PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI, April 8 2026
Sepanjang bulan Ramadan 1447H, Unit HELWA PKTAAB telah menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian dan keilmuan yang melibatkan penyertaan aktif staf serta pelajar wanita. Program ini dirangka bagi mengimarahkan Ramadan melalui penghayatan Al-Quran, pengukuhan ilmu serta pemerkasaan sahsiah diri, selari dengan usaha membentuk warga kerja yang seimbang dari segi rohani, emosi dan profesional.
Antara pengisian utama ialah aktiviti Tadarus Al-Quran yang telah dilaksanakan bermula 16 Februari hingga 11 Mac 2026 secara atas talian melalui platform Webex. Aktiviti ini dijalankan dalam dua sesi setiap hari iaitu sesi pertama pada jam 12.00 tengah hari sehingga 1.00 petang dan sesi kedua bermula 1.00-2.00 petang. Pelaksanaan platform WEBEX ini bertujuan memberi fleksibiliti kepada peserta mengikut kesesuaian waktu kerja masing-masing, dan turut dilaksanakan pada hujung minggu bagi memastikan kesinambungan bacaan serta memberi peluang kepada lebih ramai peserta untuk terlibat. Aktiviti Tadarus Al-Quran ini telah bermula sejak tahun 2023 dan dapat diteruskan sehingga kini dengan penglibatan staf PKTAAB dari pelbagai seksyen dan lapisan. Kejayaan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk budaya pembelajaran Al-Quran yang berterusan serta mengeratkan ukhuwah antara staf di institusi. Peserta membaca Al-Quran secara bergilir dengan sasaran satu juzuk sehari. Sesi juga diselitkan dengan perkongsian tadabbur ayat yang memberi ruang kepada peserta untuk memahami dan menghayati mesej Al-Quran dengan lebih mendalam. Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan konsistensi dalam bacaan, malah meningkatkan keyakinan peserta dalam berkongsi ilmu secara santai dan interaktif.
Program Pemerkasaan Insan dan Kerjaya Berteraskan Al-Quran turut dianjurkan dalam dua siri iaitu pada 27 Februari dan 6 Mac 2026 di Dewan Avenzoar, UHEIS. Program ini dikendalikan oleh Ustazah Mardziah binti Haji Zakaria dan memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, peningkatan kompetensi diri serta pengukuhan nilai integriti dalam kerjaya berlandaskan Al-Quran. Pelaksanaan program secara hibrid, iaitu gabungan kehadiran fizikal dan atas talian, telah memudahkan penyertaan dalam kalangan peserta yang mempunyai komitmen kerja berbeza. Sesi yang interaktif dan praktikal ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada peserta kerana kandungannya yang relevan dengan cabaran semasa dalam kehidupan profesional dan peribadi.
Selain itu, slot keilmuan turut diadakan melalui Tazkirah Ramadan bertajuk Integrasi Ramadan dalam Sains & Kesihatan pada 13 Mac 2026 yang dilaksanakan secara hibrid bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan Kanser. Tazkirah ini telah disampaikan oleh Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, yang mengupas kepentingan mengintegrasikan amalan ibadah Ramadan dengan aspek kesihatan fizikal dan mental, khususnya dalam konteks perubatan dan penjagaan pesakit. Beliau turut menekankan peranan Unit Kerja Sosial Perubatan dalam menyokong kesejahteraan pesakit secara holistik, selain menyentuh kepentingan mengekalkan keseimbangan antara latihan fizikal dan pengisian rohani sepanjang Ramadan bagi mencapai keseimbangan work-life balance. Di samping itu, tazkirah ini turut mengupas hubungan antara Ramadan dan sains sebagai satu pendekatan dalam memupuk rasa syukur terhadap nikmat kesihatan dan kehidupan. Perkongsian ini memberi perspektif baharu kepada peserta tentang bagaimana gaya hidup sepanjang Ramadan boleh menyumbang kepada kesejahteraan diri serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pesakit.
