September 11 2025
Proses Penyembuhan Luka: Dari Luka ke Pulih
Setiap individu pernah berdepan dengan luka sama ada luka kecil di dapur, luka gores ketika bersukan, atau luka selepas pembedahan. Langkah yang biasa dilakukan ialah mencuci dan menutup luka dengan kain atau plaster bagi mengelakkan kotoran serta menghentikan pendarahan. Namun, di sebalik tindakan ringkas itu, tubuh sebenarnya menggerakkan satu proses biologi yang amat kompleks. Setiap luka yang kelihatan kecil adalah isyarat kepada tubuh untuk mengaktifkan “mesin pembaikan” yang melibatkan sel darah, protein, sistem imun, dan pelbagai molekul penting.
Penyembuhan luka berlaku dalam empat peringkat utama:
- Hemostasis: Tubuh segera menghentikan pendarahan dengan membentuk bekuan darah. Platelet bertindak sebagai “jurutera kecemasan” yang menutup kebocoran.
- Keradangan: Selepas itu, sel-sel pertahanan seperti neutrofil dan makrofaj datang untuk membersihkan kawasan luka daripada kuman dan sel mati. Fasa ini penting tetapi sering dikaitkan dengan rasa sakit, panas, atau bengkak.
- Proliferasi: Sel kulit baharu mula terbentuk, salur darah baru tumbuh, dan fibroblas menghasilkan kolagen untuk membina rangka asas tisu baharu. Luka mula mengecil secara beransur-ansur.
- Pemodelan semula: Struktur tisu diperkuat dan parut mula terbentuk. Proses ini boleh mengambil masa berbulan-bulan bergantung kepada saiz dan jenis luka.
Gangguan dalam mana-mana fasa ini, contohnya akibat jangkitan, perfusi lemah, atau eksudat yang tidak dikawal, boleh menyebabkan luka menjadi kronik, seperti yang sering berlaku pada pesakit diabetes atau mereka yang mempunyai peredaran darah yang lemah.
Dari Balutan Tradisional ke Teknologi Moden
Sejak dahulu, kain kapas atau kain kasa digunakan untuk menutup luka. Ia berfungsi sebagai pelindung asas, tetapi mempunyai banyak keterbatasan. Antaranya ia mudah melekat pada luka, menyebabkan kesakitan ketika ditukar, dan tidak mampu mengawal kelembapan. Hari ini, balutan luka moden direka berdasarkan prinsip sains bahawa luka akan sembuh lebih baik dalam persekitaran lembap yang terkawal. Kajian selama beberapa dekad membuktikan bahawa kelembapan membantu migrasi sel kulit, mengurangkan pembentukan parut, dan mempercepat penutupan luka.
Pemilihan balutan bukan hanya berdasarkan kecantikan atau kebiasaan, tetapi perlu berdasarkan:
- Jenis luka: sama ada kemalangan, pembedahan, terbakar, atau ulser kronik.
- Jumlah eksudat: luka bereksudat tinggi memerlukan balutan yang mampu menyerap (foam, alginat), manakala luka kering atau hampir sembuh memerlukan balutan yang mengekalkan kelembapan (hidrogel, hidrokoloid).
- Kedalaman luka/keterlibatan tisu: luka dalam mungkin memerlukan penyumbatan atau balutan khusus.
- Risiko jangkitan atau kehadiran kuman/biofilem.
- Kemudahan penggunaan/kos/kekerapan penggantian balutan — semua ini mempengaruhi pematuhan pesakit dan hasil akhir.
Kemajuan penyelidikan membuka jalan kepada balutan generasi baharu yang bukan sekadar pelindung pasif tetapi aktif merangsang penyembuhan seperti:
- Balutan berubat – mampu melepaskan ubat anti-radang, antibiotik, atau faktor pertumbuhan secara terkawal.
- Balutan dengan sensor responsif – boleh berubah warna jika berlaku jangkitan atau perubahan keadaan luka (eksudat, pH, bau) yang membolehkan rawatan awal dilakukan.
- Bahan semula jadi – Rouzaire et al. (2024) menekankan potensi membran amniotik dan bahan semula jadi lain sebagai alternatif bioserasi yang mesra tubuh dan berpotensi menggantikan bahan sintetik.
Jenis Balutan Luka Moden
- Hidrogel dan Hidrokoloid: Berfungsi mengekalkan kelembapan optimum. Kajian sistematik (Aldakheel et al., 2023) menunjukkan bahawa hidrogel yang diperkaya dengan nanopartikel perak bukan sahaja melembapkan luka, tetapi turut bertindak sebagai agen antibakteria. Ia sesuai untuk luka kering atau hampir sembuh, serta luka dengan eksudat ringan.
- Foam Dressing: Sesuai untuk luka dengan rembesan berlebihan kerana ia menyerap cecair sambil mengekalkan persekitaran luka yang stabil serta dapat membantu melindungi luka dari trauma mekanikal.
- Balutan Filem & Telus: Berguna untuk luka dangkal, luka kecil, atau sebagai penutup kedua; tetapi kurang sesuai untuk eksudat tinggi kerana risiko maserasi.
- Balutan Alginat: Sangat baik untuk luka dengan eksudat banyak, kerana ia menyerap dan membantu dalam hemostasis ringan.
- Balutan Antimikrobial: Seperti balutan mengandungi ion perak atau iodin, ia digunakan jika ada risiko jangkitan atau bila jangkitan sudah dikesan. Ulasan oleh Sheikh-Oleslami et al. (2023) menekankan bahawa nanopartikel logam seperti perak, emas, dan zink mampu mengurangkan beban bakteria serta merangsang pembentukan tisu baharu apabila digabungkan dalam hidrogel.
