertahap dalam minda mereka. Ia merujuk kepada keupayaan kanak-kanak untuk memahami dan memanipulasi bunyi-bunyi yang membentuk perkataan dalam pertuturan. Antara komponen utama kesedaran fonologi ini, termasuklah keupayaan untuk membezakan perkataan dalam ayat, memecahkan perkataan kepada suku kata, serta mengenal dan menghasilkan rima — iaitu perkataan yang berakhir dengan bunyi yang serupa. Kanak-kanak juga secara beransur-ansur belajar memahami bunyi permulaan (onset) dan bunyi akhir (rime) dalam sesuatu perkataan. Kemuncak kepada proses ini ialah “Fonetic Awareness” atau kesedaran fonemik — satu pencapaian kognitif yang sangat penting dalam perkembangan literasi awal. Di sinilah kanak-kanak mula menunjukkan keupayaan untuk mengenal pasti, menggabung, memecah dan memanipulasi bunyi-bunyi fonem, iaitu unit bunyi terkecil dalam bahasa. Sebagai contoh, memahami bahawa perkataan “kat” terdiri daripada tiga fonem: /k/, /a/ dan /t/, bukan sahaja menandakan kematangan linguistik, tetapi juga menjadi asas utama bagi pembelajaran membaca dan menulis dengan berkesan. Sebagai doktor kanak-kanak yang menyaksikan sendiri proses ini dalam perkembangan kanak-kanak saban hari, saya tidak dapat menekankan betapa pentingnya sokongan ibu bapa dan guru dalam memupuk kemahiran-kemahiran ini sejak usia awal.
Setiap kali kita mendendangkan lagu rima, bermain dengan suku kata, atau berbual tentang bunyi permulaan perkataan dalam kehidupan seharian dengan mereka, kita sebenarnya sedang merangsang bahagian otak kanak-kanak yang menghubungkan bahasa lisan dengan literasi. Apabila kita mengetahui pentingnya “Fonetic Awareness” untuk diasah, kita boleh melakukan perbagai aktiviti sejak anak di usia pra-sekolah seperti menyanyi lagu kanak-kanak, bermain teka-teki bunyi dan sebagainya. Tidak perlu alatan canggih – cukup dengan masa, perhatian dan galakkan kita dan orang dewasa disekeliling mereka. Jangan pandang remeh detik-detik kecil dalam permainan bahasa harian. Dalam tawa mereka bermain dengan bunyi, tersembunyi potensi besar untuk menjadi pembaca dan penulis yang cekap. Kita bukan sekadar mengajar anak menyebut bunyi — kita sedang membuka pintu masa depan mereka. Kajian telah membuktikan bahawa tahap kesedaran fonologi yang tinggi pada awal usia sangat berkait rapat dengan kejayaan anak dalam membaca dan menulis apabila mereka melangkah ke alam persekolahan. Anak yang belum mantap kemahiran seperti mengenal bunyi awal sesuatu perkataan, menyebut rima, atau memecahkan perkataan kepada bunyi individu, mungkin akan menghadapi kesukaran dalam proses pembelajaran membaca. Ini bukan salah mereka, tetapi tanda bahawa mereka mungkin memerlukan latihan yang lebih khusus dan tersusun. Masalah dengan “Fonetic Awareness” atau kesedaran fonologi ini juga boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah pembelajaran disleksia. Pembaca sekalian boleh merujuk artikel saya berkaitan disleksia yang telah saya tulis sebelum ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Apa yang boleh ibu bapa lakukan?
Saya ingin menekankan betapa pentingnya pengesanan awal terhadap sebarang tanda kelewatan literasi dan bahasa. Ramai ibu bapa diluar sana, tidak menyedari atau terlepas pandang bahawa kelewatan dalam mengenal huruf atau menyebut perkataan bukan semata-mata soal “belum bersedia”, tetapi mungkin signal cabaran pembelajaran yang dialami oleh anak anda yang memerlukan perhatian profesional.
Oleh yang demikian, saya ingin menyarankan agar ibu bapa segera mendapatkan penilaian lanjut sekiranya mendapati tanda-tanda berikut pada anak yang berusia 6 tahun dan ke atas:
• Masih tidak dapat mengenal kebanyakan huruf, walaupun telah diajar secara berulang.
• Menghadapi kesukaran menyebut perkataan mudah, seperti “buku” atau “bola”, meskipun telah dilatih secara konsisten. Adakah mereka tidak dapat menggabungkan bunyi menjadi perkataan (seperti /b/ + /a/ + /t/ = “bat”)?
• Tidak menunjukkan minat terhadap buku, cerita atau aktiviti yang melibatkan bahasa, berbanding rakan sebaya. Atau berasa mudah kecewa apabila cuba membaca?
• Mempunyai sejarah kelewatan dalam perkembangan bahasa atau komunikasi, seperti lambat bercakap atau sukar membina ayat.
• Terdapat sejarah keluarga yang mengalami disleksia atau gangguan pembelajaran lain, yang diketahui cenderung untuk diwarisi.
