Melangkaui Sempadan, PKTAAB Dan Unar Perkukuh Jaringan Akademik Serta Penyelidikan
Oct 30, 2026
October 30 2026
BERTAM, 30 Oktober 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universitas Aufa Royhan (UNAR), Indonesia dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama akademik, penyelidikan dan perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi.
Majlis menandatangani MoA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Cancer Teaching Complex (CTC), PKTAAB itu disempurnakan oleh wakil kedua-dua institusi sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memperluas jaringan kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin yang mewakili Naib Canselor USM; Dr. Henniyati Harahap, Ketua Yayasan Aufa Royhan; Prof. Madya Dr. Anto, Rektor UNAR; Prof. Madya Dr. Eshaifol Azam Omar, Ketua Projek ; Dr. Ns. Sukhri Herianto Ritonga, Wakil Rektor III UNAR; serta Dr. Novitasari Batubara, Wakil Rektor II UNAR. Turut hadir ialah barisan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi PKTAAB, ketua-ketua jabatan serta delegasi Universitas Aufa Royhan, Indonesia.
Dalam ucapannya, Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, pemeteraian MoA tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi rasmi, sebaliknya menjadi landasan penting dalam membangunkan kerjasama yang lebih menyeluruh dan memberikan impak kepada kedua-dua institusi.
Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama yang merangkumi penyelidikan dan penerbitan ilmiah, program pertukaran pelajar serta staf, di samping penganjuran seminar, bengkel dan persidangan secara bersama.
Sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang memberikan tumpuan kepada penyelidikan kesihatan dan kanser, PKTAAB turut melihat kolaborasi ini sebagai peluang untuk memperluas perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman antara penyelidik kedua-dua institusi, sekali gus meneroka pendekatan serta inovasi baharu dalam menangani cabaran semasa bidang kesihatan.
Kerjasama rentas sempadan seumpama ini juga berperanan penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan, selain memastikan ilmu serta hasil penyelidikan tidak terhad dalam lingkungan akademik, malah dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.
Pemeteraian MoA ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan strategik yang berterusan antara PKTAAB, USM dan UNAR, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ilmu, kecemerlangan penyelidikan serta peningkatan kualiti hidup masyarakat di Malaysia dan Indonesia.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia