Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI, USM, April 27 2026
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh momentum pembangunan strategiknya apabila menerima lawatan rasmi oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hassan Said.
Lawatan hampir tiga jam itu memberi tumpuan kepada penilaian menyeluruh terhadap pencapaian, hala tuju serta keupayaan PKTAAB dalam memperluas peranannya sebagai pusat rujukan kanser berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program dimulakan dengan tayangan video korporat baru PKTAAB dan diteruskan dengan sesi taklimat oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin. Dalam pembentangan tersebut, Pengarah telah membentangkan pencapaian utama pusat merangkumi keunikan perkhidmatan (unique selling point), strategi penjenamaan (branding), pemposisian (positioning) dan keterlihatan (visibility) institusi yang semakin diperkukuh.
Turut diketengahkan ialah kejayaan dalam inovasi sistem perkhidmatan, kecemerlangan pelajar, peningkatan ketara prestasi penyelidikan, perkembangan perkhidmatan klinikal, pertumbuhan kewangan, pengukuhan perjawatan serta kemajuan pembangunan fasiliti PKTAAB.
Sesi taklimat seterusnya diikuti dengan perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi USM@Bertam, Jawatankuasa Pengurusan PKTAAB serta wakil Jawatankuasa Pengurusan Klinikal.
Perbincangan berlangsung dalam suasana profesional dan berfokus, dengan penekanan terhadap usaha memperkukuh peranan PKTAAB serta memperluas impak perkhidmatan dan keterlihatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam sesi tersebut, Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hassan Said turut berkongsi pandangan serta pengalaman luas dalam tadbir urus institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekali gus memberikan input strategik kepada barisan pengurusan pusat terutamanya dalam aspek keterlihatan dan pemposisian.
Lawatan turut merangkumi sesi interaksi oleh Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hassan Said bersama pemimpin pelajar PKTAAB, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembangunan bakat dan kecemerlangan akademik masa hadapan.
Lawatan diteruskan ke tapak projek naik taraf Wad Kanser yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat. Lawatan ini bertujuan meninjau kemajuan pembangunan infrastruktur serta kesiapsiagaan fasiliti dalam menyokong peningkatan kapasiti rawatan pesakit.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh pembangunan PKTAAB sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang kanser, pendidikan dan penyelidikan, selaras dengan aspirasi USM dalam memperkasa sistem perkhidmatan kesihatan negara.