Bahagian 2: Lebih Daripada Sekadar Luka Biasa: Otitis Eksterna, Malignant Otitis Eksterna (MOE) Dan Perikondritis.
Jul 08, 2026
June 19 2026
Apakah yang Dimaksudkan Dengan Kumpulan Darah RhDel?
RhDel ialah varian genetik yang sangat jarang berlaku dan ekstrem bagi sistem kumpulan darah Rh, di mana sel darah merah membawa bilangan antigen D yang sangat sedikit (kurang daripada 30 antigen per sel).
Oleh sebab bilangannya terlalu sedikit, antigen D ini tidak dapat dikesan melalui ujian saringan antibodi rutin di makmal, menyebabkan penderma darah RhDel sering tersalah label sebagai RhD-negatif.
Fenotip RhDel telah dicirikan secara komprehensif pada tahun 1984, apabila Okubo dan rakan sekerja memerhati bahawa sebahagian penderma darah Jepun yang diklasifikasikan sebagai Rh(D)-negatif bagaimanapun boleh menjerap (adsorption) antibodi anti-D, yang kemudiannya boleh dipulihkan semula melalui proses pencucian (elution) (1). Istilah RhDel berasal daripada sifat D-pencucian (D-elute) ini. Penemuan tersebut membuktikan bahawa pengekspresan antigen D wujud merentasi spektrum kuantitatif yang menjangkau melebihi kategori D lemah (weak D) dan D separa (partial D) yang dikenal pasti sebelum ini.
Ketumpatan antigen yang sangat rendah pada sel darah merah RhDel utamanya disebabkan oleh alel RHD*1227A (c.1227G>A; RHD*01EL.01), yang mengurangkan jumlah protein RhD yang digabungkan ke dalam membran sel darah merah (2-4). Berbeza dengan fenotip D lemah, di mana pengekspresan antigen berkurangan tetapi masih boleh dikesan melalui ujian antiglobulin tidak langsung, fenotip RhDel berada di bawah ambang pengesanan kedua-dua kaedah ujian tiub dan kad gel mikrokolum (microcolumn gel card). Oleh itu, penderma RhDel tidak dapat dikenal pasti melalui ujian imunohaematologi rutin dan diklasifikasikan secara sistematik sebagai Rh(D)-negatif secara automatik (3, 4, 5).
Kadar prevalens RhDel dalam kalangan penderma yang diuji secara serologi sebagai Rh(D)-negatif berbeza secara ketara mengikut demografi, yang didorong utamanya oleh perbezaan etnik dalam kekerapan alel RHD*1227A. Populasi Asia Timur secara konsisten menunjukkan kadar tertinggi, dengan prevalens sebanyak 15% hingga 30% dilaporkan di China (6,7), Korea Selatan (8), Taiwan (9), Thailand (10,11), dan Myanmar (12). Sebaliknya, negara-negara Eropah termasuk Croatia (13) dan Jerman (14), serta India (15) dan Australia (16), melaporkan kadar prevalens di bawah 1.5%.
Kajian Tempatan Berkaitan Prevalens RhDel
Satu kajian tempatan yang dilakukan di Sarawak, Malaysia oleh Dr Chang Si Ya, pelajar tahun 4 Sarjana Perubatan dalam Perubatan Transfusi mendapati hampir satu pertiga penderma darah yang diklasifikasikan sebagai RhD-negatif secara serologi membawa varian RhDel yang tidak dikesan, dengan prevalens tertinggi dalam kalangan etnik Cina. Kajian ini meneliti 238 penderma berstatus RhD-negatif secara serologi yang berdaftar dalam Registri Penderma Jarang Jumpa Sarawak antara tahun 2014 dan 2024, menggunakan reka bentuk kohot retrospektif dengan analisis kes-kawalan bersarang. Fenotip RhDel disahkan melalui kaedah serologi Penjerapan-Pencucian (Adsorption-Elution).
Daripada 238 penderma, 77 (32.4%) dikenal pasti sebagai RhDel-positif. Fenotip RhCE jenis ccee mengenal pasti penderma RhD-negatif sebenar secara tepat dengan spesifisiti 100% dan ketepatan 95.8%. Penderma berbangsa Cina menunjukkan kadar RhDel tertinggi iaitu pada 49.2%. Kumpulan Darah AB menunjukkan perkaitan bebas yang paling kuat, diikuti oleh Kumpulan Darah A. Faktor jantina tidak menunjukkan perkaitan yang signifikan.
