PPTI–PKTAAB Perkukuh Kolaborasi Penyelidikan Melalui Perkongsian Ilmu Klinikal Dan Penyelidikan
Oct 16, 2026
KOMPLEKS PENYELIDIKAN KANSER (CRC), PKTAAB, October 16 2026
BERTAM, 16 Oktober 2026 – Seramai 65 orang staf Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Universiti Sains Malaysia (USM), menyertai program lawatan ke Kompleks Penyelidikan Kanser (CRC), Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) yang turut di hadiri oleh Dekan PPTI, Profesor Madya Dr. Mohd. Yusri Yusup, Timbalan-Timbalan Dekan, staf akademik dan pentadbiran bagi memperkukuh sinergi rentas Pusat Tanggungjawab (PTJ) dengan harapan menjalin hubungan kerjasama, perkongsian kepakaran dan penerokaan peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan.
Program dimulakan dengan lawatan ke makmal Seksyen Penyelidikan Haiwan dan Seksyen Makmal Penyelidikan Berpusat. Lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi PPTI untuk mengenali kemudahan, persekitaran dan fungsi makmal penyelidikan yang menyokong pelaksanaan aktiviti penyelidikan di PKTAAB.
Delegasi seterusnya menyertai sesi PKTAAB Clinical & Research Knowledge Exchange di Bilik Seminar yang menjadi platform perbincangan dua hala antara PKTAAB dengan PPTI. Sesi ini dikendalikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon, Ketua Seksyen Inovasi dan Jaringan, Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan (BPIJ) yang bertindak sebagai Moderator Program.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) PKTAAB, yang menyambut baik kehadiran delegasi serta berkongsi pengetahuan berkaitan Clinical Facilities, Laboratory Experience & Accreditation Insights. Seterusnya disusuli dengan ucapan daripada Dekan PPTI, Profesor Madya Dr. Mohd. Yusri Yusup.
Perbincangan seterusnya memberi tumpuan kepada pertukaran pengetahuan dan pengalaman, perkongsian kepakaran serta penerokaan peluang kerjasama penyelidikan antara kedua-dua pihak. Program turut diakhiri dengan sesi soal jawab bagi membolehkan peserta mendapatkan penjelasan dan bertukar pandangan berkaitan bidang kepakaran serta potensi kerjasama pada masa hadapan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen USM dalam menggalakkan kerjasama rentas disiplin dan memanfaatkan kepakaran serta kemudahan penyelidikan sedia ada. Interaksi secara langsung antara warga PPTI dan PKTAAB berpotensi membuka ruang kepada pembangunan projek penyelidikan bersama, perkongsian kemudahan dan kepakaran, serta penghasilan penyelidikan yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.
Program pengukuhan dan lawatan strategik ini mendokong aspirasi pelan strategik universiti serta menyokong kriteria SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui perkongsian pengetahuan dalam bidang klinikal dan penyelidikan kesihatan. Program ini turut menyumbang kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pembelajaran berterusan dan pertukaran ilmu, serta SDG 17: Kerjasama demi Matlamat melalui usaha membina jaringan strategik dan memperkukuh kolaborasi antara pusat tanggungjawab di USM.
Secara keseluruhannya, lawatan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih tersusun dan berterusan antara PPTI dengan PKTAAB, sekali gus memperkukuh ekosistem penyelidikan, meningkatkan perkongsian kepakaran dan menyokong aspirasi USM untuk menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi.
Pengarang berita: Nur Fadilah Safar, Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon
Foto: Safri Zainal Abidin, Athirah Raihanah Abdul Wahab, Mohd Norhisham Sukur