
Program Minggu Kesedaran Penyakit PID yang telah diadakan di PPUSMB
Common Variable Immunodeficiency (CVID)
Nurul Amirah Binti Abd Muttalib1 Intan Juliana Abd Hamid2,3
1Pelajar Tahun 3, Diploma Sains Perubatan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI)
2Primary Immunodeficiency Disease Group, Department of Clinical Medicine, Advanced Medical and Dental Institute, Universiti Sains Malaysia, Bertam 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang, Malaysia
3Perkhidmatan Penyakit Imunodefisiensi Primer (PID), Seksyen Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang, Malaysia
Corresponding Author:
Associate Professor Dr Intan Juliana Binti Abdul Hamid
Consultant Paediatric Immunology and Allergy
Advance Medical and Dental Institute,
Universiti Sains Malaysia (USM) Medical Centre,
Bandar Putra Bertam, 13200, Kepala Batas,
Pulau Pinang, Malaysia.
Email: intanj@usm.my
Apa Itu Common Variable Immunodeficiency (CVID)?
Bella (bukan nama sebenar)
adalah seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang kini menerima rawatan
penggantian immunoglobulin melalui kaedah intravena (IVIG) bagi menangani
penyakit “Common Variable Immune Deficiency” (CVID). Sejak lahir, Bella mempunyai sejarah
perubatan yang kompleks. Beliau dilahirkan dengan trakeoesofageal fistula dan
telah menjalani beberapa pembedahan serta rawatan intensif semasa bayi,
termasuk tempoh koma. Hal ini mengakibatkan kelewatan perkembangan awal, dan
hanya pada usia 4 tahun beliau mula menjalani kehidupan yang lebih stabil.
Namun nasib tidak menyebelahinya, beliau didapati menghidap penyakit “Common
variable immunodeficiency” (CVID) pada umur 4 tahun.
Bella masih
menghadapi cabaran dalam aspek komunikasi dan sosial, serta menunjukkan corak
pemakanan yang sangat terhad. Beliau enggan makan, yang membawa kepada masalah
malnutrisi. Kesannya, Bella mengalami beberapa komplikasi termasuk kekurangan
kalsium, yang menjejaskan kesihatan gigi (struktur gigi kelihatan lemah dan
tidak sempurna). Masalah sembelit (sukar buang air besar), berkait rapat
dengan pengambilan makanan dan serat yang tidak mencukupi. Kes ini memerlukan
pendekatan multi disiplin yang merangkumi rawatan penggantian imunoglobulin
berterusan, intervensi dietetik untuk menangani kekurangan zat, sokongan
psikososial, dan pemantauan kesihatan pergigian dan pencernaan untuk memastikan
kualiti hidup Bella dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
“Common Variable
Immunodeficiency” (CVID) adalah merupakan salah satu daripada penyakit
kekurangan imun primer (PID), iaitu gangguan sistem imun yang berpunca daripada
kecacatan dalaman sistem imun sejak lahir. Pesakit mengalami gejala
hipogammaglobulinemia, iaitu satu keadaan di mana tahap antibodi dalam darah
adalah lebih rendah daripada normal. CVID menyebabkan tubuh pesakit tidak mampu
menghasilkan antibodi seperti imunoglobulin A (IgA), imunoglobulin M (IgM), dan
imunoglobulin G (IgG) dalam jumlah yang mencukupi untuk melawan jangkitan. CVID
boleh terjadi kepada lelaki dan perempuan, Ia juga boleh dikesan sejak umur 4
tahun hingga 30 tahun.
Keadaan ini menjadikan
penghidap CVID lebih mudah terdedah kepada jangkitan, terutamanya jangkitan
saluran pernafasan seperti sinusitis, bronkitis, pneumonia, serta jangkitan
saluran pencernaan. Walaupun CVID tidak kerap berlaku, terdapat juga kes yang
dikaitkan dengan faktor genetik. Antara gen yang dilaporkan terlibat termasuk
TNFR F13B, TACI, ICOS, CD19, CD20, CD21, CD81, dan BAFF-R.
Sistem imun manusia
berperanan penting dalam mempertahankan tubuh daripada jangkitan dan ancaman
asing. Dalam individu normal, sistem imun terbahagi kepada dua komponen utama
iaitu imuniti semula jadi (innate immunity) dan imuniti adaptif (adaptive immunity).
