Seminar Pemantapan Kemahiran Dan Kompetensi Kejururawatan 2026 Perkukuh Amalan Penjagaan Pesakit
Oct 07, 2026
August 10 2026
Sekeping tisu yang dilihat dengan mata kasar mungkin kelihatan biasa dan tidak memberikan banyak maklumat. Namun, apabila tisu tersebut diproses dengan teliti dan diperiksa di bawah mikroskop, pelbagai perubahan pada sel dan struktur tisu boleh dikenal pasti. Perubahan yang terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar inilah yang membantu penyelidik dan ahli patologi memahami apa yang sedang berlaku di dalam tubuh kita.
Pemeriksaan struktur tisu di bawah mikroskop dikenali sebagai histologi. Pengetahuan tentang rupa dan susunan tisu normal sangat penting kerana perubahan pada bentuk, susunan atau keadaan sel boleh memberikan petunjuk tentang kecederaan, keradangan, penyakit atau tindak balas terhadap sesuatu rawatan (Khan & Farhana, 2025).
Dari Sampel Kecil kepada Maklumat yang Besar
Sebelum sesuatu tisu dapat dilihat melalui mikroskop, sampel perlu melalui beberapa proses. Tisu terlebih dahulu diawet bagi mengekalkan struktur asalnya, kemudian diproses dan dimasukkan ke dalam bahan sokongan seperti parafin supaya ia dapat dipotong menjadi lapisan yang sangat nipis. Potongan tisu ini kemudiannya diletakkan pada slaid kaca dan diwarnakan supaya struktur sel dapat dilihat dengan lebih jelas. Antara kaedah pewarnaan yang paling biasa digunakan ialah hematoksilin dan eosin atau H&E. Pewarnaan ini menghasilkan warna yang berbeza pada bahagian sel dan tisu. Nukleus sel biasanya kelihatan kebiruan atau ungu, manakala bahagian lain tisu kelihatan dalam rona merah jambu. Perbezaan warna ini membantu struktur dan corak keseluruhan tisu dinilai dengan lebih jelas. Walaupun hasil akhirnya hanya berupa sekeping slaid kaca, satu slaid boleh mengandungi ribuan sel. Perubahan yang dilihat pada sel-sel ini boleh memberikan petunjuk penting tentang keadaan sesuatu tisu atau organ.
Apakah yang Sebenarnya Dilihat?
Pemeriksaan mikroskop bukan sekadar mencari sel yang kelihatan “tidak normal”. Penilaian dilakukan dengan melihat corak keseluruhan tisu. Antara perkara yang diperhatikan ialah susunan sel, keadaan struktur tisu, kehadiran kerosakan atau keradangan serta perubahan lain yang berbeza daripada keadaan normal.
Dalam penyelidikan tulang, sebagai contoh, pemeriksaan mikroskop boleh menunjukkan bagaimana struktur tulang berubah akibat penyakit. Walaupun tulang kelihatan seperti struktur yang keras dan kekal, ia sebenarnya ialah tisu hidup yang sentiasa mengalami proses pembentukan dan penguraian. Proses ini dikenali sebagai bone remodeling dan berlaku sepanjang hayat bagi membantu mengekalkan kekuatan serta fungsi tulang (Rowe et al., 2023).
Apabila keseimbangan proses ini terganggu akibat penyakit, struktur tulang juga boleh berubah. Dalam keadaan kanser yang merebak ke tulang, misalnya, sel kanser dari organ asal boleh berkembang di dalam tulang dan mengganggu struktur serta fungsi normalnya. Tulang merupakan antara lokasi yang lazim terlibat dalam penyebaran beberapa jenis kanser, termasuk kanser payudara, prostat dan paru-paru (National Cancer Institute, 2025).
Pemeriksaan tisu juga tidak semestinya terhad kepada tulang. Dalam sesetengah penyelidikan, organ lain seperti hati, buah pinggang, paru-paru dan jantung turut diperiksa bagi mengetahui sama ada sesuatu penyakit atau rawatan turut menyebabkan perubahan pada bahagian lain dalam tubuh.
Siapakah yang Menilai Slaid Tisu?
Mampu melihat sesuatu melalui mikroskop dan mampu mentafsir perubahan yang dilihat merupakan dua perkara yang berbeza. Seseorang yang telah dilatih mungkin boleh mengenal pasti sel, membuat ukuran tertentu atau membandingkan struktur berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Namun, menentukan sama ada sesuatu perubahan benar-benar berkaitan dengan penyakit, keradangan, kerosakan tisu atau hanya berlaku akibat proses penyediaan sampel memerlukan pengetahuan dan pengalaman yang lebih khusus.
Di sinilah peranan pakar histopatologi menjadi penting. Histopatologi ialah bidang yang mengkaji penyakit berdasarkan perubahan pada sel dan tisu. Pakar histopatologi ialah doktor yang mempunyai latihan khusus untuk mengenali dan mentafsir perubahan tisu melalui pemeriksaan mikroskop. Mereka bukan sekadar melihat rupa sesuatu sel secara berasingan, tetapi menilai keseluruhan corak dan hubungan antara struktur tisu sebelum membuat interpretasi.
Mengapakah kepakaran ini penting? Tidak semua perubahan yang kelihatan pada sesuatu slaid berpunca daripada penyakit. Kadangkala perubahan berlaku semasa tisu diambil, diawet, diproses, dipotong atau diwarnakan. Perubahan seperti ini dikenali sebagai artefact. Pengendalian sampel dan proses makmal yang tidak optimum boleh mempengaruhi kualiti spesimen dan seterusnya cara tisu ditafsirkan. Oleh sebab itu, pengendalian, pemprosesan dan penilaian sampel histopatologi perlu dilakukan secara sistematik dan mengikut amalan makmal yang sesuai.
