Bahagian 2: Lebih Daripada Sekadar Luka Biasa: Otitis Eksterna, Malignant Otitis Eksterna (MOE) Dan Perikondritis.
Jul 08, 2026
KEPALA BATAS, PULAU PINANG, June 29 2026
Pada 29 Jun 2026, wakil daripada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah memberi impak yang luar biasa di Science, Technology, Engineering & Rocket Fair (STERF) 2026. Program ini telah berlangsung di Dewan Dato Abdul Fatah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi sempena majlis penutup pertandingan tersebut. Majlis telah dirasmikan dengan jayanya oleh En Shahrizal Bin Mohd Saderi, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, dan turut dihadiri oleh pelajar-pelajar MRSM dari seluruh Malaysia. Kehadiran wakil dari seluruh pelosok negara ini sekali gus menjadikan booth pameran PKTAAB sebagai antara tumpuan utama para peserta.
STERF 2026 merupakan program pengayaan akademik terkemuka yang bertujuan melahirkan pelajar MRSM yang berliterasi sains serta memupuk kemahiran penyelidikan dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Pihak penganjur telah menjemput pasukan kami untuk mengadakan pameran inovasi bagi memberi motivasi dan inspirasi kepada para peserta. Kehadiran delegasi PKTAAB kali ini telah diterajui oleh Dr. Hidani Hasim dan Dr. Anis Farhan Kamaruddin, serta dibantu secara langsung oleh pelajar mahasiswa PKTAAB, Aminah Suhaila Haron.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, booth pameran PKTAAB telah membawakan pendekatan interaktif yang menarik menerusi pelbagai pengisian. Pasukan kami mengendalikan Pameran Kesihatan Pergigian yang memberikan pendedahan meluas mengenai teknologi serta amalan penjagaan kesihatan pergigian terkini. Di samping itu, para pelajar turut berpeluang menyertai Aktiviti Pembuatan Ubat Gigi Buatan Sendiri (Homemade Toothpaste) yang merupakan sebuah aktiviti praktikal untuk mereka mengadun formula sendiri di bawah bimbingan pakar. Suasana booth menjadi lebih meriah dengan penganjuran Kuiz Pengetahuan tentang Ubat Gigi yang dipenuhi sesi soal jawab interaktif bersama agihan hadiah menarik untuk pelajar yang berjaya menjawab dengan tepat.
Penglibatan aktif PKTAAB dalam program ini secara langsung menyokong agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi dua matlamat utama di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Melalui SDG 3 yang berfokuskan Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, program ini mengetengahkan kepentingan penjagaan kesihatan mulut sejak usia muda demi melahirkan komuniti yang sihat. Seterusnya, menerusi SDG 4 yang mempromosikan Pendidikan Berkualiti, usahasama ini menyediakan peluang pembelajaran luar bilik darjah secara praktikal (hands-on) bagi meningkatkan kemahiran teknikal serta literasi sains dalam kalangan generasi muda.
Sambutan dan maklum balas yang amat menggalakkan daripada para pelajar serta pengunjung membuktikan kejayaan besar penglibatan ini. PKTAAB akan terus komited dalam menjayakan program khidmat masyarakat sebegini demi memupuk minat mendalam generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, dan penjagaan kesihatan masa hadapan.