Komponen adaptif ini melibatkan tindak balas sel B dan sel T yang bekerjasama
untuk menghasilkan imunoglobulin, mengenal pasti antigen, serta membentuk
memori imun bagi perlindungan jangka panjang. Namun, dalam individu yang
menghidap Common Variable Immunodeficiency (CVID), sistem imun adaptif akan
terganggu, terutamanya pada bahagian sel B dan penghasilan antibodi yang
menjadikan mereka mudah terdedah kepada jangkitan serta komplikasi imunologi
lain.
Sel B adalah sel yang
memainkan peranan utama dalam sistem imun humoral melalui penghasilan antibodi
untuk melawan jangkitan. Perjalanan sel B bermula di dalam sumsum tulang, di
mana ia berkembang daripada peringkat progenitor B (Pro-B) kepada precursor B
(Pre-B), kemudian menjadi sel B yang tidak matang (Immature B cell). Proses ini
melibatkan pengaktifan gen-gen penting seperti TACI, BAFF-R, CD19, CD20, dan CD81
yang menyokong perkembangan dan kestabilan sel B. Pada tahap ini, penanda
permukaan seperti CD10+, CD34+, dan CD19+ boleh dikesan. Selepas itu, sel B
akan keluar daripada sumsum tulang sebagai sel B naif (naive B cell), iaitu sel
yang belum terdedah kepada antigen. Sel ini biasanya mempunyai penanda CD19+,
CD23+, CD27–, CD21++, IgM+, dan IgD+. Dalam keadaan normal, apabila sel B naif
bertemu antigen patogen seperti bakteria atau virus, ia akan mengalami
pengaktifan dan menjalani proses penukaran kelas rekombinan [class switch
recombination (CSR)] serta hipermutasi somatik (SHM) dengan bantuan sel T.
Hasil daripada pengaktifan ini ialah penghasilan dua cabang utama iaitu sel
plasma yang berfungsi menghasilkan antibodi, dan sel memori B yang menyimpan
maklumat untuk respons imun masa hadapan. Namun, dalam pesakit CVID, proses ini
terganggu di beberapa peringkat. Di antaranya ialah kegagalan sel B naif (Naive
sel B) untuk bertukar menjadi sel plasma atau sel memori B yang berfungsi. Ini menyebabkan
pesakit mempunyai kadar imunoglobulin yang rendah dan tidak mampu membentuk
antibodi spesifik, walaupun selepas vaksinasi.
Selain itu, terdapat
peningkatan dalam populasi sel B jenis CD21 rendah (CD21 low), iaitu sel yang
menunjukkan ciri-ciri pematangan tidak normal dan sering dikaitkan dengan
rangsangan antigenik kronik pada mereka yang mengalami CVID. Sel-sel ini juga
dikaitkan dengan komplikasi autoimun, pembesaran limpa, dan granulomatosis pada
pesakit CVID. CD21 rendah, sel B biasanya dikenalpasti melalui penanda CD19+,
CD27+, CD23–, dan CD21 rendah, serta ketiadaan IgM dan IgD. Kajian telah
menunjukkan bahawa peningkatan sel ini mencerminkan gangguan homeostasis dan
regulasi imun dalam kalangan pesakit CVID.
Proses toleransi diri
(self-tolerance) juga gagal dikawal dalam CVID. Sel B yang sepatutnya
dihapuskan semasa proses pemilihan negatif mungkin masih beredar di dalam badan
dan menyebabkan tindak balas autoimun. Ini menjelaskan mengapa pesakit CVID
cenderung mengalami penyakit autoimun seperti idiopatik trombositopenik purpura
(ITP), anemia hemolitik autoimun dan arthritis. Tambahan pula, pematangan sel B
yang tidak dikawal boleh membawa kepada pengumpulan sel-sel abnormal dan risiko
limfoproliferatif, termasuk limfoma dalam jangka panjang.
Secara keseluruhan, proses
pematangan dan aktivasi sel B yang normal adalah penting untuk sistem imun
berfungsi dengan baik. Kegagalan di dalam mana-mana tahap proses ini, seperti
yang berlaku dalam CVID, akan menyebabkan penghasilan antibodi terganggu,
tindak balas imun yang lemah, dan komplikasi autoimun serta keradangan kronik.
Oleh itu, pemahaman keseluruhan laluan pematangan sel B ini adalah penting
untuk penilaian patofisiologi CVID dan mengenal pasti pendekatan rawatan yang
lebih berkesan.