Dalam penyelidikan, pemerhatian atau pengukuran tertentu pada slaid boleh dilakukan oleh penyelidik yang telah dilatih berdasarkan kaedah dan kriteria yang ditetapkan. Namun, apabila perubahan histopatologi merupakan salah satu hasil utama sesuatu kajian, penilaian atau pengesahan oleh pakar histopatologi atau pakar Patologi Anatomi yang mempunyai kepakaran berkaitan dapat meningkatkan keyakinan terhadap ketepatan interpretasi.
Dalam sesetengah kajian, individu yang menilai slaid juga tidak diberitahu kumpulan asal sampel tersebut. Kaedah penilaian secara blinded ini membantu mengurangkan kecenderungan ketika membuat interpretasi. Penilaian dibuat berdasarkan perubahan yang benar-benar dilihat pada tisu dan bukannya berdasarkan jangkaan terhadap sesuatu kumpulan atau rawatan.
Mengapa Satu Gambar Tidak Mencukupi?
Gambar mikroskop yang menarik tidak semestinya cukup untuk membuktikan sesuatu penemuan. Tisu mempunyai kawasan yang berbeza-beza dan sesuatu perubahan mungkin hanya terdapat pada bahagian tertentu. Oleh itu, pemeriksaan biasanya melibatkan beberapa kawasan atau bahagian tisu serta perbandingan antara sampel. Dalam penyelidikan, hasil mikroskop juga sering dinilai bersama maklumat lain seperti ujian darah, pengimejan atau pengesanan penanda tertentu.
Prinsip yang sama digunakan dalam perubatan. Apabila seseorang menjalani biopsi, sebahagian kecil tisu diambil untuk diperiksa oleh ahli patologi. Pemeriksaan tersebut boleh membantu menentukan sama ada terdapat penyakit seperti kanser dan memberikan maklumat mengenai ciri sel yang terlibat. Namun, diagnosis keseluruhan biasanya dibuat dengan mempertimbangkan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal, ujian makmal dan pengimejan. Ini menunjukkan bahawa satu keputusan sahaja jarang menceritakan keseluruhan keadaan. Maklumat daripada pelbagai sumber perlu digabungkan sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.
Mikroskop dan Ketelitian dalam Penyelidikan
Sampel yang telah diambil tidak semestinya boleh terus dilihat melalui mikroskop. Penyediaannya memerlukan beberapa peringkat dan setiap peringkat perlu dilakukan dengan teliti. Bagi sampel tulang, prosesnya boleh menjadi lebih mencabar kerana tulang mempunyai komponen mineral yang menjadikannya keras. Dalam sesetengah kaedah histologi, tulang perlu melalui proses penyahkalsiuman terlebih dahulu supaya dapat dipotong menjadi lapisan yang cukup nipis untuk pemeriksaan.
Selepas slaid disediakan, proses pemerhatian juga mengambil masa. Kawasan tisu perlu diperiksa, dibandingkan antara sampel dan penemuan direkodkan secara sistematik. Ada kalanya slaid perlu disediakan semula kerana pewarnaan tidak jelas, potongan tisu rosak atau bahagian yang diperlukan tidak dapat dilihat dengan baik. Proses ini mungkin kelihatan perlahan, tetapi ketelitian tersebut penting supaya kesimpulan tidak dibuat berdasarkan pemerhatian yang kurang tepat.
Mengapa Perkara Ini Penting kepada Orang Awam?
Pemeriksaan mikroskop mungkin kelihatan seperti sesuatu yang hanya berlaku di dalam makmal, tetapi penggunaannya sebenarnya sangat dekat dengan penjagaan kesihatan. Apabila seseorang menjalani biopsi kerana terdapat ketulan atau perubahan yang mencurigakan, sampel tisu yang sangat kecil boleh memberikan maklumat penting tentang keadaan tersebut. Pemeriksaan patologi boleh membantu mengenal pasti sama ada terdapat sel kanser serta memberikan maklumat yang diperlukan oleh doktor dalam merancang langkah seterusnya.
Dalam penyelidikan pula, pemeriksaan tisu membantu saintis memahami bagaimana sesuatu penyakit berkembang dan bagaimana tubuh bertindak balas terhadap rawatan. Pengetahuan ini menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang daripada penyelidikan asas di makmal kepada pemahaman penyakit dan pembangunan pendekatan rawatan yang lebih baik. Oleh itu, di sebalik sekeping slaid kaca yang kecil terdapat proses penyediaan, pemerhatian dan interpretasi yang teliti serta kepakaran manusia yang tidak kurang penting daripada teknologi mikroskop itu sendiri.
Melihat Apa yang Tidak Kelihatan
Mikroskop mengingatkan bahawa keadaan tubuh tidak selalu dapat dinilai hanya berdasarkan apa yang kelihatan dari luar. Sesuatu tisu mungkin kelihatan biasa dengan mata kasar tetapi menunjukkan perubahan apabila diperiksa dengan lebih dekat. Di sebalik setiap imej mikroskop terdapat maklumat tentang sel, tisu, penyakit, proses pemulihan dan tindak balas tubuh terhadap rawatan. Namun, imej tersebut hanya menjadi bermakna apabila dinilai dengan kaedah yang betul dan ditafsirkan oleh individu yang mempunyai pengetahuan serta latihan yang sesuai. Apa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kadangkala memberikan maklumat yang sangat bermakna. Melalui mikroskop dan interpretasi yang tepat, perubahan yang amat kecil boleh membuka pemahaman yang jauh lebih besar tentang kesihatan dan penyakit.
Rujukan