- Membran Amniotik: Digunakan dalam rawatan luka kronik. Khalili et al. (2025) mendapati teknologi balutan yang menggabungkan membran amnion dan nanopartikel perak mempercepatkan penjanaan semula kulit dalam model eksperimen.
Aplikasi Klinikal: Dari Pesakit Diabetes ke Luka Pembedahan
- Pesakit diabetes sering mengalami luka kaki yang sukar sembuh kerana masalah peredaran darah dan kerosakan saraf. Eksudat yang tinggi dan risiko jangkitan menjadikan balutan foam atau alginat dan antimikrobial sebagai pilihan utama, digabung dengan penjagaan metabolik dan penilaian rutin. Balutan moden seperti hidrogel dan amnion juga dapat membantu mengekalkan keadaan luka yang sesuai untuk penyembuhan.
- Luka pembedahan biasanya sembuh dengan baik, tetapi risiko jangkitan boleh dikurangkan dengan balutan antibakteria. Keutamaan adalah kepada balutan yang menyokong kelembapan, mudah diganti, mengurangkan risiko melekat serta memberikan perlindungan.
- Luka terbakar pula memerlukan balutan khas yang boleh menyejukkan tisu, mengurangkan kesakitan, serta melindungi daripada jangkitan. Menjaga kelembapan luka adalah penting agar tisu tidak kering yang boleh menyebabkan pembentukan parut berat.
Mitos dan Fakta Tentang Luka
Mitos 1: Luka cepat sembuh jika dibiarkan kering.
Fakta: Penyelidikan moden dan panduan klinikal menekankan bahawa luka sembuh lebih baik dalam keadaan lembap yang terkawal. Balutan yang mengekalkan kelembapan mungkin membantu membersihkan sel mati secara autolitik dan mempercepat pembentukan tisu baru.
Mitos 2: Semua balutan luka adalah sama.
Fakta: Terdapat pelbagai jenis balutan moden, masing-masing sesuai untuk situasi berlainan berdasarkan eksudat, kedalaman, dan risiko jangkitan. Setiap dressing mempunyai fungsi khusus; contohnya, foam untuk luka berair banyak, hidrogel untuk melembapkan luka kering.
Mitos 3: Balutan moden hanya untuk hospital.
Fakta: Banyak balutan moden kini tersedia di farmasi untuk kegunaan di rumah dengan risiko minimum jika diberikan pendidikan yang betul, terutama bagi mereka yang menghidap diabetes atau mempunyai luka kecil yang berisiko lambat sembuh.
Tip Penjagaan Luka di Rumah
- Cuci luka dengan air bersih untuk membuang kotoran; elakkan bahan keras seperti alkohol kecuali diarahkan oleh doktor.
- Gunakan balutan yang sesuai berdasarkan jenis luka & jumlah eksudat – plaster kecil untuk luka ringan, balutang moden untuk luka lebih besar atau berisiko lambat sembuh.
- Tukar balutan secara berkala – sekurang-kurangnya sekali sehari atau apabila balutan basah/kotor.
- Pantau tanda jangkitan – kemerahan, bengkak, nanah, atau demam adalah isyarat untuk segera mendapatkan rawatan.
- Sokong dengan gaya hidup sihat – pemakanan berkhasiat, hidrasi mencukupi, kawalan penyakit kronik (seperti diabetes) dan berhenti merokok membantu mempercepatkan penyembuhan luka.
Kesimpulan
Balutan luka telah melalui evolusi daripada kain putih yang sederhana kepada teknologi canggih berasaskan prinsip biologi, kejuruteraan tisu, dan nanoteknologi. Perubahan ini bukan sahaja mempercepatkan penyembuhan, malah meningkatkan kualiti hidup pesakit, terutamanya mereka yang berdepan dengan luka kronik. Pemilihan balutan yang tepat berdasarkan jenis luka, eksudat, risiko, dan keperluan pesakit mampu mempercepatkan penyembuhan, mengurangkan komplikasi, dan meningkatkan kualiti hidup. Dengan sokongan penyelidikan berterusan, masa depan rawatan luka dijangka akan dipacu oleh “balutan pintar” yang mampu bertindak sebagai doktor mini di atas kulit yang memantau keadaan luka, memberi rawatan secara terkawal, dan mengurangkan risiko komplikasi.
Rujukan
- Britto, E. J., Nezwek, T. A., Popowicz, P., & Robins, M. (2024). Wound dressings. In StatPearls [Internet]. StatPearls Publishing. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK470199/
- Aldakheel, F. M., Sayed, M. M. E., Mohsen, D., Fagir, M. H., & El Dein, D. K. (2023). Green Synthesis of Silver Nanoparticles Loaded Hydrogel for Wound Healing; Systematic Review. Gels, 9(7), 530. https://doi.org/10.3390/gels9070530
- Khalili, M., Ekhlasi, A., Solouk, A., Haghbin Nazarpak, M., & Akbari, S. (2025). A hybrid scaffold of modified human amniotic membrane with gelatine/dendrimer-protected silver nanoparticles for skin wound healing applications. RSC advances, 15(9), 6902–6913. https://doi.org/10.1039/d4ra08014a
- Sheikh-Oleslami, S., Tao, B., D’Souza, J., Butt, F., Suntharalingam, H., Rempel, L., & Amiri, N. (2023). A Review of Metal Nanoparticles Embedded in Hydrogel Scaffolds for Wound Healing In Vivo. Gels, 9(7), 591. https://doi.org/10.3390/gels9070591
- Rouzaire, M., Blanchon, L., Sapin, V., & Gallot, D. (2024). Application of Fetal Membranes and Natural Materials for Wound and Tissue Repair. International Journal of Molecular Sciences, 25(22), 11893. https://doi.org/10.3390/ijms252211893
SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages