Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
UNIVERSITAS PUTRA INDONESIA (UPI) YPTK PADANG, SUMATERA BARAT, INDONESIA, June 24 2025
International Multidisciplinary Community Service Seminar 2025 yang diadakan pada 24 Jun 2025 bertempat di UPI Convention Center, Kota Padang, Indonesia, telah menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik serantau serta memperluas sumbangan kepada pembangunan komuniti global.
Seminar antarabangsa ini menghimpunkan tenaga akademik dari tiga institusi pendidikan tinggi – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia; Universitas Putra Indonesia YPTK Padang; dan Universitas Siliwangi, Jawa Barat, Indonesia – dalam usaha memperkasakan inovasi rentas disiplin dan mempererat keterlibatan masyarakat melalui pendekatan ilmu yang holistik dan bersepadu.
Universitas Putra Indonesia YPTK Padang merupakan sebuah universiti swasta di Sumatera Barat, Indonesia. Institusi ini ditubuhkan pada tahun 1985 melalui inisiatif Yayasan Perguruan Tinggi Komputer (“YPTK”) yang bertujuan untuk memperkasa pendidikan tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan pengurusan. Pada tahun 2001, institusi ini secara rasmi diiktiraf sebagai universiti penuh dan sejak itu telah menawarkan pelbagai program akademik melalui enam fakulti utama iaitu Fakulti Ilmu Komputer, Ekonomi dan Bisnis, Teknik, Psikologi, Desain Komunikasi Visual serta Keguruan dan Ilmu Pendidikan.
Lima Pensyarah Kanan daripada Jabatan Toksikologi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, telah dijemput sebagai Penceramah Ucaptama (Keynote Speakers) dalam seminar di peringkat antarabangsa ini. Mereka telah membentangkan hasil penyelidikan dan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan ubatan serta rawatan inovatif bagi penyakit kanser dan diabetes mellitus, aplikasi nanoteknologi serta penerokaan potensi bahan semulajadi untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan komuniti secara mampan.
Berikut adalah senarai penceramah dan tajuk pembentangan:
Seminar ini turut memberi ruang kepada sesi perbincangan strategik antara wakil Institut Perubatan dan Pergigian Termaju dan Universitas Putra Indonesia YPTK, yang merangkumi perancangan kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan pelaksanaan projek khidmat masyarakat di masa hadapan. Antara inisiatif yang dibincangkan termasuklah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), program pertukaran pelajar dan staf akademik, sangkutan penyelidikan, serta penglibatan dalam program khidmat kepada komuniti rentas sempadan yang akan memberi manfaat bersama kepada institusi dan masyarakat.
Penganjuran seminar ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala antara institusi, malah mengukuhkan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan mampan sejagat melalui pendekatan multidisiplin dan kolaboratif.