Di Sebalik Jangkitan Berulang: Memahami Penyakit Imunodefisiensi Primer (PID) Dan Kepentingan Registri Pesakit
Sep 20, 2026
SMK JIT SIN II, SEBARANG PERAI SELATAN, PULAU PINANG, June 24 2026
Seksyen Penyelidikan Haiwan (SPH) PKTAAB telah dijemput untuk menyertai STEM Showcase 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Tech Dome pada 24 hingga 27 Jun 2026 di SMK Jit Sin II, Seberang Perai Selatan. Program ini menghimpunkan pelbagai pempamer dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, dengan penyertaan utama daripada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah serta guru-guru.
Sebagai salah satu pempamer jemputan, SPH mengambil peluang ini untuk memperkenalkan peranan penyelidikan haiwan dalam pembangunan aplikasi bioperubatan. Pameran ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar dan guru tentang bagaimana model haiwan digunakan secara beretika dan terkawal bagi memahami penyakit manusia, menguji keselamatan bahan, serta menilai keberkesanan rawatan baharu sebelum kajian diteruskan ke peringkat klinikal.
Antara fokus utama pameran ialah penerangan mengenai pembentukan model infarksi miokardium pada tikus dan model kecacatan tulang tibia pada arnab. Melalui rakaman video prosedur penyelidikan yang telah disediakan, pelajar dan guru dapat melihat bagaimana model-model ini dibangunkan melalui prosedur pembedahan yang teliti, sistematik dan berteknologi tinggi. Penerangan turut diberikan mengenai kepentingan pemantauan haiwan, penjagaan kebajikan haiwan, serta keperluan mematuhi garis panduan etika dalam setiap kajian yang melibatkan haiwan.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat spesimen organ-organ penting tikus yang diawet dalam formalin. Pameran ini membantu pelajar mengenali struktur asas organ dalaman serta memahami kaitannya dengan kajian penyakit dan fungsi tubuh. SPH turut mempamerkan slaid histologi berwarna H&E, yang membolehkan pelajar melihat struktur tisu di bawah mikroskop dan memahami bagaimana perubahan pada peringkat sel boleh memberi maklumat penting dalam penyelidikan bioperubatan.
Penyertaan dalam STEM Showcase 2026 Peringkat Negeri Pulau PInang ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan aktiviti penyelidikan haiwan kepada masyarakat sekolah, malah turut membuka ruang untuk memupuk minat pelajar terhadap sains hayat, perubatan dan penyelidikan translasi. Melalui pendekatan interaktif dan penerangan yang mudah difahami, SPH berharap agar para pelajar dapat melihat bahawa penyelidikan bioperubatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesihatan manusia, di samping menekankan aspek tanggungjawab, etika dan kebajikan haiwan dalam penyelidikan.
Secara keseluruhannya, penglibatan ini mencerminkan komitmen Seksyen Penyelidikan Haiwan dalam menyokong pendidikan STEM serta memperkukuh kefahaman masyarakat tentang kepentingan penyelidikan haiwan yang beretika dalam kemajuan sains bioperubatan.