Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
September 30 2025
Kanser masih merupakan antara penyebab utama kematian di seluruh dunia. Walaupun pelbagai jenis rawatan seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi telah lama digunakan, keberkesanannya sering terjejas akibat kesan sampingan dan rintangan ubat. Dalam usaha mencari alternatif, para penyelidik telah menemui satu bentuk kematian sel yang unik dan berpotensi tinggi dikenali sebagai "ferroptosis".
Ferroptosis ialah proses kematian sel yang bergantung kepada zat besi dan berlaku apabila bahan berbahaya dalam badan yang dikenali sebagai radikal bebas menyerang sel. Berbeza dengan apoptosis (kematian sel biasa), ferroptosis tidak melibatkan pemecahan DNA atau perubahan besar pada nukleus, tetapi ia menyebabkan kerosakan pada dinding sel melalui pengoksidaan lemak. Proses ini sangat bergantung kepada kehadiran zat besi dan reaksi pengoksidaan yang berlebihan.
Apa yang menjadikan ferroptosis menarik untuk rawatan kanser ialah kecenderungan sel kanser untuk menyerap lebih banyak zat besi. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kerosakan akibat ferroptosis berbanding sel sihat. Dengan mengganggu keseimbangan antioksidan dan metabolisme zat besi dalam sel kanser, kita boleh mencetuskan kematian sel kanser secara terkawal.
Beberapa molekul telah dikenalpasti mampu mencetuskan ferroptosis dalam sel kanser. Antaranya termasuk ubat seperti sorafenib dan cisplatin, yang sudah digunakan dalam rawatan kanser hati dan paru-paru. Selain itu, molekul eksperimen seperti erastin dan RSL3 juga sedang dikaji secara aktif kerana kesannya yang boleh mencetuskan ferroptosis.
Bukan itu sahaja, ferroptosis juga boleh digabungkan dengan rawatan lain seperti imunoterapi dan radioterapi. Dalam rawatan radiasi misalnya, sinaran akan menghasilkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel kanser. Apabila digabungkan dengan ubat pencetus ferroptosis, kesan ini bertambah kuat dan meningkatkan keberkesanan rawatan. Imunoterapi pula memanfaatkan sistem pertahanan badan untuk menyerang sel kanser, dan ferroptosis didapati mampu merangsang tindak balas imun yang lebih agresif terhadap tumor.
Satu lagi aspek menarik ialah penggunaan teknologi nano dalam menyampaikan ubat ferroptosis terus ke sel kanser. Ini membolehkan ubat bertindak secara lebih spesifik, mengurangkan kesan sampingan dan meningkatkan keberkesanan rawatan. Malah, para penyelidik turut meneroka terapi fotodinamik (menggunakan cahaya) dan terapi sonodinamik (menggunakan gelombang bunyi) bagi mencetuskan ferroptosis.
Namun begitu, ferroptosis tetap mempunyai cabaran. Kajian menunjukkan bahawa dalam sesetengah keadaan, ferroptosis boleh melemahkan sel imun seperti sel T dan mungkin menyumbang kepada pertumbuhan tumor jika tidak dikawal dengan baik. Oleh itu, keseimbangan antara mengaktifkan dan menghalang ferroptosis perlu diperhalusi dengan teliti.
Tambahan pula, pelbagai molekul dalam badan seperti RNA bukan pengekod (miRNA, lncRNA, dan circRNA) serta faktor transkripsi (seperti p53 dan NRF2) memainkan peranan penting dalam mengawal ferroptosis. Ada yang menggalakkan proses ini, ada juga yang menghalangnya. Pemahaman yang lebih mendalam mengenai interaksi kompleks ini penting agar rawatan yang dibangunkan tidak mendatangkan mudarat.
Ferroptosis juga memberi harapan kepada rawatan kanser yang kebal terhadap ubat. Dalam kes kanser payudara, hati dan paru-paru, sel-sel kanser yang gagal dibunuh melalui rawatan biasa menunjukkan tindak balas yang lebih baik apabila rawatan ferroptosis diperkenalkan.
Beberapa kajian awal ke atas haiwan dan sel makmal menunjukkan hasil yang sangat menggalakkan. Contohnya, penggunaan ubat ferroptosis dalam tikus yang menghidap tumor menunjukkan pengecutan ketara saiz tumor tanpa kesan sampingan besar. Ini memberikan isyarat positif kepada pembangunan terapi baharu untuk manusia.
Sebagai kesimpulan, ferroptosis ialah satu sempadan baharu dalam dunia terapi kanser. Ia bukan sahaja menawarkan pendekatan alternatif yang lebih spesifik dan efektif, tetapi juga memberi harapan baharu kepada pesakit kanser yang selama ini tidak mempunyai banyak pilihan rawatan. Walaupun masih banyak yang perlu diterokai dan diuji melalui kajian klinikal, potensi ferroptosis dalam mengubah lanskap rawatan kanser adalah sangat besar.
Dalam beberapa tahun akan datang, kita boleh menjangkakan lebih banyak ubat-ubatan berasaskan ferroptosis akan dibangunkan dan diuji untuk digunakan dalam rawatan klinikal. Jika berjaya, pendekatan ini mungkin akan menjadi sebahagian daripada strategi rawatan utama dalam usaha memerangi kanser.
Rujukan daripada kajian asal: Chen Z, Wang W, Abdul Razak SR, Han T, Ahmad NH, Li X. Ferroptosis as a potential target for cancer therapy. Cell death & disease. 2023;14(7):460.