Gejala Penyakit
Gejala penyakit CVID
biasanya berkaitan rapat dengan jangkitan berulang yang kronik dan berterusan,
terutamanya pada sistem pernafasan dan pencernaan. Pesakit CVID sering
menghadapi masalah jangkitan saluran seperti sinusitis, bronkitis dan pneumonia
yang berulang kali berlaku, walaupun telah mendapat rawatan antibiotik. Ini
menunjukkan kelemahan sistem imun badan untuk melawan kuman dan virus yang
menyerang pernafasan.
Bukan sahaja melibatkan
sistem pernafasan, malahan sistem pencernaan juga salah satu organ yang
terlibat bagi pesakit CVID. Di dalam sistem pencernaan, pesakit CVID mungkin
mengalami simptom seperti cirit birit kronik, sakit perut, loya dan masalah
penyerapan nutrien yang boleh menyebabkan penurunan berat badan serta
kekurangan zat. Jangkitan usus ini, disebabkan oleh badan yang tidak mampu
melawan patogen dalam saluran usus, sekaligus juga mengganggu fungsi normal
sistem pencernaan. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada
komplikasi serius termasuk malnutrisi dan anemia.
Selain itu, pesakit Common
variable immunodeficiency (CVID) juga akan berisiko mengalami masalah
autoimun di mana sistem imun yang terganggu mula menyerang tisu dan organ badan
sendiri. Simptom autoimun yang biasa dilaporkan termasuk hemolitik anemia, trombositopenia
dan penyakit tiroid. Ini adalah akibat daripada kegagalan sel B untuk mengawal
tindak balas imun dengan betul. Sel B menghasilkan antibodi yang menyerang
badan sendiri. Keadaan ini boleh menambah beban kesihatan kepada pesakit dan
memerlukan rawatan khusus.Penyakit CVID juga
dikaitkan dengan pembesaran kelenjar limfa dan hati (limfadenopati dan
hepatomegali) serta keletihan kronik yang tidak dapat dijelaskan. Pesakit
mungkin merasa mudah letih dan kurang bertenaga walaupun tanpa melakukan
aktiviti berat yang secara tidak langsung menjejaskan kualiti hidup mereka.
Rawatan Penyakit
Pesakit CVID mudah terdedah
kepada pelbagai jangkitan serius dan kronik. Matlamat utama rawatan adalah
untuk mencegah jangkitan, mengawal komplikasi autoimun, serta meningkatkan
kualiti hidup pesakit. Rawatan yang paling asas dan utama bagi CVID ialah
terapi penggantian imunoglobulin (IRT). Rawatan ini membekalkan antibodi yang
hilang atau tidak mencukupi dalam tubuh pesakit. Ia boleh diberikan secara
intravena iaitu “intravenous immunoglobulin” (IVIG),
melalui suntikan ke dalam vena besar biasanya sebulan sekali, atau secara
subkutaneus iaitu subkutaneus imunoglobulin (SCIG), disuntik melalui bawah
kulit dalam dos yang lebih kecil tetapi lebih kerap. Terapi ini terbukti berkesan
dalam mengurangkan kekerapan dan keterukan jangkitan, serta meningkatkan
daya tahan tubuh terhadap patogen.
IVIG adalah larutan pekat
antibodi jenis IgG yang diperoleh daripada plasma penderma sihat dan
diberikan kepada pesakit secara intravena, biasanya setiap tiga atau empat
minggu. Prosedur ini dijalankan di hospital atau pusat rawatan khusus dan dos
yang diberikan adalah bergantung kepada berat badan serta tahap keterukan beban
penyakit dan kerosakan organ dalaman yang dialami oleh pesakit. Sepanjang
infusi, pesakit akan dipantau dengan teliti bagi mengelakkan kesan sampingan
seperti demam ringan, sakit kepala atau reaksi alahan. Kesan positif rawatan
IVIG amat ketara. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan kekerapan dan keterukan
jangkitan seperti sinusitis, bronkitis dan pneumonia, malah mampu meningkatkan
kualiti hidup pesakit secara menyeluruh. Di samping itu, IVIG juga berperanan
dalam mencegah komplikasi jangka panjang seperti kerosakan paru-paru dan
gangguan saluran pencernaan akibat jangkitan berulang. Secara keseluruhan, IVIG
bukan sekadar rawatan pengganti, tetapi merupakan komponen penting dalam
memastikan pesakit CVID dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat, stabil dan
bebas daripada jangkitan berulang yang boleh mengancam nyawa.
