
LAWATAN KERJA REDAC
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) hari ini, menerima lawatan kerja dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol, pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan juga merupakan mantan pengarah REDAC.
Photo By Dr. Ying Chee Keat
LAWATAN KERJA REDAC
Delegasi lawatan ini disambut baik oleh Dr. Ying Chee Keat, Pensyarah Universiti Jabatan Pengimejan Bioperubatan merangkap Penyelaras Program Lestari IPPT.
Antara tujuan lawatan adalah untuk meneroka inisiatif dalam usaha membersihkan dan menyelenggara kolam penahan air secara mampan di dalam premis IPPT di samping memohon bantuan daripada pihak REDAC berkenaan strategi paling berkesan untuk memulihkan kolam kepada keadaan ekologi yang optimum sekaligus membangunkan pelan penyelenggaraan jangka panjang bagi memastikan kolam kekal bersih dan mampan alam sekitar.
Tujuan pembersihan kolam di IPPT adalah untuk mentransformasikan kolam tersebut menjadi sebuah kawasan tasik rekreasi. Tasik tersebut akan menjadi pusat rekreasi yang menyumbang kepada peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap ekologi. Pengunjung, termasuk pesakit di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB), pelajar, staf IPPT, dan pelawat, boleh menjalankan pelbagai aktiviti seperti bersenam, beriadah, dan memerhati burung-burung yang berhijrah di sekitar tasik. Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan matlamat kelestarian Universiti Sains Malaysia.
Photo By Dr. Ying Chee Keat
LAWATAN KERJA REDAC
Majlis dimulakan dengan sesi lawatan ke kolam penahan air. Seterusnya, sesi perbincangan dijalankan dengan Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol, bersama-sama dengan Pegawai-pegawai utama IPPT dan staf Seksyen Kejuruteraan.
Hadir sama meraikan delegasi adalah Profesor Madya Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah Pembangunan Projek Khas; Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon, Pensyarah Universiti Jabatan Pengimejan Bioperubatan; Dr. Siti Razila Abdul Razak, Penyelaras Pejabat Perniagaan Korporat; Encik Mohd Hizam Mohd Hanif, Ketua Seksyen Kejuruteraan dan Encik Abdul Jalil Ishak, Penolong Jurutera.
Photo By Dr. Ying Chee Keat
LAWATAN KERJA REDAC
Teks disediakan oleh : Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh : Dr. Ying Chee Keat
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
4 Februari 2025
#ippt #ppusmb #usm #WeLead