Lima Pelajar Cemerlang Terima Anugerah Pengarah Bagi Sidang Akademik 2025/2026
Jun 05, 2026
BILIK MESYUARAT PENGARAH, June 5 2026
Bertam, 5 Jun 2026 – Seramai lima orang pelajar telah menerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Anugerah Pengarah Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan akademik para pelajar.
Daripada jumlah penerima, tiga orang merupakan pelajar Program Doktor Perubatan USM+1, manakala dua orang lagi merupakan pelajar Program Sarjana Sains dalam Sains Senaman Klinikal yang telah menunjukkan prestasi akademik cemerlang bagi Semester 1, Sidang Akademik 2025/2026.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah atas usaha gigih, disiplin tinggi dan komitmen berterusan yang telah membolehkan mereka mencapai kecemerlangan akademik. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam bidang perubatan dan sains senaman klinikal.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar yang sentiasa komited membimbing serta menyokong pelajar dalam mencapai kejayaan. Selain itu, para penerima anugerah diseru untuk terus menjadi duta kecemerlangan PKTAAB dengan membawa imej universiti secara profesional dan berintegriti dalam setiap penglibatan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.
Majlis yang bermula pada jam 9.30 pagi itu turut diisi dengan sesi fotografi, jamuan ringan dan majlis bersurai pada tengah hari. Penganjuran majlis ini diharap dapat menjadi motivasi kepada para pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Tahniah diucapkan kepada kelima-lima penerima Anugerah Pengarah atas pencapaian yang membanggakan ini.
TEKS DISEDIAKAN OLEH: NUR ANIS SYAMIMI MOHAMMAD AZMI
TEKS DISUNTING OLEH: PROF. MADYA DR. HAZWANI AHMAD YUSOF@HANAFI
FOTO: PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM (MPRC), UNIVERSITI SAINS MALAYSIA