Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
KOMPLEKS PENYELIDIKAN HAIWAN, December 18 2024
Latihan Kawad Kebakaran di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan serta kesiapsiagaan penghuni bangunan dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan kebakaran.
Latihan yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi ini menampilkan simulasi pemindahan kecemasan dan demonstrasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam makmal. Demonstrasi ini telah dirancang dengan teliti oleh Ketua Pengungsian Bangunan, En. Ahmad Farid Ismail @ Asmail, bersama Jawatankuasa Kawad Kebakaran Bangunan ARC. Latihan tersebut memberikan pendedahan praktikal kepada peserta tentang langkah-langkah keselamatan dan teknik menyelamatkan nyawa dalam keadaan berisiko tinggi.
En. Ahmad Farid melaporkan bahawa misi pengosongan bangunan berjaya mencapai sasaran masa kurang daripada 7 minit, dengan catatan masa 6 minit 30 saat, merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan keberkesanan latihan serta koordinasi penghuni bangunan. Dalam ucapan Ketua Bangunan, Prof. Madya Dr. Hasni Arsad, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan latihan ini. Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian warga ARC yang menunjukkan kesungguhan dan kerjasama padu sepanjang sesi latihan berlangsung. Selain itu, Dr. Hasni menekankan kepentingan latihan kawad kebakaran ini sebagai langkah kritikal untuk memastikan semua pihak memahami tindakan yang perlu diambil dalam situasi kecemasan sebenar. Beliau juga menegaskan bahawa latihan berkala seperti ini dapat memperkukuhkan budaya keselamatan dan kesiapsiagaan di tempat kerja.
Latihan ini turut melibatkan kehadiran sebuah ambulans lengkap dengan pengusung serta staf paramedik yang memainkan peranan penting dalam memastikan demonstrasi penyelamatan berjalan lancar. Kehadiran mereka memberikan elemen realistik dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran peserta. Dengan pencapaian yang memberangsangkan, latihan ini diharapkan menjadi asas kepada usaha berterusan dalam memperkukuh tahap keselamatan di IPPT. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dan usaha ini membuktikan komitmen warga ARC terhadap persekitaran kerja yang selamat dan harmoni.