Bahagian 2: Lebih Daripada Sekadar Luka Biasa: Otitis Eksterna, Malignant Otitis Eksterna (MOE) Dan Perikondritis.
Jul 08, 2026
May 26 2026
12-13 Mei 2026, Bukit
Mertajam, Pulau Pinang – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad
Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan
peranannya sebagai pusat rujukan kanser dan kesihatan serta pusat kecemerlangan
penyelidikan menerusi penglibatan dalam Program Jangkauan STEM (STEM
Outreach Program) anjuran SMJK Jit Sin. Inistiatif ini merupakan salah satu
usaha untuk menarik minat pelajar sekolah terhadap bidang sains, teknologi dan
inovasi melalui pelbagai aktiviti hands-on dan eksperimen sains secara
interaktif.
Minggu STEM SMJK JIT SIN
2026 yang telah berlangsung selama dua hari itu melibatkan penglibatan aktif
pensyarah daripada Jabatan Toksikologi bersama pelajar PKTAAB USM sebagai
fasilitator dalam mengendalikan pelbagai aktiviti hands-on dan eksperimen sains
seperti formulasi cecair pembasmi kuman, penunjuk asid-bes, elektrolisis dan penyiasatan
cap jari. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan bagi memberi pendedahan
kepada pelajar mengenai aplikasi konsep kimia, biologi dan sains forensik dalam
dunia sebenar. Melalui aktiviti ini, pelajar didedahkan kepada konsep kepekatan
bahan seperti volume-to-volume (v/v) dan mass-to-mass (m/m),
fungsi alkohol dalam menyahaktifkan mikroorganisma berbahaya, prinsip tindak
balas kimia dan elektrokimia, serta kaedah pemerhatian analitikal serta
penyiasatan saintifik dalam proses identifikasi dan analisis bukti. Pendekatan
pembelajaran secara praktikal ini bukan sahaja menjadikan sains lebih mudah
difahami, malah membantu pelajar memahami bagaimana ilmu STEM diaplikasikan
secara langsung dalam bidang kesihatan, farmaseutikal, forensik, penyelidikan
dan teknologi moden.
Berdasarkan soal selidik
yang dijalankan melibatkan 110 orang pelajar, program STEM Outreach ini
menerima maklum balas yang sangat positif daripada peserta. Sebanyak 70.9%
pelajar menilai keseluruhan program pada tahap “Cemerlang”, manakala 27.3% lagi
memberikan penilaian “Sangat Baik”. Selain itu, semua aspek penilaian mencatat
skor purata melebihi 4.40 daripada skala 5.00, termasuk keberkesanan
fasilitator (4.68), kejelasan arahan aktiviti (4.65) serta pengalaman
pembelajaran bermakna (4.78). Dapatan ini menunjukkan bahawa pendekatan
pembelajaran secara hands-on dan interaktif berjaya meningkatkan kefahaman,
minat serta penglibatan aktif pelajar terhadap bidang STEM.
Selain penglibatan PKTAAB
USM, program ini turut mendapat kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan
Daerah Seberang Perai Tengah (AADK SPT), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),
ViTrox Technologies Sdn. Bhd. dan Opsstar Berhad yang turut membuka reruai
pameran bagi berkongsi informasi berkaitan pendidikan STEM, kesedaran dan kesan
penyalahgunaan dadah, perkembangan semasa inovasi teknologi dalam industri,
peluang pengajian ke peringkat pendidikan tinggi serta peluang kerjaya kepada
warga pelajar dan guru SMJK Jit Sin.
Pelajar-pelajar daripada
Persatuan Sains dan Matematik serta Panitia SMJK Jit Sin turut tidak melepaskan
peluang untuk mempamerkan pelbagai aktiviti dan projek berasaskan STEM yang
kreatif dan inovatif sepanjang program berlangsung. Inisiatif ini turut mencerminkan
komitmen tinggi pihak guru dan sekolah dalam memperkasa pendidikan STEM bagi menyemarakkan
minat dan kesedaran pelajar terhadap kepentingan bidang sains, teknologi dan
inovasi.
Secara keseluruhan, inisiatif
ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman komuniti, khususnya
warga SMJK Jit Sin, terhadap kepentingan ilmu sains dan teknologi dalam
menyokong peningkatan kualiti Kesihatan serta kesejahteraan masyarakat. Melalui
penganjuran program jangkauan STEM seperti ini juga diharapkan ia dapat terus
menyemai sifat ingin tahu, pemikiran kritis dan kreativiti serta minat pelajar
untuk menceburi kerjaya sebagai saintis, penyelidik dan profesional kesihatan
pada masa hadapan.