Hasil dari kajian ini menekankan berkenaan penyepaduan fenotip RhCE dan etnik dalam saringan penderma adalah penting untuk meningkatkan keselamatan pemindahan darah di Asia Tenggara. Penggunaan penentuan fenotip RhCE sebagai indikator awal untuk menyaring penderma RhD-negatif yang berkemungkinan besar membawa gen RhDel tersembunyi, sebelum ujian genotip yang lebih mahal dilakukan. Penderma yang disahkan mempunyai varian RhDel perlu diklasifikasikan semula sebagai RhD-positif untuk memastikan darah mereka tidak diberikan kepada pesakit RhD-negatif.
Protokol Makmal & Penyaringan (Perspektif Penderma)
• Isu Saringan Rutin: Ujian serologi biasa (seperti ujian tiub atau gel) selalunya tersalah saring individu Rh Del sebagai Rh negatif kerana ekspresi antigen D yang terlalu sedikit (kurang daripada 22 antigen per sel).
• Tindakan Makmal Rujukan: Di Pusat Darah negara (PDN), ujian lanjutan seperti genotip sel darah merah (RHD genotyping) atau ujian penjerapan-pencucian (adsorption-elution) digunakan untuk mengesan mutasi genetik khusus jenis Asia (Asian-type Del, mutasi RHD*01EL.01 atau RHD*c.1227G>A).
• Klasifikasi Unit Darah: Mana-mana beg darah daripada penderma yang disahkan mempunyai varian RhDel mesti diklasifikasikan sebagai Rh-positif. Darah ini hanya akan diberikan kepada pesakit Rh-positif untuk mengelakkan risiko pembentukan antibodi anti-D pada pesakit Rh-negatif.
Keselamatan Pesakit & Pengurusan Wanita Hamil (Perspektif Penerima)
• Jika Pesakit Memerlukan Transfusi: Menariknya, individu dengan varian Asian-type Del mempunyai struktur antigen D yang lengkap. Oleh itu, sistem imun mereka mengenali antigen D sebagai "diri sendiri" (self-antigen). Pesakit Rh Del boleh menerima darah Rh Positif dengan selamat tanpa risiko menghasilkan antibodi anti-D. Ini sangat membantu menjimatkan bekalan darah Rh negatif yang amat jarang berlaku di Malaysia.
• Pengurusan Ibu Hamil: Ibu hamil yang disahkan memiliki varian Asian-type Del tidak akan membina antibodi anti-D walaupun bayi yang dikandungnya adalah Rh positif. Hasilnya, mereka tidak memerlukan suntikan imunoglobulin Rh (RhIG / Anti-D Prophylaxis). Ini mengurangkan kos rawatan dan mengelakkan penggunaan produk darah yang tidak diperlukan.
Peranan & Impak RhDel dalam Perubatan Transfusi
Dalam bidang perubatan transfusi, fenotip RhDel membawa implikasi klinikal yang kritikal:
• Risiko Aloimunisasi (Alloimmunization): Jika pesakit yang benar-benar RhD-negatif menerima darah daripada penderma RhDel (yang disangka negatif), sistem imun pesakit boleh mengesan kehadiran antigen D yang tersembunyi itu. Ini merangsang penghasilan antibodi anti-D.
• Penyakit Hemolitik Janin dan Baru Lahir (HDFN): Jika seorang ibu yang RhD-negatif mengalami aloimunisasi akibat tersilap menerima darah RhDel, antibodi anti-D miliknya boleh merentas plasenta dalam kehamilan seterusnya dan menyerang sel darah merah janin yang RhD-positif, menyebabkan anemia teruk atau kematian janin.
• Cabaran Diagnostik Makmal: Ujian serologi biasa (seperti ujian tiub atau gel) akan menunjukkan keputusan negatif. Fenotip RhDel hanya boleh disahkan melalui kaedah khusus seperti Ujian Penjerapan-Pencucian (Adsorption-Elution) atau ujian genotip (molecular genotyping)
Rujukan:
1. Okubo, Y., Yamaguchi, H., Tomita, T. & Nagao, N. (1984) A D variant, Del?. Transfusion, 24(6), 542–542. https://doi.org/10.1046/J.1537-2995.1984.24685066827.X.
2. Chen, J. C., Lin, T. M., Chen, Y. L., Wang, Y. H., Jin, Y. T. & Yue, C. T. (2004) RHD 1227A Is an Important Genetic Marker for RhDel Individuals. American Journal of Clinical Pathology. Oxford Academic, 122(2), 193–198. https://doi.org/https://doi.org/10.1309/3xmf2nv5707tje7x.
