ABO Blood Type & Potential Link To Dementia Risk
May 26, 2026
PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, November 14 2024
Jabatan Perubatan Klinikal dan Klinik Pakar Perunding, Unit Perubatan Klinikal, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM telah menganjurkan Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat PPUSMB, IPPT USM bertempat di Lobi Aras 1, Pusat Perubatan USM Bertam.
Sambutan Hari Diabetes ini adalah bersempena dengan sambutan ‘Hari Diabetes Sedunia’ yang disambut pada 14 November setiap tahun di seluruh dunia dan penganjuran program ini adalah merupakan acara tahunan bagi PPUSMB dan IPPT. Program Hari Diabetes telah berlangsung sepanjang minggu bermula daripada 11 hingga 17 November 2024 dengan pelbagai pengisian aktiviti yang bermanfaat.
Sambutan Hari Diabetes Sedunia adalah bertujuan memberi kesedaran dan penekanan kepada orang ramai terutamanya penghidap penyakit diabetes akan kepentingan penjagaan kesihatan mereka dalam usaha untuk mengawal penyakit ini, bersesuaian dengan tema yang digunakan iaitu untuk ‘Perjalanan Menuju Kehidupan Sihat’.
Di samping itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam komuniti tentang kepentingan saringan awal dan akses kepada perawatan. Bukan itu sahaja, program ini juga memperkasakan aktiviti pencegahan penyakit kronik akibat diabetes dengan menggalakkan gaya hidup sihat, dan memperkenalkan rawatan serta kaedah pemeriksaan yang berteknologi.
Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024 dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi program yang disampaikan oleh Dr. Mastura Mohd Sopian dan seterusnya upacara perasmian yang telah disempurnakan oleh Profesor. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT dan PPUSMB.
Sambutan Hari Diabetes Sedunia diteruskan lagi dengan sesi Ceramah : Ibadah Pesakit yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Mohsin Sirun merupakan Naib Pengerusi 1 Program bersama tetamu jemputan iaitu Ustaz Abdul Malek Md Shariff. Seramai lebih 30 peserta yang merupakan pesakit diabetes turut hadir bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat IPPT/PPUSMB ini.
Selain daripada Program Pembelajaran, Sambutan Hari Diabetes Sedunia ini turut dimeriahkan lagi dengan Pameran Kesihatan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan seperti saringan diabetes dan tekanan darah, saringan diabetes retinopathy, jualan diabetasol dan juga kuiz berkaitan diabetes.