
Ketua Projek, Prof Madya Dr Bakiah (kanan) bersama Datuk Bandar Seberang Perai (tengah) dan penyelaras projek, Dr Siti Razila (kiri)
Lebih 40 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat sekitar Nibong Tebal telah menyertai program komuniti yang menyatukan semangat kelestarian, kreativiti, dan keprihatinan kepada alam sekitar. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Inovasi Komuniti Lestari: Pemerkasaan Kitar Semula ke arah Kesejahteraan Alam Sekitar dan Kualiti Hidup, yang dipayungi oleh IPPT di bawah Seberang Perai Small Towns Grants Programme.
Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), melibatkan pensyarah, staf dan pelajar yang komited dalam pemindahan ilmu dan kemahiran kepada masyarakat. Dengan penyertaan percuma, bahan disediakan, dan suasana inklusif yang mesra, program ini berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai umur dan latar belakang.
Terdapat 2 modul utama dalam program ini iaitu 1). Bengkel mentransformasi fabrik terpakai untuk menghasilkan barangan kreatif dan berguna seperti scrunchie (pengikat rambut), brooch (kerongsang), dan klip/riben rambut. Aktiviti ini bukan sahaja memberi nilai baru kepada tekstil terbuang, tetapi juga membuka peluang ekonomi melalui produk upcycle.
Penghasilan kerongsang dari fabrik terbuang | Penghasilan rantai kunci dari jeans terbuang |
2). Bengkel kedua pula memberi pendedahan kepada kaedah menghasilkan sabun menggunakan minyak masak terpakai. Para peserta dibimbing secara langsung dalam proses pembuatan sabun dan membawa pulang sabun buatan sendiri – bukti bahawa sisa domestik boleh diolah menjadi produk berguna dengan nilai ekonomi.
Penghasilan pengikat rambut dari kain terbuang | Penghasilan riben Bella dari kain terbuang |
Mesej penting yang telah disampaikan ialah tentang amalan guna semula, penjagaan alam sekitar dan gaya hidup lestari. Ramai peserta menyatakan hasrat untuk berkongsi ilmu yang diperoleh bersama komuniti masing-masing, dan menjadikan amalan kitar semula sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Program ini diterajui oleh Profesor Madya Dr Bakiah Shaharuddin, dengan sokongan padu daripada Dr Siti Razila Abdul Razak, Dr Ying Chee Keat, dan Pn Hasniza Amno, sebagai penyelaras dan jawatankuasa utama. Tenaga kerja daripada staf dan pelajar IPPT turut menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran.
Majlis telah dirasmikan oleh Dato’ Bandar Seberang Perai, YBhg. Dato’ Haji Baderul Amin, yang turut meluangkan masa melawat reruai aktiviti kitar semula anjuran IPPT. Beliau menzahirkan sokongan MBSP terhadap usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan lestari. Beliau juga berminat untuk menjalin kerjasama yang lebih erat antara IPPT-USM dan MBSP dalam pelaksanaan aktiviti upcycle dan kitar semula pada masa akan datang.
Program ini direalisasikan dengan kerjasama strategik daripada Think City Sdn Bhd, Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Penang2030, IKRAM, Universiti Sains Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia, UPSI, dan SP Channel. Kerjasama erat antara pelbagai agensi ini mencerminkan potensi sebenar kolaborasi dalam menjana impak sosial dan persekitaran.
IPPT-USM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, terutamanya para peserta dan penyokong utama dari pelbagai agensi. Semoga program seperti ini dapat diperluas demi membentuk komuniti celik kelestarian dan berdaya tahan.
#SustainabilityUSM #GreenCampusUSM #WeLead