Di samping pengisian kerohanian dan keilmuan, aspek kebajikan turut diberi penekanan melalui penganjuran Program Sumbangan Amal Ramadan: Santuni Pesakit di PKTAAB USM Bertam yang telah diadakan pada 11 Mac 2026. Program ini melibatkan seramai lebih 10 orang staf daripada Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) bersama wakil Unit Hal Ehwal Wanita (HELWA), Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PKTAAB. Delegasi telah mengadakan lawatan ke wad pesakit di PKTAAB bagi menyantuni pesakit di samping menyampaikan sumbangan Ramadan sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan pesakit. Lawatan ini turut disertai oleh wakil daripada Biro Kebajikan dan Kerohanian, Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan, serta Encik Razmy bin Mohd Yusof daripada Unit Kerja Sosial Perubatan PKTAAB yang bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan program berjalan lancar serta mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada pesakit yang menerima sumbangan, malah turut memberi pendedahan bermakna kepada para sukarelawan yang terlibat. Interaksi secara langsung dengan pesakit telah membuka ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan sokongan emosi dan psikososial yang penting dalam proses rawatan. Inisiatif ini mencerminkan nilai empati, keprihatinan serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga PKTAAB, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan amalan bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan.
Kemuncak program ialah Majlis Khatam Al-Quran yang telah berlangsung pada 13 Mac 2026 (23 Ramadan) dengan penglibatan peserta tadarus dan tenaga pengajar. Majlis Khatam Al-Quran ini telah dihadiri hampir 60 peserta, terdiri daripada staf dan pelajar wanita PKTAAB. Majlis ini menandakan kemuncak program tadarus sepanjang Ramadan, sekaligus mencerminkan kejayaan peserta menamatkan bacaan Al-Quran secara berjemaah. Suasana majlis berlangsung dengan penuh khusyuk dan harmoni, mencerminkan semangat kebersamaan dan ukhuwah yang kukuh di kalangan peserta. Selain sesi khatam, majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada semua peserta sebagai pengiktirafan atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang program. Turut disampaikan ialah saguhati kepada tenaga pengajar sebagai tanda penghargaan atas kesabaran, keikhlasan serta dedikasi mereka dalam membimbing peserta. Saguhati ini merupakan hasil sumbangan ikhlas daripada para peserta sendiri, yang dizahirkan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas ilmu serta bimbingan yang telah diberikan. Kehadiran dan penyertaan aktif semua pihak menjadikan majlis ini lebih bermakna dan mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga PKTAAB.
Secara keseluruhannya, program Ramadan HELWA PKTAAB berjaya mencapai objektif dalam menyemai kecintaan terhadap Al-Quran, meningkatkan kefahaman ilmu, memperkukuh ukhuwah serta memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan warga organisasi. Sinergi antara aktiviti kerohanian, keilmuan dan kebajikan ini telah memberikan impak yang menyeluruh kepada peserta. Kehadiran dan penyertaan aktif semua pihak menjadikan majlis ini lebih bermakna dan mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga PKTAAB.
Selain itu, program ini turut menyokong agenda kelestarian universiti, di mana pendekatan pembelajaran berterusan secara atas talian dan pelaksanaan aktiviti yang berskala dalaman mengurangkan penggunaan sumber fizikal seperti kertas dan tenaga, seterusnya menyumbang kepada amalan lestari dalam operasi universiti. Melalui inisiatif ini, program bukan sahaja memberi manfaat rohani dan akademik, malah selari dengan usaha universiti dalam memupuk kesedaran terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial di kalangan warga.
Program-program yang dilaksanakan ini sejajar dengan aspirasi SDG 3 (Kesihatan & Kesejahteraan) melalui pengukuhan kesejahteraan rohani peserta, SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dengan mempromosi pembelajaran Al-Quran secara berstruktur, SDG 5 (Kesaksamaan Gender) melalui penglibatan aktif wanita dalam pembangunan ilmu dan kepimpinan, serta SDG 17 (Perkongsian Untuk Matlamat) melalui kerjasama erat antara staf, pelajar dan tenaga pengajar dalam merealisasikan matlamat program.
Diharapkan agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang, agar ia terus menjadi platform dalam melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang dari segi profesional, malah kukuh dari aspek spiritual dan sahsiah diri.