PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
AUDITORIUM SAINS@BERTAM, PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI, February 23 2026
Program Universiti Mini 2.0: Langkah Pertama ke Menara Gading telah berjaya dianjurkan melalui kerjasama antara Sekolah Kebangsaan Bertam Indah (SKBI) dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid Tahun 1 terhadap persekitaran universiti serta menyemai aspirasi melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi sejak usia muda.
Program bermula seawal jam 7.40 pagi dengan sesi pendaftaran peserta yang berlangsung di hadapan Auditorium SAINS@BERTAM, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, USM. Seterusnya, murid-murid Tahun 1 berkumpul di Dewan Kuliah A bagi mengikuti sesi perkongsian bersama Puan Lizawati binti Muhammadan, Ketua Perpustakaan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sesi ini merangkumi pengenalan kepada perpustakaan dan peranannya sebagai pusat sumber ilmu, di samping pendedahan awal mengenai kemudahan serta fasiliti perpustakaan USM yang menyokong pembelajaran dan pembudayaan membaca dalam kalangan murid.
Murid-murid kemudiannya dibawa melawat Perpustakaan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi Learning Space (ALS). Lawatan ini memberi peluang kepada murid untuk mengenali kemudahan universiti serta memahami fungsi institusi pengajian tinggi dalam suasana yang santai dan interaktif. Pada masa yang sama, ibu bapa dan penjaga murid Tahun 1 menyertai sesi bersama guru SKBI serta taklimat khas yang disampaikan oleh Puan Helena binti Muhammad Adam, Pelatih Ahli Psikologi Klinikal, yang berkongsi input berkaitan Perkongsian Kesediaan Sekolah Dari Aspek Tingkahlaku & Sosioemosi Kanak-Kanak.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bertam Indah, Pulau Pinang, En. Zainal bin Ahmad, diikuti dengan ucapan perasmian penutup oleh Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi, Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia. Majlis perasmian penutup ini turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Rafidah Zainon, Ketua Seksyen Inovasi dan Jaringan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, serta Puan Nur Fadilah Safar daripada Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan, Puan Azizah binti Noor dan Puan Noorsyazana binti Soaid dari Seksyen Kejuruteraan, di samping staf Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, USM.
Sebagai tanda penghargaan serta simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua institusi, penyampaian sijil dan cenderahati daripada pihak Sekolah Kebangsaan Bertam Indah kepada Universiti Sains Malaysia turut diadakan. Program diakhiri dengan persembahan penutup oleh murid Tahun 1 yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh semangat sebelum majlis bersurai pada jam 12.15 tengah hari.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkenalkan dunia universiti kepada murid sekolah rendah serta memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pendidikan sekolah dan universiti, sejajar dengan usaha melahirkan generasi berilmu dan beraspirasi tinggi.