Terapi Robotik Untuk Pemulihan Optimum Pesakit Strok
Jul 28, 2026
July 28 2026
Bolehkah robot membantu seseorang berjalan semula selepas mengalami strok? Persoalan ini semakin mendapat perhatian dalam bidang rehabilitasi moden. Dengan kemajuan teknologi, robot bukan lagi sekadar mesin di makmal, malah kini digunakan sebagai alat bantuan dalam proses pemulihan pesakit strok, sekaligus membuka dimensi baharu dalam rawatan rehabilitasi.
Selepas mengalami strok, ramai pesakit berdepan kesukaran untuk berjalan akibat kelemahan otot, gangguan keseimbangan dan koordinasi pergerakan. Proses pemulihan memerlukan latihan yang berulang dan konsisten bagi merangsang pembentukan semula laluan saraf (neuroplasticity), sekali gus membantu memulihkan semula fungsi berjalan. Namun, latihan yang intensif ini memerlukan tempoh pemulihan yang panjang serta komitmen tinggi daripada pesakit dan juga ahli fisioterapi.
Mutakhir ini, bilangan pesakit muda yang mengalami strok dilaporkan semakin meningkat. Menurut rekod antara tahun 2008 dan 2016, bilangan pesakit strok berumur 35 hingga 39 tahun telah meningkat sebanyak 50% [1]. Statistik ini menunjukkan bahawa strok bukan lagi penyakit yang hanya dikaitkan dengan warga emas. Seiring dengan perubahan trend ini, kaedah rehabilitasi turut berevolusi bagi memenuhi keperluan pesakit untuk kembali berdikari, meneruskan rutin harian dan meningkatkan tahap kefungsian mereka dalam tempoh yang lebih optimum.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, teknologi Robot-Assisted Gait Training (RAGT) diperkenalkan sebagai salah satu inovasi dalam rehabilitasi moden. Melalui sistem robotik ini, pesakit menjalani latihan berjalan secara berulang dengan corak pergerakan yang tepat, konsisten dan selamat mengikut tahap keupayaan masing-masing. Ahli fisioterapi pula boleh menyesuaikan tahap bantuan yang diberikan sepanjang sesi latihan mengikut perkembangan pesakit.
Penggunaan robot dalam latihan gaya jalan menawarkan beberapa kelebihan. Antaranya, ia membantu pesakit mempelajari semula rentak dan corak pergerakan berjalan yang betul melalui latihan yang dilakukan secara berulang-ulang. Ketepatan dan konsistensi pergerakan yang dihasilkan oleh sistem robotik turut membantu membetulkan corak berjalan yang telah berubah akibat serangan strok.
Selain membantu memperbaiki corak berjalan, sistem robotik turut mengurangkan keletihan pesakit semasa menjalani latihan kerana pergerakan disokong oleh mekanisme bermotor. Sistem ini juga mampu menampung sebahagian berat badan pesakit, sekaligus mengurangkan beban pada anggota bawah. Dengan sokongan tersebut, pesakit dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada kualiti pergerakan dan teknik berjalan, berbanding menanggung berat badan sendiri sepanjang latihan.
Kelebihan utama latihan berjalan berbantu robot ialah keupayaannya menyediakan latihan yang intensif, berulang dan khusus kepada pergerakan yang ingin dipulihkan. Pengulangan ini merangsang proses pembentukan semula hubungan saraf yang terjejas akibat strok. Apabila hubungan saraf semakin diperkukuhkan melalui latihan yang konsisten, peluang pesakit untuk meningkatkan fungsi pergerakan, kembali berdikari dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik turut meningkat.
Di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), penyelidikan berkaitan latihan berjalan berbantu robot telah dimulakan pada tahun 2024 di bawah Geran Penyelidikan Jangka Pendek USM. Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan RAGT yang digabungkan dengan fisioterapi konvensional dalam meningkatkan mobiliti dan keupayaan berjalan pesakit strok, berbanding fisioterapi konvensional sahaja.
Sebagai langkah awal, satu kajian rintis telah dijalankan melibatkan seorang pesakit strok berusia 40 tahun yang mengikuti program latihan berjalan berbantu robot selama enam minggu. Kajian ini bertujuan menilai kebolehgunaan sistem robotik dalam persekitaran klinikal, di samping mendapatkan gambaran awal tentang potensinya dalam membantu pemulihan fungsi berjalan. Hasil awal menunjukkan pesakit mengalami peningkatan dalam kelajuan berjalan serta keyakinan untuk bergerak selepas melengkapkan program latihan tersebut. Walaupun dapatan ini masih bersifat awal dan melibatkan seorang peserta, hasilnya memberikan petunjuk bahawa RAGT berpotensi menjadi pelengkap kepada fisioterapi konvensional dalam program rehabilitasi strok. Sepanjang tempoh intervensi, latihan berjalan berbantu robot dapat dijalankan dengan selamat dan diterima dengan baik oleh peserta kajian.
Persoalan yang sering timbul ialah, mampukah teknologi ini menggantikan peranan ahli fisioterapi? Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan di luar negara, gabungan latihan berjalan berbantu robot dengan fisioterapi konvensional memberikan kesan yang lebih baik terhadap pemulihan fungsi dan mobiliti pesakit berbanding fisioterapi konvensional sahaja.
Walau bagaimanapun, teknologi robotik tidak bertujuan menggantikan peranan ahli fisioterapi. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai pelengkap yang membantu meningkatkan intensiti dan keberkesanan latihan rehabilitasi. Latihan keseimbangan, pengukuhan otot serta bimbingan daripada ahli fisioterapi masih merupakan komponen penting dalam proses pemulihan pesakit strok. Oleh itu, penggunaan teknologi robotik perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan rehabilitasi yang menyeluruh dan berpusatkan pesakit.
Walaupun dapatan penyelidikan setakat ini amat menggalakkan, kajian berskala lebih besar yang melibatkan lebih ramai pesakit strok masih diperlukan bagi mengukuhkan bukti keberkesanan teknologi ini. Dengan perkembangan teknologi serta penyelidikan yang berterusan, latihan berjalan berbantu robot berpotensi menjadi antara komponen penting dalam rehabilitasi strok pada masa hadapan, sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit untuk kembali berjalan, berdikari dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Penulis artikel: Wan Nurul Islamiah binti Wan Ahmad dan Syamimi binti Shamsuddin
Rujukan
[1] Hwong WY, Ang SH, Bots ML, et al. Trends of Stroke Incidence and 28-Day All-Cause Mortality after a Stroke in Malaysia: A Linkage of National Data Sources. Glob Heart. 2021;16(1):39. Published 2021 May 26. doi:10.5334/gh.791