Collaboration

PROGRAM EKSPLORASI STEM PERINGKAT IPPT DAN SK KEPALA BATAS DISAMBUT DENGAN JAYANYA DALAM USAHA MEMPERKASAKAN BIDANG SAINS, TEKNOLOGI, DAN INOVASI (STI) GENERASI MUDA

Published : 09 January 2025

STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2024
PUSAT PENYELIDIKAN HAIWAN (ARC) , January 9 2025 -

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas telah menganjurkan Program STI 100³ , satu agenda di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berlangsung sebanyak tiga sesi. 
Program STI 100³ merupakan simbolik daripada “100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari”, di mana rangka pelaksanaan program ini dirancang sebagai sebuah inisiatif bersepadu yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif daripada 100 orang saintis tempatan dengan 100 sasaran sekolah dalam tempoh 100 hari bagi satu kitaran. Ia adalah susulan daripada hasrat yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Ucapan Perasmian Program National Bioeconomy Showcase (NBiOSHOWCASE) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 17 Julai 2024 yang lalu.  

                                                                         

                                                                                                                                     Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
                                                                                                                                         STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2024
Objektif pelaksanaan Program STI 100³ adalah untuk memupuk, meningkat dan memperkasakan kesedaran serta minat terhadap bidang STI di samping meningkatkan aktiviti pembudayaan STI dan penggunaan aplikasi pengetahuan STI dalam kalangan golongan masyarakat. Selain itu, memastikan kemahiran dan kepakaran Saintis dimanfaatkan secara optimum dalam membantu dan membimbing kumpulan sasaran program sekaligus untuk mewujud dan mengukuhkan kolaborasi strategik dalam bidang STI dalam kalangan semua pihak yang terlibat dengan program. 

                                                                            

                                                                                                                                          Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
                                                                                                                                                STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2024
Program Program STI 100³ di antara IPPT dan SK Kepala Batas ini dijalankan dalam tiga sesi melibatkan pelbagai jenis modul aktiviti termasuk demo sains, pertemuan secara bersemuka, aktiviti praktikal interaktif, pertandingan dan lawatan makmal seperti yang telah digariskan oleh MOSTI.  
Sesi pertama Program STI 100³ di antara IPPT dan SK Kepala Batas ini berlangsung pada 9 Disember 2024 yang lalu dengan memperkenalkan para pelajar kepada empat (4) kerjaya STEM iaitu saintis DNA, saintis forensik, profesion jurutera dan doktor perubatan, di mana seramai 70 pelajar darjah 6 dari dua kelas (6 Cerdik dan 6 Dinamik) SK Kepala Batas menjadi kumpulan fokus.  
Sesi kedua Program STI 100³ adalah melibatkan aktiviti praktikal kerjaya-kerjaya ini seperti pengekstrakan DNA, analisis cap jari forensik dan pengalaman realiti maya menggunakan Oculus VR untuk memahami tugas seorang doktor  yang telah berlangsung pada 18 Disember 2024 yang lalu. Bukan itu sahaja, Pertandingan Tiru Gaya Saintis IPPT dan SKKB turut bermula dalam sesi kedua sehingga 5 Januari 2025.  

                                                                              

                                                                                                                                       Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
                                                                                                                                              STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2024
Manakala, sesi ketiga Program STI 100³ yang berlangsung hari ini adalah sesi lawatan sambil belajar ke makmal di IPPT, tempat di mana para saintis menjalankan penyelidikan mereka. Para pelajar juga diberikan peluang untuk menggunakan pipette dan mikroskop, melihat haiwan yang digunakan dalam kajian dan juga melihat mesin berteknologi tinggi yang dicipta oleh jurutera dalam bidang sains dan kesihatan. Sesi lawatan ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Guru Besar SK Kepala Batas dan lapan (? orang lagi guru pengiring bersama-sama dengan 70 orang pelajar. Para pelajar dibawa melawat ke dua unit yang berbeza iaitu di Makmal Penyelidikan Berpusat (CRL) dan Seksyen Penyelidikan Haiwan (SPH).  
Kemuncak kepada Program STI 100³ ini, adalah semasa Majlis Penutup Program STI 100³ yang berlangsung di Bilik Seminar Pusat Penyelidikan Haiwan (ARC), IPPT dengan disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).  
Majlis dimulakan dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Encik Norazrin Abdul Razak, Guru Besar SK Kepala Batas seterusnya ucapan dari Pengarah IPPT dan PPUSMB.  
Bakiah Shaharuddin dalam ucapannya berkata, melalui program ini secara tidak langsung dapat memberikan manfaat kepakaran saintis dalam membimbing pelajar dan komuniti serta mengukuhkan kolaborasi antara pihak-pihak yang terlibat seperti kolaborasi antara pihak sekolah dan Institut Pengajian Tinggi.  
“Saya amat berbangga dengan penglibatan saintis IPPT yang terpilih untuk program ini, iaitu Dr. Asmida Isa dan juga barisan saintis lain yang turut berkolaborasi menjayakan program ini, antaranya adalah Dr. Noorsuzana, Dr. Mohammad Syamsul Reza dan Dr. Syamimi”, katanya.   

                                                                                

                                                                                                                                            Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
                                                                                                                                                    STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2024
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa, para Saintis ini telah memberikan komitmen dan dedikasi tinggi bagi memastikan program ini berjaya mencapai inisiatif yang disasarkan oleh pihak MOSTI dan pada masa yang sama, kepakaran mereka dapat dimanfaatkan secara optimum bukan hanya untuk membimbing pelajar tetapi juga untuk menyumbang kepada pembinaan bakat dalam bidang sains dan teknologi.  
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada dua lagi pensyarah IPPT yang telah terpilih di bawah program STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2024 iaitu Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon dan Dr. Siti Hawa Ngalim. Dengan ini, secara tidak langsung menunjukkan komitmen IPPT untuk sama-sama menyumbang kepada inisiatif murni agenda nasional ini.  
Majlis diteruskan lagi dengan sesi tayangan video yang merangkumkan setiap sesi untuk Program STI 100³ bagi peringkat IPPT dengan kolaborasi bersama SK Kepala Batas dan diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Tiru Gaya Saintis dalam kalangan pelajar 6 Cerdik dan 6 Dinamik. 
Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Dr. Asmida Isa, Saintis Pelaksanaan Kitaran 1 Program STI 100³ Tahun 2024; Saintis-saintis Kolaborasi IPPT iaitu Dr. Noorsuzana Mat Shariff, Dr. Mohammad Syamsul Reza Harun, Dr. Syamimi Syamsuddin; Guru-guru Pengiring SK Kepala Batas; Pegawai-pegawai Utama IPPT dan PPUSMB, serta warga kerja IPPT dan PPUSMB. 
Teks disediakan oleh:  Nur Aqilah Tajul Ashikin  
Teks disunting oleh:  Dr. Asmida Isa 
Foto: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Nurul Nazihah Mohd Rizal  
Pusat Media & Perhubungan Awam 
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju 
Universiti Sains Malaysia 
9 Januari 2025 
#ippt  #ppusmb  #usm  #WeLead

Scroll to Top