PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
PUSAT SUMBER ALAM SEKITAR TAMAN BAGAN LALANG, December 16 2025
Pasukan Lestari terdiri daripada staf dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) telah mengadakan lawatan ke Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang bagi mendalami proses pengurusan sisa pepejal terutamanya sisa makanan.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas, diikuti dengan lawatan sekitar fasiliti. Objektif lawatan ini adalah untuk mengukuhkan kerjasama, meningkatkan kefahaman mengenai operasi kitar semula terutamanya sisa makanan serta memupuk amalan perlindungan alam sekitar dalam kalangan staf.
Kumpulan Zero Waste Community ini beroperasi di Taman Bagan Lalang dan begitu aktif dalam aktiviti kitar semula. Kawasan ini mempunyai stesen pengasingan (segretation station) di mana penduduk sekitar boleh meletakkan pelbagai jenis sisa pepejal yang boleh dikitar semula ke pintu masuk ke tong yang telah diasingkan kategori iaitu pakaian, kertas, kotak, plastik, 'e waste’ dan botol/kaca. Perkhidmatan ini menggalakkan komuniti setempat untuk kitar semula bahan-bahan yang tidak mahu digunakan lagi.
Selain digalakkan untuk mengitar semula barangan ’recycle’, delegasi juga digalakan untuk menjadikan barangan yang tidak lagi digunakan menjadi satu produk baharu atau produk yang berkualiti dan bernilai ’upcycle'. Peserta berpeluang melihat contoh produk baharu yang berkualiti hasil daripada bahan kitar semula antaranya kotak besar untuk pengumpulan pakaian daripada kotak minuman ‘Tetra Pak’ dan bahan binaan iaitu bumbung yang diperbuat daripada kertas.
Delegasi telah diberi peluang untuk menyaksikan sendiri demonstrasi penggunaan mesin pemprosesan sisa makanan. Mesin ini berfungsi untuk memproses sisa makanan dan berkeupayaan mengasingkan minyak, air dan hampas daripada sisa makanan kepada bahan yang lebih mesra alam antaranya diproses menjadi baja kompos dan makanan untuk haiwan ternakan seperti jenis dedak dan pellet yang berguna. Ia membantu mengurangkan kuantiti sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong konsep “Zero Waste” dan kelestarian alam sekitar. Menurut pihak pengurusan Pusat Sumber Alam Sekitar, mesin ini merupakan mesin baharu yang belum pernah digunakan sebelum ini, dan delegasi IPPT merupakan rombongan pertama yang berpeluang menyaksikan pengoperasiannya. Penggunaan mesin ini dilihat sebagai satu inovasi penting dalam pengurusan sisa di komuniti dan institusi.
Sebelum berangkat pulang, pihak pengurusan Pusat Sumber Alam Sekitar telah berhasrat untuk menjemput delegasi IPPT untuk hadir semula pada bulan Januari 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pusat Sumber Alam Sekitar yang ke-16. Jemputan ini diharapkan dapat terus mengukuhkan hubungan kerjasama sedia ada, di samping menyemarakkan pelaksanaan program serta aktiviti berkaitan pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar yang dianjurkan oleh pihak pusat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan Encik Andrew Lim serta para sukarelawan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang atas kesempatan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang lawatan ini. Ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada seluruh warga kerja atas layanan yang amat mesra, profesional serta komitmen tinggi yang ditunjukkan, yang secara keseluruhannya telah menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan program lawatan ini.