PPTI–PKTAAB Perkukuh Kolaborasi Penyelidikan Melalui Perkongsian Ilmu Klinikal Dan Penyelidikan
Oct 16, 2026
September 18 2026
KEPALA BATAS, 12 September 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluas pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penyertaan dalam Program Hari Kokurikulum SMK Dato’ Kailan, Kepala Batas.
Penyertaan tersebut mengetengahkan dua program flagship utama, iaitu Program STEM dan EcoSustain, melalui pameran interaktif, demonstrasi langsung serta aktiviti berasaskan pengalaman (hands-on) yang menghubungkan teori sains dengan aplikasi dalam kehidupan seharian.
Menerusi Program STEM yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon, para murid diberi pendedahan asas mengenai teknologi pengimejan perubatan, termasuk penggunaan penjejak radioaktif dan sinar-X bagi tujuan diagnosis serta rawatan penyakit. Aktiviti ini memberi peluang kepada murid untuk memahami aplikasi teknologi dalam perubatan moden, di samping mengenali potensi kerjaya dan inovasi dalam bidang berkenaan.
Sementara itu, Projek EcoSustain (EcoSoap) yang dipimpin oleh Dr. Siti Razila Abdul Razak mengetengahkan demonstrasi pembuatan sabun menggunakan minyak masak terpakai. Aktiviti tersebut bertujuan mendedahkan murid kepada konsep kitar semula serta pengurusan sisa secara beretika dan bertanggungjawab.
Program ini turut diperkaya dengan Pameran Seksyen Penyelidikan Haiwan yang diketuai oleh Dr. Nor Azlina Khalil. Pelbagai aktiviti seperti kuiz interaktif, pemerhatian menggunakan mikroskop serta pendedahan kepada aspek etika dan kebajikan haiwan penyelidikan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar.
Pelaksanaan program ini secara langsung menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Pendedahan kepada pendidikan kesihatan, penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dan amalan kelestarian alam sekitar turut menyokong usaha membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap isu kesihatan, inovasi dan pemeliharaan alam sekitar.
Pengenalan kepada teknologi perubatan dan inovasi kesihatan pula memperlihatkan kaitan program dengan SDG 9, manakala penghasilan EcoSoap daripada minyak masak terpakai mencerminkan amalan yang menyokong SDG 12. Kerjasama antara USM dengan SMK Dato’ Kailan turut mendukung SDG 17 melalui pengukuhan hubungan antara universiti, sekolah dan komuniti dalam memperluas manfaat ilmu, kepakaran serta inovasi.
Penglibatan PKTAAB dalam program ini mencerminkan komitmen USM untuk mendekatkan ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat, di samping menyemarakkan minat generasi muda terhadap STEM serta meningkatkan kesedaran tentang kesihatan, inovasi dan kelestarian alam sekitar.
Pengarang Berita: Nur Fadilah Safar, Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon, Dr. Siti Razila Abdul Razak dan Dr. Nor Azlina Khalil
Foto: Nur Fadilah Safar, Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon, Dr. Siti Razila Abdul Razak dan Dr. Nor Azlina Khalil