PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
BILIK CYCLOTRON, PPUSMB, October 9 2025
SERAMAI 38 orang kakitangan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (PPUSMB) telah menyertai Bengkel Pengenalan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang diadakan di Bilik Cyclotron, PPUSMB, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Bengkel yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Latihan, Jawatankuasa KIK,Kejat & 5S PPUSMB dengan kerjasama 14 orang Ahli Jawatankuasa penganjur. Program ini bertujuan memperkenalkan konsep dan amalan KIK sebagai satu pendekatan sistematik bagi memperkukuh budaya penambahbaikan berterusan di tempat kerja.
Bengkel dipengerusikan oleh Encik Azrul bin Abdullah dan dimulakan dengan ceramah bertajuk “KIK Bukan Sekadar Projek” oleh Encik Md Hisham bin Abd Razak, yang menerangkan asal-usul dan konsep asas KIK. Beliau menekankan bahawa KIK bukanlah sekadar projek sementara, tetapi satu pendekatan berterusan yang mampu meningkatkan mutu perkhidmatan dan memperkukuh budaya kerja positif dalam organisasi.
Sesi kedua disampaikan oleh Encik Muhammad Akasyah bin Baharum melalui tajuk “Langkah Demi Langkah Memulakan KIK”. Beliau memberi panduan praktikal tentang pembentukan kumpulan, pemilihan isu, perancangan tindakan dan pelaporan hasil projek.
Ceramah ketiga oleh Encik Muhammad Amali Kamarudin, bertajuk “Kisah KIK Berjaya di Tempat Kerja”, mengetengahkan kisah kejayaan sebenar pelaksanaan projek KIK yang berjaya meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan di tempat kerja.
Sepanjang bengkel, peserta menunjukkan semangat dan minat yang tinggi melalui sesi soal jawab serta perkongsian idea bersama penceramah. Suasana interaktif ini turut membuka ruang kepada peserta untuk menilai potensi pelaksanaan KIK di unit masing-masing.
Menurut Puan Nazlina binti Mohamad Isa, Pengerusi Jawatankuasa Latihan, JK KIK, Kejat & 5S PPUSMB, bengkel ini diharap menjadi permulaan kepada usaha memperluas penglibatan warga kerja dalam inisiatif KIK. Beliau berpendapat bahawa KIK bukan sekadar menyelesaikan masalah, tetapi membina budaya kerja yang lebih inovatif, kreatif dan berdaya saing dalam organisasi.
Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya mencapai objektifnya dengan memberikan pemahaman yang menyeluruh tentang konsep dan pelaksanaan KIK. Ia turut membuka peluang kepada warga PPUSMB untuk memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam persekitaran kerja seharian.
Dengan komitmen semua pihak dan sokongan daripada pengurusan tertinggi, PPUSMB diyakini akan dapat melahirkan lebih banyak kumpulan KIK yang berdaya inovatif dan mampu menyumbang ke arah kecemerlangan institusi pada masa hadapan.