PKTAAB Newsletter Kini Tampil Berwajah Baru
Apr 30, 2026
October 1 2025
Penyakit Alzheimer dan demensia bukanlah isu asing dalam kalangan petugas kesihatan di Malaysia. Namun, tahap kesedaran dan kompetensi dalam mengendalikan pesakit demensia masih belum menyeluruh. Walaupun beberapa program latihan telah diperkenalkan, liputan, akses, dan pelaksanaannya kekal terhad di pelbagai peringkat perkhidmatan kesihatan.
Kajian di Vietnam melaporkan bahawa kekurangan latihan khusus berkaitan demensia dalam kalangan profesional kesihatan komuniti memberi kesan negatif terhadap kualiti penjagaan (Huynh-Truong, Shyu, Tran, Huang, & Do, 2023). Sementara itu, kajian di Singapura mendapati bahawa petugas kesihatan di hospital komuniti mempunyai sikap positif terhadap penjagaan demensia, namun tahap pengetahuan mereka lebih rendah berbanding populasi kajian lain (Han, Low, Yee, Chan, & Low, 2024). Di Malaysia pula, kekurangan kesedaran dan latihan dalam penjagaan demensia dalam kalangan profesional kesihatan serta masyarakat turut diketengahkan dalam Dementia Action Plan 2023–2030.
Persoalannya, mengapa latihan dan kemahiran penjagaan demensia penting bagi semua petugas kesihatan komuniti? Malaysia kini berada di ambang perubahan demografi yang ketara. Populasi berumur 65 tahun ke atas dijangka meningkat daripada 7.5% pada tahun 2020 kepada 14% menjelang 2050. Pertambahan ini dijangka menyebabkan bilangan pesakit demensia hampir tiga kali ganda, daripada sekitar 260,000 orang kepada hampir 825,000 orang pada tahun 2050. Memandangkan demensia memerlukan penjagaan jangka panjang dan intensif, sistem kesihatan negara dijangka berdepan dengan beban kos yang semakin meningkat.
Dari sudut ekonomi, kajian di Malaysia menganggarkan bahawa kos penjagaan Alzheimer, termasuk penjagaan formal dan tidak formal, boleh mencecah USD 1.9 bilion pada tahun 2022, iaitu bersamaan 0.47% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (Ong et al., 2025). Kajian lain pula melaporkan bahawa purata kos penjagaan kesihatan secara langsung bagi setiap pesakit adalah sekitar USD 572.45 setahun, dengan pecahan kos merangkumi ujian makmal (37.19%), lawatan klinik (31.48%), ubat-ubatan (24.93%), penilaian diagnostik (3.6%), dan perkhidmatan bukan perubatan (2.80%). Tanpa persediaan yang mencukupi melalui latihan profesional, implikasi kewangan terhadap kerajaan dan masyarakat akan menjadi semakin serius.
Latihan pengendalian demensia memberikan beberapa manfaat kritikal. Pertama, ia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran staf kesihatan. Kajian terdahulu menunjukkan peningkatan skor pengetahuan daripada 63% kepada 78% selepas mengikuti bengkel garis panduan klinikal demensia di Malaysia (Yusoff, Koh, Mohd Aminuddin, Krishnasamy, & Suhaila, 2013). Kedua, ia memperluas keupayaan mengenal pasti masalah tingkah laku dan mengaplikasikan teknik komunikasi bukan farmakologi berasaskan pendekatan person-centered, yang akhirnya mengurangkan penggunaan ubat antipsikotik dan kekangan fizikal yang tidak perlu.
Selain manfaat klinikal, latihan juga memberi impak positif kepada penjaga informal dan masyarakat. Program kerjasama World Health Organization (WHO) dan Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADFM) menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran penjaga selepas latihan. Hal ini penting kerana ramai pesakit demensia menerima penjagaan di rumah oleh ahli keluarga yang kurang pengetahuan formal. Sekiranya staf kesihatan komuniti mendapat latihan yang mencukupi, ilmu dan kemahiran tersebut dapat disalurkan kepada penjaga. Ini dapat mengukuhkan keupayaan penjaga informal, meringankan beban, dan mengurangkan tekanan mental mereka.
Secara keseluruhannya, latihan pengendalian pesakit demensia wajar dilaksanakan kerana ia merupakan pelaburan berharga untuk masa depan. Ia bukan sahaja meningkatkan mutu penjagaan, malah mengurangkan kos penjagaan kesihatan, memperkukuh sokongan komuniti, dan memupuk persekitaran yang lebih inklusif bagi pesakit serta penjaga. Dengan populasi yang semakin menua, langkah proaktif ini amat diperlukan untuk memastikan sistem kesihatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.
Rujukan