AMDI Story

PPUSMB/IPPT TERIMA MESIN “PET-CT SCAN” MERUPAKAN ALAT TERCANGGIH PERTAMA DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Published : 28 August 2024

PET-CT SCAN
PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, August 28 2024 -

BERTAM, PULAU PINANG, 28 Ogos 2024 – Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) hari ini menerima mesin “Positron Emission Tomography With Computed Tomography” atau lebih dikenali sebagai mesin “PET-CT”.

Photo By NORIZAN ISHAK
PET-CT SCAN


PET-CT merupakan modaliti pengimejan kuantitatif yang utama dalam Perkhidmatan Perubatan Nuklear. Penggunaannya meliputi perkhidmatan klinikal, akademik dan penyelidikan. PET-CT adalah teknologi terkini yang lebih tepat berbanding dengan pengimejan yang lain terutamanya untuk pesakit onkologi bagi menentukan 'cancer staging', 'response to therapy' dan 'surveillance'. PET-CT adalah prosedur pengimejan perubatan terkini yang boleh memberikan maklumat terperinci tentang fungsi-fungsi organ atau sistem dalam badan.

Photo By NORIZAN ISHAK
PET-CT SCAN

Melalui proses imbasan PET-CT, bahan radioaktif akan disuntik kepada pesakit sebelum diskan bagi mendapatkan imej yang dikehendaki. Mesin PET-CT digunakan untuk mengesan sinaran radioaktif yang disuntik dan menghasilkan imej yang dijana oleh komputer. Imbasan PET-CT dijalankan untuk mendiagnosis dengan tepat dan memantau penyakit seperti kanser, gangguan neurologi (otak), dan penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung). Pada peringkat awal, masalah tersebut mungkin tidak dapat dikesan menggunakan teknik pengimejan lain (seperti imbasan CT dan MRI). Biasanya, ia digunakan untuk membantu doktor menentukan ‘cancer staging’ dan sebaran kanser ke bahagian badan yang lain.
Imbasan PET-CT sangat berguna dalam menilai dan merancang rawatan untuk beberapa keadaan neurologi. Dalam konteks epilepsi, PET-CT dapat membantu mengenal pasti kawasan otak yang terlibat dalam penghasilan sawan. Bagi penyakit Alzheimer dan Parkinson pula, imbasan PET-CT memberikan gambaran terperinci tentang aktiviti dan fungsi otak. Ini membantu doktor dalam membuat diagnosis awal dan menilai kemajuan penyakit. Pengesanan awal memungkinkan rawatan yang lebih berkesan, yang boleh memperlambatkan perkembangan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Secara keseluruhan, PET-CT merupakan alat penting dalam bidang neurologi untuk diagnosis dan pengurusan penyakit-penyakit ini.
Sebagai satu-satunya universiti yang menawarkan program Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear), sudah pasti PET-CT adalah alat yang perlu ada untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Perubatan nuklear pada masa kini amat menekankan imejan menggunakan PET-CT kerana imej yang diperolehi adalah lebih tepat. Selain itu, dengan adanya mesin PET-CT, ia dapat memperluaskan lagi kajian penyelidikan bagi pelajar M.Sc dan PhD dalam bidang ini dan menggalakkan pengambilan pelajar-pelajar antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia.

Photo By NORIZAN ISHAK
PET-CT SCAN


Sebagai pusat rujukan onkologi di utara Malaysia, perkhidmatan PET-CT amat diperlukan  bagi tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang sebagai pusat onkologi yang terulung di negara ini seiring dengan visi dan misi PPUSMB/IPPT. Selain itu, ianya dapat menjalinkan hubungan penyelidikan dan berpotensi untuk menjalankan kolaborasi dengan institusi-institusi terkemuka dunia serta menjadi pusat rujukan di rantau ini.

Teks:  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Disunting oleh : Dr. Hazlin Hashim dan Pn.Farakhdina Jamaludin
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
28 Ogos 2024

Scroll to Top