Photo By Harian Metro April 2018
Sediakan perpustakaan mini di rumah
Penilaian oleh pakar seperti patologi pertuturan-bahasa, pakar psikologi pendidikan, atau guru pemulihan khas bukan sekadar untuk mengesan kemungkinan masalah pembelajaran/masalah lain atau hanya kelewatan biasa, tetapi untuk memahami profil pembelajaran anak secara menyeluruh. Ia adalah langkah penting bagi merancang intervensi yang bersasar, berkesan dan sesuai dengan keperluan unik setiap kanak-kanak. Percayalah, bahawa setiap kanak-kanak mempunyai potensi untuk belajar dan berkembang — asalkan diberi peluang yang betul, pada waktu yang tepat. Jangan tunggu anak “kejar” perkembangan rakan sebaya. Sebaliknya, bantulah mereka dengan sokongan yang sesuai, supaya mereka boleh mengejar impian mereka sendiri.
Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sementara menunggu penilaian professional? Ingatlah ini bukannya alasan untuk berasa pasif atau tidak berdaya. Ibu bapa sebenarnya adalah ‘terapi pertama’ dalam kehidupan anak mereka. Mereka boleh memainkan peranan aktif di rumah. Salah satu intervensi paling berkesan dan mudah dilakukan dengan konsisten ialah membacakan buku kepada anak setiap hari. Walaupun anak belum mampu membaca sendiri, pendedahan berulang terhadap bahasa dalam bentuk cerita, dapat memperkaya kosa kata, membina kefahaman terhadap struktur ayat dan naratif, serta membentuk minat terhadap dunia bacaan. Suara ibu bapa yang penuh ekspresi semasa membaca juga membantu anak memahami irama dan intonasi bahasa yang betul. Pilihlah buku bergambar yang menarik, ajak mereka untuk meneka apa yang akan berlaku seterusnya. Ini bukan sahaja akan merangsang minat tapi akan memperkukuhkan permahaman mereka. Ibu bapa juga, boleh melibatkan anak dalam aktiviti yang merangsang “Fonetic Awareness” atau kesedaran fonologi .Permainan seperti meneka bunyi awal sesuatu perkataan contohnya ('b' untuk bola), bermain dengan rima (perkataan yang berakhir dengan bunyi serupa contohnya (Kucing, pucuk, lucu — semua bunyi akhir /u/), atau menepuk suku kata contohnya (“ke-tu-pat” = 3 tepukan). Ini adalah asas penting sebelum kanak-kanak mampu membaca perkataan secara formal. Bagi kanak-kanak yang lebih responsif terhadap rangsangan visual dan taktil, pendekatan multisensori boleh digunakan – seperti menggunakan kad huruf bertekstur (boleh disentuh dan sebut), menulis huruf dalam pasir atau tepung, atau aktiviti “pairing” atau meneka pasangan gambar dengan perkataannya. Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah difahami. Namun, yang tidak kurang penting ialah sokongan emosi yang konsisten daripada ibu bapa. Elakkan memarahi anak apabila mereka tersilap, dan jangan membandingkan mereka dengan adik-beradik atau rakan sebaya. Sebaliknya, berikan galakan dan pujian terhadap usaha yang ditunjukkan, walaupun kecil: “Ibu bangga kamu cuba baca sendiri.” Perkara ini akan membina keyakinan anak dan mendorong mereka untuk terus mencuba. Di samping itu, ibu bapa digalakkan untuk sentiasa berkomunikasi dengan guru kelas atau guru pemulihan bagi memahami situasi anak di sekolah, serta berkongsi pemerhatian dari rumah. Pendekatan kolaboratif ini akan membantu pakar mengenal pasti cabaran sebenar anak dengan lebih tepat apabila tiba waktu penilaian.
Photo By Harian Metro April 2018
Bawa anak-anak ke pesta buku
Kesimpulannya
Sebagai seorang pakar pediatrik, saya ingin menggalakkan ibu bapa agar tidak mudah panik, tetapi pada masa yang sama jangan leka. Walaupun perkembangan kanak-kanak bukanlah suatu perlumbaan kerana ia adalah proses yang berbeza bagi setiap individu. Apa yang paling penting ialah kepekaan ibu bapa untuk mengambil tindakan awal, bukan hanya menunggu anak "akan pandai sendiri". Ibu bapa perlu terus berusaha untuk mengenali anak mereka- bagaimana mereka belajar, apa yang mereka minati dan bagaimana mereka memberi respon kepada galakkan dan bimbingan kita. Dengan pendekatan yang bersesuaian, ramai kanak-kanak yang pada awalnya kelihatan “lambat” membaca akhirnya dapat mengejar rakan sebaya mereka dan membina keyakinan diri yang kuku dalam pembelajaran di sekolah. Perhatikan tanda-tanda amaran tertentu seperti kesukaran memahami arahan, masalah pendengaran atau pertuturan atau tiada minat langsung terhadap buku- ini mungkin menjadi petunjuk untuk penilaian lebih lanjut. Namun dalam kebanyakkan kes, sokongan positif, pembacaan bersama secara konsisten dan suasana di rumah yang kaya dengan bahasa sudah mencukupi untuk membantu anak berkembanga mengikut potensi mereka. Ingatlah setiap anak adalah unik dan berkembangan mengikut garis masa mereka sendiri. Peranan kita adalah menjadi peneman perjalananan mereka, buka pengadil masa. Teruskan memberi semangat, teruskan bertanya dan yakinlah dengan kasih sayang, kesabaran dan panduan yang tepat – setiap anak mampu mencapai kecemerlangan mereka sendiri.