Manakala, subkutaneus
imunoglobulin (SCIG) adalah merupakan salah satu kaedah terapi penggantian
imunoglobulin yang digunakan secara meluas dalam pengurusan pesakit CVID. Tidak
seperti IVIG yang diberikan melalui salur darah, SCIG disuntik secara subkutaneus
iaitu di bawah lapisan kulit menjadikannya satu alternatif yang lebih
fleksibel, selesa, dan boleh dilakukan sendiri oleh pesakit di rumah. Rawatan
SCIG biasanya dijalankan secara mingguan atau dua minggu sekali, bergantung
kepada dos dan keadaan klinikal individu. Ia menggunakan pam infusi kecil yang
menyalurkan larutan imunoglobulin ke kawasan tisu lemak, selalunya di perut,
paha, atau lengan atas. Salah satu kelebihan utama SCIG adalah kestabilan paras
antibodi dalam darah. Disebabkan ia diberikan lebih kerap dalam dos kecil,
paras IgG kekal lebih konsisten tanpa turun naik yang ketara, sekaligus
mengurangkan risiko jangkitan. Dari sudut keberkesanan, pelbagai kajian telah
membuktikan bahawa SCIG setanding dengan IVIG dalam mencegah jangkitan berulang.
Malah, pesakit sering melaporkan kualiti hidup yang lebih baik kerana mereka
tidak perlu lagi bergantung kepada hospital untuk rawatan bulanan. SCIG juga
dikaitkan dengan kurang kesan sampingan sistemik seperti sakit kepala atau
demam, yang kadang-kala berlaku selepas infusi IVIG. Walau bagaimanapun, SCIG
masih mempunyai kesan sampingan ringan seperti kemerahan, bengkak, atau rasa
tidak selesa di tempat suntikan. Namun, gejala ini biasanya bersifat sementara
dan akan berkurang selepas beberapa sesi infusi. Pesakit akan dilatih terlebih
dahulu oleh petugas kesihatan untuk memahami teknik suntikan yang betul serta
langkah keselamatan sebelum menjalani rawatan di rumah. Secara keseluruhannya,
SCIG adalah satu pilihan rawatan yang sangat penting dalam pengurusan jangka
panjang CVID. Ia bukan sahaja meningkatkan ketahanan tubuh terhadap jangkitan,
tetapi juga memberi pesakit kebebasan dan kawalan dalam menguruskan kesihatan
mereka secara lebih berdikari dan teratur.
Selain itu, antibiotik profilaksis mungkin digunakan sebagai rawatan sokongan, terutamanya bagi pesakit yang masih mengalami jangkitan berulang walaupun sedang menerima imunoglobulin. Antibiotik ini diberi dalam dos rendah secara berterusan bagi mencegah pertumbuhan bakteria dan mencegah jangkitan teruk, terutama di saluran pernafasan.Untuk pesakit CVID yang mengalami komplikasi autoimun, seperti anemia hemolitik autoimun atau trombositopenia, rawatan tambahan diperlukan. Ini termasuk penggunaan kortikosteroid dan ubat imunosupresif seperti rituximab untuk meregulasi tindak balas autoimun yang berlebihan. Namun, penggunaannya perlu dipantau dengan teliti kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan.Dalam kes tertentu di mana pesakit menunjukkan pembesaran limfa yang tidak normal atau gejala yang tidak terkawal, pemerhatian lanjut dan biopsi mungkin perlu dilakukan untuk mengenal pasti kemungkinan komplikasi lebih serius seperti limfoma, dan rawatan seperti kemoterapi mungkin dipertimbangkan.Penting juga untuk pesakit menjalani pemantauan berkala oleh pakar imunologi, termasuk ujian darah berkala untuk menilai tahap imunoglobulin, fungsi organ, dan tindak balas terhadap rawatan. Selain rawatan perubatan, sokongan psikososial juga tidak boleh diabaikan kerana pesakit dengan penyakit kronik seperti CVID sering mengalami tekanan emosi dan kebimbangan mengenai kesihatan jangka panjang mereka.
Kesimpulannya, rawatan CVID memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berterusan. Meskipun belum ada rawatan yang boleh menyembuhkan sepenuhnya, terapi yang tersedia hari ini mampu membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih normal dan bebas daripada jangkitan yang mengancam nyawa. Dengan diagnosis awal, rawatan konsisten, dan sokongan holistik, kualiti hidup pesakit CVID boleh ditingkatkan dengan ketara.