AMDI Story

MAJLIS IFTAR PERDANA PERINGKAT IPPT DAN PPUSMB BERSAMA NAIB CANSELOR USM

Published : 07 April 2025

MAJLIS IFTAR PERDANA IPPT 2025
DATARAN SEKSYEN KEJURUTERAAN, IPPT, March 25 2025 -
BERTAM, PULAU PINANG, 25 Mac 2025 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc hari ini meluangkan masa berbuka puasa bersama warga staf dan pelajar Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) di Dataran Seksyen Kejuruteraan, IPPT bersempena dengan Majlis Iftar Perdana bersama warga staf dan pelajar IPPT & PPUSMB.
Majlis Iftar Perdana dimulakan dengan ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT dan PPUSMB. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc, Naib Canselor USM.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh pasukan IPPT, khususnya melalui Jawatankuasa Ihya Ramadan IPPT dan PPUSMB 2025 atas kejayaan melaksanakan pelbagai program kebajikan, keilmuan, dan kemasyarakatan sepanjang bulan yang mulia ini.
“Tanpa dedikasi dan semangat kebersamaan seluruh warga IPPT, pasti program ini tidak dapat direalisasikan dengan jayanya. Nilai ukhuwah, gotong-royong, dan tolong-menolong yang ditonjolkan menerusi program ini amatlah dihargai dan wajar disuburkan dalam kalangan kita”, katanya.
Menurutnya lagi, USM terus komited dalam memberikan manfaat berimpak tinggi kepada komuniti melalui usaha paling signifikan dalam aspek ini iaitu Pembinaan Surau Waqaf Pusat Komuniti Fasa 1, yang dilaksanakan menerusi Projek Khas Dana Waqaf 2024 yang dijangka siap menjelang Disember tahun ini.
Beliau berharap melalui pembinaan surau ini dapat memperkasakan lagi usaha menyebarluaskan kebajikan dan manfaat khususnya kepada warga IPPT, pesakit, serta komuniti setempat.
“Selain menjadi pusat ibadah, surau ini juga berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti di mana pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pemindahan ilmu dapat diimarahkan dengan lebih berkesan”, tambah beliau.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian sumbangan ramadan, penyampaian cenderahati kepada penaja aktiviti Ihya Ramadan, penyampaian sijil kepada wakil Sukarelawan Ramadan serta penyampaian sijil kepada wakil peserta tadarus wanita yang disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc, Naib Canselor USM.
Seramai 4 orang pesakit, 15 orang staf, 6 orang staf kontrak, dan 20 orang pelajar berbilang bangsa dan agama menerima sumbangan ini.
Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran YBrs. Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, YBrs. Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat; YBrs. Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengarah, Pejabat Pengarah, Kampus Kesihatan; Encik Zayd Zhari, Pengarah, Pusat Islam; YBhg. Profesor Dato' Dr. Mohamed Isa Abdul Majid, Profesor Kehormat dan Pegawai-pegawai Utama serta warga kerja IPPT dan PPUSMB.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Hasnizar Elias
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
25 Mac 2025
Scroll to Top