Ilmu Menyelamatkan Nyawa: Pelajar Sekolah didedahkan Dengan Peranan First Responder
Community

Ilmu Menyelamatkan Nyawa: Pelajar Sekolah didedahkan Dengan Peranan First Responder

Published : 21 July 2025

Sekolah Menengah Tunku Putra pada 21 Julai 2025
LANGKAWI, KEDAH DARUL AMAN , July 21 2025 -

Langkawi, Kedah, 21-22 Julai 2025 – Satu program KPT Prihatin MADANI, Pertolongan Cemas : Everybody Can Do It, telah dilaksanakan di 2 buah sekolah di Langkawi. program ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada peranan penting sebagai First Responder dalam pelbagai situasi kecemasan. Seramai 532 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra telah terlibat dalam program ini yang merangkumi sesi ceramah dan latihan praktikal.

Photo By Muhamad Naim Muhamad Nizam
Sekolah Menengah Mahsuri pada 20 Julai 2025



Program yang dikendalikan oleh pasukan perubatan dan kesihatan terlatih dari PPUSMB ini memberikan pendedahan kepada pelajar tentang langkah awal yang boleh dilakukan ketika berlaku kemalangan, termasuk teknik menghentikan pendarahan, memberi tekanan pada luka, tindakan awal bagi kecederaan patah tulang serta melakukan CPR asas.

 

Photo By Muhamad Naim Muhamad Nizam
Sekolah Menengah Pondok Upeh, Balik Pulau pada 17 Julai 2025



Menurut salah seorang penceramah En. Shakry, yang juga Jururawat Terlatih Penjagaan Kecemasan Kritikal PPUSMB, “Saya sendiri pernah beberapa kali menjadi orang pertama (first responder) di tempat kejadian. Sebelum pasukan perubatan (ambulans) tiba, bantuan awal yang kita beri sangat penting, ramai tidak sedar bahawa tindakan awal dan ringkas ini boleh menyelamatkan nyawa.” Pelajar turut didedahkan bahawa First Responder bukan semestinya anggota pasukan perubatan, tetapi sesiapa sahaja yang berada di lokasi kejadian dan mampu bertindak dengan pengetahuan yang betul.

Photo By Muhamad Naim Muhamad Nizam
Teknik balutan dan cucian luka



Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan tindakan segera, tetapi juga membentuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mereka. Antara modul yang didedahkan dalam sesi ini termasuklah teknik asas CPR, kawalan pendarahan dan kepatahan serta cucian luka. Pelajar turut didedahkan kepada kepentingan menguruskan situasi kecemasan dengan tenang  serta membuat panggilan 999 secara berkesan.

Photo By Muhamad Naim Muhamad Nizam
Teknik balutan anduh



Apa yang lebih membanggakan,  dapatan daripada soal selidik pelajar menunujukan bahawa majoriti daripada mereka bersetuju bahawa selepas mengikuti latihan pertolongan cemas ini, mereka lebih memahami serta dapat mengenalpasti  situasi memerlukan CPR dan langkah-langkah melaksanakannya  dengan betul. Selain itu, mereka juga bersetuju bahawa mereka kini lebih yakin untuk membuat balutan dengan teknik yang betul serta melakukan cucian luka dengan cara yang bersih dan selamat.  Sesi refleksi pelajar turut menunjukkan bahawa  mereka merasakan program ini sangat membantu mereka lebih bersedia dalam situasi kecemasan.  Ramai dalam kalangan pelajar termasuk guru-guru menunjukkan minat yang mendalam untuk mempelajari dan mempraktikkan kemahiran yang disampaikan. Malah, ada yang menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan sukarelawan komuniti selepas tamat persekolahan kelak.

Photo By Muhamad Naim Muhamad Nizam
Praktikal CPR bersama PPP Mohd Faisal




Terdahulu, program yang sama turut diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang pada 17 Julai 2025 dan menerima maklum balas yang serupa. Para pelajar menunjukkan minat yang tinggi serta aktif dalam sesi praktikal dengan mengambil peluang untuk mencuba sendiri teknik melakukan CPR, cucian luka dan balutan anduh lengan. 

Pihak USM turut menyatakan bahawa program seperti ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan masyarakat berilmu insaniah. “Budaya kita selama ini banyak diwarnai dengan rasa takut untuk bertindak. Kita takut disalahkan, takut silap langkah. Tetapi dengan ilmu, kita mampu mengubah perkara itu. Kita boleh jadi penyelamat, bukan sekadar penonton,” ujar penyelaras program, Dr. Rohayu Hami.

Program seperti ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negara, agar ilmu menyelamatkan nyawa ini tidak hanya eksklusif kepada petugas perubatan, sebaliknya menjadi kemahiran asas bagi setiap rakyat Malaysia

Untuk video penuh program boleh klik pada pautan ini 





SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
Scroll to Top