Expert Column

Ujian Fungsi Tiroid (Thyroid Function Test)

Nur Aisyah binti Sobri, Dr. Salbiah Isa
Published : 07 August 2025


Pengenalan

Kelenjar tiroid adalah organ berbentuk kupu-kupu yang terletak di bahagian hadapan leher dan berperanan dalam pengawalan metabolisme, pertumbuhan, dan tenaga badan melalui penghasilan hormon tiroid.

Ujian fungsi tiroid (Thyroid Function Test, TFT) adalah satu siri ujian darah yang digunakan untuk menilai fungsi kelenjar tiroid.  

Ujian Fungsi Tiroid

Terdapat beberapa ujian utama yang digunakan untuk menilai fungsi tiroid: 

1. Hormon Perangsang Tiroid (TSH)

Hormon Perangsang Tiroid atau Thyroid Stimulating Hormone (TSH) adalah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar  pituitari dan berfungsi untuk merangsang kelenjar tiroid dalam menghasilkan hormon tiroid.  Di dalam badan yang kekurangan hormon tiroid, kelenjar pituitari akan meningkatkan penghasilan TSH bagi menstabilkan paras hormon tiroid dalam badan. Paras TSH yang tinggi mungkin menunjukkan hipotiroidisme (kekurangan hormon tiroid), manakala paras yang rendah boleh menunjukkan hipertiroidisme (kelebihan hormon tiroid). 

2. Tiroksin (Thyroxine, T4)

T4 adalah hormon utama yang dihasilkan oleh kelenjar tiroid. Terdapat dua jenis tiroksin, iaitu tiroksin total (Total T4) dan tiroksin bebas (Free T4). Free T4 adalah bentuk hormon tiroksin aktif dalam darah yang lebih sensitif dalam mengesan penyakit tiroid. Manakala Total T4 merangkumi hormon yang terikat dengan protein. Paras rendah Free T4 boleh menunjukkan hipotiroidisme, dan paras tinggi mungkin menunjukkan hipertiroidisme. 

3. Triiodotiroksin (T3)

Triiodotiroksin juga terdapat dua jenis di dalam darah iaitu triiodotiroksin total (Total T3) dan triiodotiroksin bebas (Free T3). Free T3 adalah bentuk hormon yang lebih aktif daripada tiroksin, oleh itu lebih sensitif bagi mengesan kes hipertiroidisme T3 (T3 thyrotoxicosis). 

4. Antibodi Tiroid (Thyroid Antibodies)

Ujian ini digunakan untuk mengesan gangguan autoimun yang menyerang kelenjar tiroid, seperti dalam penyakit Hashimoto dan Graves. Contoh antibodi yang diuji termasuk Thyroid Peroxidase Antibody (TPOAb) dan Thyroglobulin Antibody (TgAb).

 

Penyakit Grave merupakan sejenis penyakit tiroid yang disebabkan oleh kelenjar tiroid yang terlalu aktif sehingga menyebabkan hipertiroidisme. Gambarajah 3 menunjukkan tanda-tanda khas penyakit Grave.

Indikasi Ujian Fungsi Tiroid

Ujian ini biasanya dilakukan dalam keadaan seperti berikut;

1.      Jika seseorang mempunyai simptom berkaitan gangguan tiroid;

Hipotiroidisme : Keletihan, kenaikan berat badan, kulit kering, rambut gugur, sembelit, dan kepekaan terhadap kesejukan.

Hipertiroidisme : Penurunan berat badan, berdebar-debar, berpeluh berlebihan, kegelisahan, tangan menggeletar, dan cirit-birit. 

2.      Pemeriksaan saringan untuk individu dengan riwayat keluarga gangguan tiroid.

3.      Pemantauan rawatan tiroid bagi pesakit yang disahkan menghidap penyakit tiroid.

Prosedur Pengambilan Sampel

Ujian darah dilakukan dengan mengambil sampel darah vena.  Berpuasa tidak diperlukan, tetapi ianya bergantung kepada arahan doktor.

Tafsiran Keputusan

Keputusan ujian fungsi tiroid harus dinilai oleh pakar perubatan kerana banyak faktor boleh mempengaruhi tahap hormon ini, termasuk kehamilan, ubat-ubatan, dan penyakit lain.

 

TSH

FT4

FT3

Normal

Normal

Normal

Normal

Hipertiroidisme

Rendah

Tinggi

Normal atau tinggi

Hipotiroidisme

Tinggi

Rendah

Normal atau rendah

Rawatan

Rawatan bagi pesakit yang menjalani ujian fungsi tiroid adalah bergantung kepada tafsiran keputusan yang dibuat oleh doktor.

  • Hipotiroidisme dirawat dengan terapi hormon tiroid sintetik seperti levothyroxine
  • Hipertiroidisme dirawat dengan ubat antitiroid (methimazole atau propylthiouracil), terapi radioaktif atau pembedahan tiroid.

Kesimpulan

Ujian fungsi tiroid adalah penting dalam diagnosis dan pengurusan gangguan fungsi kelenjar tiroid. Tafsiran keputusan harus dibuat oleh doktor berdasarkan simptom klinikal dan keadaan pesakit untuk memastikan rawatan yang sesuai. 

Senarai Rujukan

  1. Cleveland Clinic. (2019). Thyroid blood tests. Cleveland Clinic.
  2. Cleveland Clinic. (2021, February 15). Thyroid Hormone. Cleveland Clinic.
  3. Mayo Clinic. (2022, November 30). Hyperthyroidism - Diagnosis and treatment - Mayo Clinic. Mayoclinic.org.
  4. Medlineplus. (2013, July 1). Graves disease: MedlinePlus Genetics. Medlineplus.gov.
  5. NHS. (2019). Treatment - Underactive thyroid (hypothyroidism). NHS. 

SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
Scroll to Top