3. Sandler, S. G. & Flegel, W. A. (2019) Does transfusion of Asian-type DEL red blood cells to D– recipients cause D alloimmunization?. Transfusion. Blackwell Publishing Inc., 59(7), 2455–2458. https://doi.org/10.1111/TRF.15323.
4. Wagner, F. F. (2023) Serology and molecular biology of DEL: a narrative review. Annals of Blood. AME Publishing Company, 8(0). https://doi.org/10.21037/AOB-22-16/COIF.
5. Okuda, H., Kawano, M., Iwamoto, S., Tanaka, M., Seno, T., Okubo, Y. & Kajii, E. (1997) The RHD gene is highly detectable in RhD-negative Japanese donors. Journal of Clinical Investigation. American Society for Clinical Investigation, 100(2), 373–379. https://doi.org/10.1172/JCI119543.
6. Li, Q., Hou, L., Guo, Z. H., Ye, L. Y., Yue, D. Q. & Zhu, Z. Y. (2009) Molecular basis of the RHD gene in blood donors with DEL phenotypes in Shanghai. Vox Sanguinis.
7. Yin, Q. & Flegel, W. A. (2021) DEL in China: the D antigen among serologic RhD-negative individuals. Journal of translational medicine. J Transl Med, 19(1). https://doi.org/10.1186/S12967-021-03116-6.
8. Kim, T. Y., Hong, Y. J., Kim, M. J., Kim, H., Kim, T. S., Park, J. S., Park, K. U. & Han, K. S. (2019) Recommendations Regarding Practical DEL Typing Strategies for Serologically D-Negative Asian Donors. Transfusion Medicine and Hemotherapy. S. Karger AG, 47(1), 88. https://doi.org/10.1159/000500098.
9. Sun, C. F., Chou, C. S., Lai, N. C. & Wang, W. T. (1998) RHD gene polymorphisms among RhD-Negative Chinese in Taiwan. Vox Sanguinis. Wiley-Blackwell Publishing Ltd, 75(1), 52–57. https://doi.org/10.1159/000030958.
10. Srijinda, S., Suwanasophon, C., Visawapoka, U. & Pongsavee, M. (2012) RhC phenotyping, adsorption/elution test, and SSP-PCR: the combined test for D-elute phenotype screening in Thai RhD-negative blood donors. ISRN Hematology. Hindawi Limited, 2012, 1–6. https://doi.org/10.5402/2012/358316.
11. Simtong, P., Phothi, R., Puapairoj, C., Leelayuwat, C. & Romphruk, A. V. (2022) RHD 1227 A and hybrid Rhesus box analysis in Thai RhD+ and RhD- blood donors: Prevalence, RHD zygosity, and molecular screening. Transfusion and Apheresis Science. Elsevier Ltd, 61(6). https://doi.org/10.1016/J.TRANSCI.2022.103496.
12. Wah, S. T., Chi, S. N., Kyaing, K. K., Khin, A. A. & Aung, T. (2020) Serological detection of Rh-Del phenotype among Rh-negative blood donors at National Blood Center, Yangon, Myanmar. Advances in Hematology. Hindawi Limited, 2020. https://doi.org/10.1155/2020/3482124.
13. Dajak, S., Krstic, J. L., Körmöczi, G., Dogic, V. & Burilovic, V. (2014) Characteristics and frequency of DEL phenotype detected by indirect antiglobulin test in Dalmatia county of Croatia. Transfusion and Apheresis Science. Pergamon, 50(2), 210–213. https://doi.org/10.1016/J.TRANSCI.2014.01.019.
14. Flegel, W. A. , Von Zabern, I. & Wagner, F. F. (2009) Six years’ experience performing RHD genotyping in Germany. Transfusion, 49(3), 465–471. https://doi.org/10.1111/J.1537-2995.2008.01975.X.
15. Chaudhary, R., Verma, S. & Verma, A. (2020) Prevalence of DEL phenotype in D blood donors in India. Immunohematology. American Red Cross, 36(4), 133–136. https://doi.org/https://doi.org/10.21307/immunohematology-2020-052.
16. Scott, S. A., Nagl, L., Tilley, L., Liew, Y. W., Condon, J., Flower, R. & Hyland, C. A. (2014) The RHD(1227G>A) DEL-associated allele is the most prevalent DEL allele in Australian D– blood donors with C+ and/or E+ phenotypes. Transfusion. John Wiley & Sons, Ltd, 54(11), 2931–2940. https://doi.org/10.1111/TRF.12701.