PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
PULAU PINANG, September 29 2025
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh jaringan kolaborasi bersama komuniti melalui pelaksanaan program inovasi lestari yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat. Projek ini telah dilaksanakan dengan sokongan Seberang Perai Small Towns Grants Programme (SPG/130), iaitu satu inisiatif ThinkCity dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Program ini berjaya menghimpunkan penyertaan aktif pelbagai komuniti tempatan termasuk KRT Casa Innova, MPKK Bertam Indah, Masjid Bertam Indah, serta sekolah seperti SMK Datuk Haji Ahmad Badawi.
Siri bengkel yang dijalankan sepanjang tahun 2025 memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu jahitan fabrik terpakai dan pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai. Melalui bengkel jahitan, peserta daripada kalangan pelajar, suri rumah dan masyarakat setempat didedahkan dengan teknik transformasi (upcycling) kain terpakai, termasuk denim dan pakaian lama, menjadi produk kreatif bernilai tambah seperti beg, aksesori dan barangan hiasan. Program ini bukan sahaja mengurangkan lambakan sisa tekstil, malah memperlihatkan potensi fabrik terpakai untuk dijadikan sumber ekonomi baharu kepada komuniti.
Dalam masa yang sama, bengkel pembuatan sabun berasaskan minyak masak terpakai memberi penekanan terhadap aspek kelestarian dan kesihatan awam. Peserta mempelajari cara menghasilkan sabun mesra alam yang bukan sahaja berguna untuk kegunaan harian tetapi juga berpotensi dipasarkan. Usaha ini secara tidak langsung menyokong agenda pengurangan pencemaran alam sekitar melalui pengurusan minyak masak terpakai yang lebih sistematik.
Selain bengkel utama, beberapa program promosi turut diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah dan Masjid Al-Rasyidin, Nibong Tebal. Program ini berjaya menarik penyertaan lebih luas serta memperkukuh peranan IPPT dalam menjalin hubungan erat dengan komuniti. Secara keseluruhannya, seramai 470 peserta daripada pelbagai latar belakang telah terlibat dalam siri bengkel dan program promosi ini, dengan maklum balas yang sangat positif. Majoriti peserta menyatakan ilmu yang diperoleh bukan sahaja mudah difahami tetapi juga memberi manfaat nyata yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan harian.
Penganjuran bengkel ini jelas menyokong amalan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Repurpose) dan selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 11: Bandar & Komuniti Lestari, SDG 12: Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab, SDG 14: Hidupan Laut). Inisiatif ini turut memperlihatkan bagaimana kepakaran akademik IPPT dapat diterjemahkan menjadi impak sosial dan ekonomi yang nyata kepada masyarakat.
Melalui projek ini, IPPT membuktikan bahawa universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat penyelidikan dan akademik, tetapi juga sebagai rakan strategik yang aktif dalam pembangunan komuniti. Pasukan Lestari IPPT juga mengalu-alukan mana-mana komuniti, sekolah, atau organisasi tempatan yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam bidang kelestarian. Untuk maklumat lanjut atau cadangan kolaborasi, sila hubungi Dr. Siti Razila di emel: sitirazila@usm.my.
Dengan sokongan ThinkCity dan penglibatan komuniti setempat, program inovasi lestari ini menjadi contoh bagaimana “sisa boleh menjadi sumber”, sambil memperkukuh daya tahan komuniti melalui ilmu, kemahiran dan kepedulian terhadap kelestarian alam sekitar.