Collaboration

LAWATAN KERJA DAN SEMINAR ANTARABANGSA: PROMOSI PROGRAM PASCAIJAZAH IPPT USM KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI MEDAN, INDONESIA

Published : 07 August 2025

LAWATAN KERJA DAN SEMINAR ANTARABANGSA MEDAN INDON
MEDAN, INDONESIA, July 7 2025 -
MEDAN, INDONESIA, 7 hingga 11 Julai 2025- Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya melaksanakan satu siri lawatan kerja dan seminar antarabangsa ke beberapa institusi pengajian tinggi di Medan, Indonesia dari 7 hingga 11 Julai 2025.
Lawatan ini disertai oleh sepuluh (10) orang staf akademik IPPT yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Eshaifol Azam Omar, selaku Penyelaras Kolaborasi Antarabangsa bagi Bahagian Sumatera, Indonesia. Objektif utama lawatan ini adalah untuk memperkenalkan program-program pascasiswazah peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) kepada pelajar serta tenaga akademik di institusi tuan rumah, di samping meneroka potensi kolaborasi dua hala dalam bidang penyelidikan, latihan profesional dan mobiliti akademik.
Sepanjang siri lawatan ini, delegasi IPPT telah mengadakan sesi libat urus bersama pengurusan institusi pendidikan tinggi yang dilawati, iaitu Institut Kesehatan Helvetia, Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan (STIKes) As Syifa Kisaran, STIKes Malahayati, STIKes Sehat Medan, STIKes Flora, STIKes Darmo, serta Universitas Haji Sumatera Utara (UNHAJ). Lawatan ini turut diserikan dengan penganjuran beberapa sesi seminar antarabangsa yang memberi ruang kepada penyelidik IPPT untuk membentangkan hasil penyelidikan dan kepakaran mereka di hadapan warga akademik dan pelajar di institusi berkenaan.
Antara pembentang rasmi IPPT dalam siri seminar tersebut ialah Dr. Noorsuzana Mohd Shariff yang membentangkan tajuk “The Hidden Toll of Tuberculosis: Exploring Supportive Care Needs and Catastrophic Impact in Southeast Asia through Nursing and Public Health Lenses” di Institut Kesehatan Helvetia. Di institusi yang sama, Dr. Mohd Yusmaidie Aziz turut berkongsi penyelidikan beliau yang bertajuk “The Forever Chemicals Crisis: Understanding PFAS in Public Health”.
Seterusnya, Dr. Salbiah Isa membentangkan tajuk “Towards Accessible Alzheimer’s Screening: The Promise of Plasma Biomarkers in Community Health” di STIKes Darmo Medan, manakala Dr. Ooi Jer Ping menyampaikan pembentangan bertajuk “Animal Models Uncovered: Real Experiments, Real Discoveries” di Universitas Haji Sumatera Utara. Di STIKes As-Syifa Kisaran, dua pembentangan telah disampaikan oleh Dr. Ida Shazrina Ismail dan Dr. Rohayu Hami masing-masing bertajuk “Immunomodulatory Effect of Clinacanthus nutans Extract and Active Metabolites on Macrophage Functions” dan “Silent Saboteur: Unmasking the Burden of Uncontrolled Diabetes Mellitus in the Era of Non-Communicable Diseases”. Sementara itu, Dr. Siti Mardhiana Mohamad telah membentangkan tajuk “Immune System and Dementia” di STIKes Flora Medan.
Penganjuran seminar ini bukan sahaja memberi peluang pertukaran ilmu dan wacana akademik rentas sempadan, malah telah mengukuhkan hubungan dua hala antara IPPT dan Institusi Pendidikan Tinggi di Indonesia. Lawatan ini juga sejajar dengan visi dan misi USM sebagai sebuah institusi transdisiplin yang unggul, yang komited untuk memimpin perubahan dalam pendidikan dan penyelidikan demi kesejahteraan sejagat. Ia juga memperlihatkan kesungguhan IPPT dalam menyokong aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, yang berteraskan tema “ASEAN Matters: Vision of a Shared Future”.
Melalui inisiatif pendidikan serantau seperti ini, Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu utama integrasi akademik dan pembangunan modal insan dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Secara keseluruhannya, siri lawatan dan seminar antarabangsa ini telah berjaya mencapai objektif strategik dalam mempromosikan program pascasiswazah IPPT, memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan, dan memperluaskan pengaruh akademik USM di rantau Asia Tenggara. Beberapa pelan susulan termasuk pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU), pelaksanaan program pertukaran pelajar dan penyelidik, serta penganjuran bersama bengkel dan persidangan akan dirangka dalam masa terdekat. Diharapkan kerjasama ini akan terus berkembang dan menyumbang kepada pencapaian kecemerlangan pendidikan tinggi serantau yang inklusif, lestari dan berpaksikan nilai bersama.
Teks disediakan oleh : Profesor Madya Dr. Hasni Arsad
Teks disunting oleh : Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju

Photo By IPPT
LAWATAN KERJA DAN SEMINAR ANTARABANGSA MEDAN INDONESIA

Photo By IPPT
LAWATAN KERJA DAN SEMINAR ANTARABANGSA MEDAN INDONESIA
Photo By IPPT
LAWATAN KERJA DAN SEMINAR ANTARABANGSA MEDAN INDONESIA

Photo By IPPT
LAWATAN KERJA DAN SEMINAR ANTARABANGSA MEDAN INDONESIA


Scroll to Top